Sunday, January 30, 2011

Interlok: Antara Pemikiran Rasional dan Ego Kaum

1. Kontroversi novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain nampaknya masih belum berakhir. Keputusan kerajaan untuk mengekalkan novel ini dengan pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India telah menerima pelbagai reaksi.

2. MIC menerima keputusan ini dengan baik sambil mengingatkan pindaan dibuat dengan teliti supaya tidak timbul lagi pertikaian selepas ini. Namun, beberapa NGO India masih bertegas mendesak supaya novel ini ditarik balik.

3. GAPENA menyambut baik keputusan kerajaan mempertahankan Interlok dan bersedia menyertai panel bebas yang akan ditubuhkan untuk mengkaji pindaan pada novel tersebut. PERKASA sebaliknya tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan. Bagi NGO Melayu ini adalah lebih baik Interlok ditarik balik daripada dipinda.

4. Saya perhatikan dari mula lagi terdapat dua suara yang ekstrem dalam isu ini. Dalam kalangan masyarakat India, suara ekstrem mahukan supaya novel ini ditarik balik. Tiada kompromi. Walaupun pada asalnya hanya perkataan Paria yang menjadi isu, bahagian-bahagian lain turut dipertikaikan kemudiannya.

5. Dalam kalangan masyarakat Melayu, isu Interlok tidak begitu mendapat perhatian di peringkat awalnya. Keadaan berubah apabila novel ini dibakar oleh sekumpulan orang India di Kelang. Tiba-tiba isu ini menjadi hangat. Maruah orang Melayu seluruhnya tercalar dan tercabar.

6. Forum demi forum, wacana demi wacana diadakan untuk mempertahankan setiap patah perkataan dalam Interlok. Novel ini semacam sebuah kitab suci bagi orang Melayu. Malah, ramai juga di kalangan orang Melayu yang menyandarkan hujjah pada kepercayaan dalam agama Hindu bahawa setiap buku itu suci demi mempertahankan Interlok. Tiada kompromi lagi bagi orang Melayu. Seluruh isi perut novel ini mesti dipertahankan.

7. Kini, kontroversi Interlok bukan lagi berkisar pada isi kandungan atau mesej murni yang hendak disampaikan oleh penulis melalui karyanya. Bukan juga mengenai kepentingan pelajar yang akan mentelaah buku ini di dalam bilik darjah. Interlok adalah maruah dan emosi dua kaum. Kedua-duanya tidak mahu berkompromi, kerana kompromi bererti mengalah.

8. Semakin lama isu ini dibiarkan berlanjutan, semakin ekstrem posisi kedua-dua pihak. Sebelum ini, buku Interlok dibakar. Kemudian hari, entah apa pula yang akan dibakar. Biasanya, manusia ini apabila marah fikirannya tidak rasional lagi. Tatkala nafsu amarah memuncak, syaitan dan iblis mula berdamping.

9. Sekarang, keputusan telah dibuat. Novel Interlok kekal, tetapi pindaan akan dibuat pada bahagian yang dianggap sensitif. Keputusan ini bukanlah sesuatu yang popular kerana yang marah masih marah lagi. Hanya mereka yang berfikir secara rasional menerima keputusan ini dengan baik. Itupun setelah menelan ego dan emosi kaum.

10. Asas pertimbangan keputusan ini adalah mudah dan rasional. Pertama, Interlok adalah satu karya yang amat baik dan mesejnya amat murni. Menarik balik novel ini tatkala fikiran yang rasional mengakui kebaikannya adalah sesuatu yang tidak munasabah. Seorang yang rasional tidak akan melakukan sesuatu yang tidak munasabah.

11. Kedua, yang menjadi isu adalah frasa kasta Paria yang dianggap sensitif oleh orang India. Mereka tidak suka dengar perkataan itu. Walau dikatakan kasta adalah fakta sejarah, sistem yang diiktiraf oleh agama Hindu dan satu amalan yang masih dipraktikkan sehingga sekarang, orang India tidak suka perkataan itu disebut. Jadi, apa salahnya perkataan itu dipinda, tanpa menjejaskan plot cerita dan mesej novel yang murni. Ia adalah sesuatu yang munasabah.

12. Tambahan pula, yang dipinda adalah edisi pelajar, bukan karya asal yang tidak pernah disentuh. Sebelum inipun, dengan izin penulis, sudah 10 pindaan dibuat pada novel Interlok edisi pelajar. Terdapat beberapa bahagian pada novel ini yang dianggap tidak sesuai untuk didedahkan kepada pelajar belasan tahun, justeru ia diedit. Malah, adalah menjadi satu kebiasaan teks edisi pelajar diedit untuk memastikan ianya sesuai digunakan di bilik darjah.

13. Jika dilihat secara rasional, keputusan mengekalkan novel Interlok edisi pelajar dengan pindaan pada bahagian yang sensitif tidak sepatutnya menjadi isu. Tetapi ia menjadi isu kerana Interlok sudah menjadi isu politik, isu maruah dan ego kaum.

14. Ada yang mengatakan keputusan ini bermakna UMNO tunduk kepada desakan MIC dan NGO India. Saya rasa tidak. Novel Interlok tidak digugurkan seperti yang dituntut mereka. Mengapa UMNO perlu tunduk kepada desakan yang ekstrem dan tidak rasional?

15. UMNO tidak perlu tunduk kepada suara-suara yang ekstrem, baik yang muncul dari kalangan orang bukan Melayu, mahupun orang Melayu sendiri. Survival UMNO bergantung kepada sejauhmana pemimpin parti Melayu ini boleh bertindak secara rasional dengan mengasingkan diri (insulate) dari pengaruh desakan yang ekstrem dalam membuat sesuatu keputusan. Saya percaya, walau apapun perasaan kita terhadap sesuatu isu, majoriti rakyat masih berfikiran rasional.