Saturday, November 28, 2015

Cash Is King?

Ungkapan “cash is king” atau wang adalah raja mula disebut selepas kerajaan memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM). Andaiannya ialah rakyat akan sokong parti Barisan Nasional dalam pilihanraya apabila keperluan asas mereka dipenuhi oleh kerajaan melalui bantuan kewangan yang diberi secara pukal. Jadi, dalam pilihanraya, wang adalah raja.

Kini, ungkapan “cash is king” telah diguna pakai secara lebih meluas dengan maksud yang negatif. Ia tidak lagi merujuk kepada BRIM, tetapi amalan politik wang dan naungan yang berakar umbi (deep rooted patronage) dalam parti politik, terutamanya UMNO.

Tidak dinafikan, politik naungan adalah antara sumber kekuatan UMNO berbanding parti-parti pembangkang. UMNO berjaya memenangi hati rakyat dalam 13 pilihanraya selama ini antaranya ialah kerana keupayaan UMNO untuk mengagih naungan (dispensing patronage) kepada penyokong parti dan pengundi. Naungan ini boleh jadi dalam bentuk bantuan pendidikan, bantuan pertanian, kontrak, konsesi, jawatan dalam kerajaan, GLC dan sebagainya. Dengan menguasai kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, pemimpin UMNO mempunyai akses kepada sumber yang cukup besar untuk diagih kepada penyokong parti dan pengundi.

Namun, politik naungan yang menjadi sumber kekuatan UMNO selama ini telah mula menjadi liabiliti kepada parti. Dengan wujudnya akses kepada sumber naungan di dalam kerajaan, sebahagian pemimpin parti mula menggunakan kedudukan mereka di dalam kerajaan untuk memperkukuhkan kedudukan di dalam parti. Caranya ialah dengan melebarkan rangkaian naungan (patronage network) di dalam parti.

Adalah menjadi amalan biasa pemimpin-pemimpin bahagian dilantik menduduki jawatan-jawatan penting dalam agensi kerajaan. Malah, dalam Perhimpunan Agung UMNO, sentiasa kedengaran desakan supaya pemimpin parti di peringkat bahagian dilantik menjawat jawatan penting dalam agensi di bawah kementerian dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Prinsipnya ialah parti mestilah menguasai kerajaan.

Amalan ini bukanlah satu perkara baru yang khusus kepada UMNO. Parti-parti pembangkang juga mengamalkan perkara yang sama.

Namun, masalahnya apabila ia dilakukan secara berlebihan dan keterlaluan. Kerana terlalu ghairah untuk memperkukuhkan kedudukan di dalam parti, ada pemimpin tertentu yang berlumba-lumba untuk memberi ganjaran kepada pemimpin bahagian. Mereka berharap, ganjaran ini akan dibalas dalam bentuk sokongan dalam pemilihan parti.

Ganjaran pula diberikan bukan lagi berdasarkan kepada sumbangan pemimpin bahagian dalam meraih sokongan kepada parti, tetapi sekuat mana mereka menyokong atau selantang mana mereka mempertahankan pemimpin tertentu.

Ada pemimpin bahagian yang sentiasa kalah dalam pilihanraya tetapi diganjari dengan jawatan, kewangan dan kontrak kerajaan yang bernilai besar. Malah, mereka ini sudah pandai mengambil kesempatan dengan mengugut pemimpin atasan. Jika tidak diberikan ganjaran, mereka akan memberontak.

Sudahnya, pemimpin bahagian-bahagian UMNO yang mana kawasan parlimen mereka tidak pernah ditandingi oleh UMNO, atau jika UMNO bertanding pun tidak pernah menang, tetapi menjadi panglima perang (warlord) besar di dalam UMNO. Suara mereka sahaja sudah membangkitkan kegentaran di dalan jiwa musuh. Masalahnya musuh yang diperangi bukanlah pembangkang, tetapi sesama pemimpin parti.

Masalah lebih besar berlaku apabila kos survival dalam politik menjadi semakin tidak tertanggung sehingga memaksa segelintir pemimpin parti melakukan pecah amanah. Dalam suasana masyarakat yang semakin terbuka dengan pelbagai hidangan maklumat, pendedahan demi pendedahan mengenai penyelewengan pemimpin tertentu menjadi beban moral yang besar kepada parti.

Dalam keaadan ini, pemimpin parti mempunyai banyak wang, tetapi rakyat sudah hilang percaya kepada parti. Sebanyak mana wang ditabur dalam pilihanraya pun belum pasti dapat meraih undi kepada parti. Pengundi mungkin mengambil wang, tetapi mereka tidak memberi undi. Ini kerana mereka sudah meluat dengan masalah moral pemimpin yang terpaksa ditanggung oleh parti.

Sekiranya beban moral ini tidak dapat diatasi sehingga pilihanraya akan datang, maka ungkapan “cash is king” mungkin boleh bertukar menjadi “cash is liability” kepada UMNO. Renung-renungkanlah.