Wednesday, May 28, 2008

Ezam Sertai Semula UMNO

Teka-teki mengenai kedudukan Sdr. Ezam Mohd Noor, bekas Ketua Angkatan Muda PKR dan Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhirnya terjawab hari ini. Beliau secara rasmi menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Parlimen petang tadi. Penyertaan semula Ezam ke dalam UMNO diumumkan ketika khabar angin mengenai beberapa orang Ahli Parlimen BN akan melompat ke Pakatan Rakyat sedang bertiup kencang.
Pengumuman ini menamatkan spekulasi mengenai kedudukan Ezam. Sebelum ini ada juga desas-desus yang mengatakan bahawa Ezam akan menyertai PAS. Dalam pilihanraya umum yang lalu, Ezam dilihat giat berkempen untuk calon-calon PAS. Ezam juga dikatakan rapat dengan beberapa pemimpin kanan PAS. Mereka tentunya kecewa dengan tindakan Ezam menyertai UMNO.
Sekilas pandang terasa seperti deja vu. Anwar juga rapat dengan para pemimpin kanan PAS sebelum beliau menyertai UMNO pada tahun 1982. Beliau juga hebat mengkritik kerajaan. Pada ketika itu, Anwar sebagai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memimpin gerakan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan menentang pindaan Akta Pertubuhan.

Berdasarkan profail Anwar sebagai seorang Islamis, ramai menjangka bahawa Anwar akan menyertai PAS. Ternyata jangkaan itu meleset. Atas undangan Dr. Mahathir, Presiden UMNO pada ketika itu, dan restu pemikir Islam terkemuka, Almarhum Professor Ismail Raji al-Faruqi, Anwar memilih untuk menyertai UMNO dan melakukan jihad Islah dari dalam.

Sepertimana Pak Lah, Dr. Mahathir pada ketika itu juga berhadapan dengan pengaruh pesaingnya di dalam parti - Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau juga berhadapan dengan pengaruh PAS. Kemasukan Anwar ke dalam UMNO bukan sahaja membantu mewujudkan perimbangan kuasa dalam UMNO, tetapi juga mengendurkan pengaruh PAS.
Apakah pula impak kemasukan Ezam ke dalam UMNO? Tentulah Ezam tidak boleh dibandingkan dengan Anwar, dan Pak Lah tidak boleh dibandingkan dengan Dr. Mahathir. Walau bagaimanapun, kesan penyertaan semula Ezam ke dalam UMNO agak menarik untuk diperhatikan.
Kita tunggu saja sidang akhbar Ezam esok untuk mendapatkan penjelasan mengapa beliau memilih untuk menyertai UMNO.


No comments:

Post a Comment