Wednesday, May 28, 2008

Ulasan Buku: Sharing the Nation

Sharing the Nation: Faith, Difference, Power and the State 50 Years After Merdeka
Norani Othman, Mavis C. Puthucheary, Clive Kessler
Strategic Information and Research Development Centre, Petaling Jaya, 2008-05-29
m.s. xiii + 99, RM 20.00 pb, ISBN 978-983-3782-43-7

Pembinaan bangsa dalam sebuah negara majmuk bukanlah suatu tugas yang mudah. Lima puluh tahun selepas merdeka, rakyat Malaysia masih bergelumang dengan debat mengenai isu-isu ”kontrak perlembagaan” - hak keistimewaan Melayu, hak yang sah bagi kaum-kaum bukan Melayu, kedudukan agama Islam dan, mutakhir ini, sifat negara Malaysia - samada Islam atau sekular.
Buku ”Sharing the Nation” karya dua sarjana Malaysia, Professor Norani Othman dan Mavis C. Puthucheary, dan pakar antropologi Professor Clive Kessler, menyingkap persoalan politik bangsa dan agama di Malaysia. Buku ini cuba mengenengahkan haluan negara Malaysia yang dikatakan bersifat ”demokratik, moden dan sekular”. Secara khusus buku ini menyorot sejarah pembentukan negara Malaysia moden serta mempersoal trend ”Islamisasi” dalam sistem negara yang dilihat bertentangan dengan asas negara yang sekular.
Mavis C. Puthucheary melihat bahawa konsep ”kontrak sosial” Malaysia yang berasaskan persaingan kepentingan antara kaum-kaum yang berbeza tidak boleh dijadikan asas pembentukan sebuah negara yang bersatu-padu. Beliau sebaliknya menyarankan satu ”muafakat nasional” yang bersandarkan nilai-nilai asasi kemanusiaan - seperti persamaan hak dan kebebasan individu - sebagai teras pembinaan bangsa yang lebih bersatu padu pada masa hadapan (m.s 26).
Norani Othman dan Clive Kessler pula mengkritik kecenderungan parti-parti politik Melayu - UMNO dan PAS – untuk bertarung dalam ”perlumbaan Islamisasi” yang kemudiannya menghasilkan sistem undang-undang dan politik yang lebih berorientasikan Islam. Kedua-dua penulis melihat natijah ini sebagai satu bentuk penyimpangan daripada asas negara Malaysia yang sekular. Trend ”de-sekularisasi” ini, Norani berhujjah, mengukuhkan tanggapan tentang dominasi Melayu-Muslim dan proses pembentukan negara Islam. Perkembangan ini, menurut Norani, membawa implikasi yang serius kepada penyuburan kepelbagaian budaya, kepelbagaian agama dan demokrasi di Malaysia (m.s 48).
Buku ini, yang menonjolkan naratif bukan perkauman, demokratik dan sekular tentang asas pembentukan negara-bangsa, menawarkan sandaran ideologi yang tuntas bagi mereka yang mahu menandingi ideologi pengabsahan pemerintah yang mewajarkan sistem politik berasaskan kaum dan agama di negara ini.
Namun begitu, kelemahan ketara buku ini ialah kecenderungan para penulis untuk melihat titik pembentukan negara Malaysia moden secara terpisah daripada rantaian sejarah sistem kenegaraan di Alam Melayu yang telah wujud sejak ratusan tahun sebelum negara merdeka. Sedikit sorotan mengenai hal ini tentu sekali memberikan gambaran yang berbeza mengenai kedudukan agama Islam dalam sistem kenegaraan di Malaysia.
Begitu juga, para penulis cenderung untuk menerima secara tidak problematis ”sekularisme” sebagai asas kontrak perlembagaan dan pembentukan negara, sedangkan ianya merupakan sisi yang paling kabur dalam kontrak perlembagaan dan paling kurang didebatkan oleh para ”perunding” kemerdekaan. Justeru, sumbangan besar buku ini ialah membuka semula ”pandora’s box” tentang debat ”kontrak perlembagaan” dengan melihat sisi yang paling kabur ini.

Marzuki Mohamad
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments:

Post a Comment