Thursday, May 22, 2008

Ezam Masuk UMNO?

Jocelyn Tan dalam ruangan ekslusif di The Star hari ini (22 Mei 2008) melaporkan bahawa bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sdr. Ezam Mohd Noor, akan menyertai semula UMNO. Menurut Jocelyn, Ezam telah mendapat lampu hijau daripada Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk berbuat demikian. Pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.
Sebelum menyertai PKR (dahulunya Parti Keadilan Nasional) pada tahun 1999, Ezam merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan dan Setiausaha Politik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. The Star juga turut melaporkan bekas teman tenis Anwar, Datuk Nallakaruppan, yang turut aktif dalam PKR sebelum mengasaskan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), telah menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Pak Lah.
Dalam laporannya, Jocelyn memetik kritikan Ezam terhadap Anwar ketika beliau meninggalkan PKR tahun lalu. Menurut Ezam, Anwar mengamalkan “politik diktator” dan Azmin Ali, Naib Presiden PKR, merupakan seorang perancang yang menguasai Anwar.
Kenapa Ezam memilih untuk menyertai semula UMNO bukanlah persoalan besar yang bermain di fikiran saya. Ketika beliau meletak jawatan sebagai Ketua Angkatan Muda PKR tahun lalu, saya sudah mengagak bahawa beliau akan menyertai UMNO.
Tetapi persoalan yang lebih besar ialah mengapa Sdr. Ezam, yang pernah ke penjara kerana Anwar, kini begitu lantang mengkritik bekas ketuanya itu? Apakah ianya semata-mata atas dasar perselisihan peribadi atau perselisihan fahaman politik, atau atas sebab-sebab lain yang beliau sahaja mengetahuinya.
Dalam tulisan saya yang lalu, Ezam: Politik Baru dan Bad Samaritans, saya memetik pandangan Ezam mengenai pilihanraya umum 2008. Beliau melihat pilihanraya yang lalu sebagai amat bersifat perkauman. Ini berbeza sekali dengan Anwar yang melihatnya sebagai bukti bahawa rakyat sudah muak dengan politik perkauman. Apakah penyertaan semula Ezam ke dalam UMNO, sebuah parti berasaskan kaum, semata-mata untuk membuktikan bahawa pandangan Anwar itu silap?
Apatah lagi Ezam mengkritik Anwar ketika Anwar disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri setelah Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan nanti. Ketika ini, ramai orang-orang lama PKR yang berbondong-bondong mahu aktif semula dalam parti. Mungkin ada peluang dilantik sebagai senator, atau kalau bernasib baik boleh jadi menteri.
Tetapi Ezam mengambil tindakan sebaliknya. Mengkritik Anwar dan menyertai UMNO yang dikatakan sedang tenat itu. Bukankah lebih baik pada ketika ini Ezam aktif semula dalam PKR. Tentu sekali beliau lebih layak dilantik sebagai senator, atau, jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan nanti, dilantik sebagai menteri penuh. Lagipun, jasanya kepada PKR dan Anwar cukup besar.
Teringat pertemuan kali kedua saya dengan Ezam di Jakarta pada akhir tahun 1998. (Pertemuan kali pertama pada tahun 1995 ketika saya sedang menuntut di UIA dan beliau ketika itu Timbalan Pengarah Institut Kajian Dasar di Jalan Telawi, Bangsar). Beliau begitu bersemangat berbicara tentang gerakan reformasi dan keyakinannya kepada Anwar. Ketika itu, Anwar mendekam di penjara.
Ironinya, ketika Anwar dikatakan sedang menuju ke puncak kuasa, Ezam pula berpatah arang dengan Anwar. Mengapa terjadi begitu? Biarlah Ezam sendiri yang menjawab persoalan ini. Lagipun, beliau belum membuat pengumuman untuk menyertai semula UMNO. Entah jadi, entah tidak.


1 comment: