Saturday, June 18, 2011

PAS Ganti UMNO?

PAS ganti UMNO. Inilah yang dicanang oleh orang-orang PAS ketika ini. Kononnya PAS akan menang besar dalam PRU akan datang, menjadi parti yang memenangi jumlah kerusi paling banyak dalam Pakatan Rakyat, dan jika Pakatan Rakyat memenangi PRU ke-13, PAS akan mengambil tempat UMNO sebagai parti teras yang memimpin kerajaan.

Bolehkah PAS ganti UMNO? PAS boleh ganti UMNO jika parti itu mendapat sokongan besar orang Melayu dalam PRU akan datang. Sokongan orang Melayu kepada PAS mestilah melebihi sokongan mereka kepada UMNO.

Ini adalah satu cabaran besar bagi PAS. Selama ini, persaingan untuk memenangi undi Melayu menyaksikan pertarungan yang sengit antara PAS dan UMNO. Dalam kesemua pertarungan ini, UMNO mempunyai kelebihan berbanding PAS.

Pencapaian terbaik PAS adalah dalam PRU 1999. PAS memenangi 27 kerusi Parlimen, kesemuanya di kawasan majoriti besar Melayu. Selain itu, PAS juga berjaya mengekalkan pemerintahan di Kelantan, merampas Terengganu daripada BN dan hampir-hampir menguasai Kedah.

Pencapaian PAS ini bukanlah disebabkan oleh kekuatan parti itu, tetapi kerana wujud apa yang disebut sebagai ‘Malay revolt’ kepada BN ekoran pemecatan Anwar Ibrahim daripada UMNO dan kes liwatnya di mahkamah.

Buktinya, dalam PRU 2004, waktu mana amuk Melayu kepada BN sudah surut dan faktor Anwar sudah tiada lagi, PAS hanya menang 7 kerusi Parlimen, kalah di Terengganu dan hampir-hampir kalah di Kelantan. Presiden PAS, Hadi Awang, pun kalah di Parlimen Marang.

Pun begitu, nasib PAS kembali cerah dalam PRU 2008. Tsunami politik 2008 telah memberi nafas baru kepada PAS. Parti itu telah memenangi 23 kerusi Parlimen, berjaya merampas Kedah daripada BN dan membentuk kerajaan bersama-sama dengan DAP dan PKR di Selangor dan Perak.

Tetapi, berbeza dengan PRU 1999, kemenangan PAS dalam PRU 2008 bukan disebabkan oleh amuk Melayu kepada BN mahupun faktor Anwar Ibrahim. Ia lebih kepada faktor kelemahan BN sendiri di samping berlakunya penghijrahan ketara undi bukan Melayu kepada pembangkang.

PAS membuat perhitungan yang silap jika menganggap parti itu akan mendapat sokongan besar orang Melayu dalam PRU ke-13. Dalam beberapa siri pilihanraya kecil baru-baru ini, sokongan orang Melayu kepada PAS semakin merosot. Di Kelantan, iaitu negeri kubu kuat PAS, parti itu hampir kalah dalam PRK Manek Urai dan kecundang di PRK Galas. Di luar Kelantan, undi Melayu kepada UMNO meningkat dengan ketara berbanding PAS seperti yang dapat dilihat dalam PRK Kerdau, Merlimau dan Tenang. Beberapa siri kajian pendapat yang dilakukan oleh badan-badan bebas juga menunjukkan undi Melayu kepada PAS semakin merosot.

Apa lagi, tindak-tanduk PAS setelah bekerjasama semula dengan DAP menampakkan parti itu telah mengenepikan slogan-slogan yang sebelum ini digunakan untuk menarik undi Melayu/Islam. Walau apa pun yang dikatakan oleh PAS untuk mewajarkan hubungannya dengan DAP, orang Melayu melihat PAS lebih banyak mengalah kepada DAP.

Kalau trend ini berterusan sehingga ke PRU-13, pastinya PAS akan menghadapi situasi yang amat sukar untuk menyaingi UMNO dalam memenangi undi Melayu. Jika PAS gagal memenangi undi Melayu, maka jumlah kerusi yang akan dimenangi oleh PAS adalah kecil. Sekalipun PAS dapat mengekalkan kesemua kerusi Parlimen yang dimenanginya sekarang, PAS akan menjadi parti komponen terkecil dalam PR.

Justeru, bolehkah PAS menggantikan UMNO? Tentu sekali tidak boleh. Mustahil untuk PAS menggantikan UMNO jika PAS gagal memenangi undi Melayu melebihi apa yang diperolehi oleh UMNO.

Jika PAS tidak boleh menyaingi UMNO dalam memenangi undi Melayu, mampukah muslihat terbaru PAS menggugurkan agenda Negara Islam membolehkan parti itu memenangi lebih banyak kerusi dengan sokongan bukan Melayu? Saya tak fikir begitu. Di kawasan-kawasan majoriti Cina, sudah tentu DAP akan bertanding, bukan PAS. Di kawasan-kawasan campuran pun, PKR yang akan bertanding, bukan PAS. Jika PAS bernasib baik, mungkin ada lah satu atau dua kawasan majoriti kecil Melayu yang akan diberikan kepada PAS. Tetapi itu tidak cukup untuk membolehkan PAS memenangi jumlah kerusi yang banyak di luar kawasan majoriti besar Melayu.

Maka, apa akan jadi kepada PAS? Besar kemungkinan jumlah kerusi yang akan dimenangi oleh PAS dalam PRU akan datang adalah lebih kecil berbanding DAP dan PKR. Angan-angan PAS untuk menggantikan UMNO tidak akan kesampaian. Sebaliknya, PAS hanya akan menjadi sebuah parti kecil dalam PR yang akan terus dipergunakan oleh DAP dan PKR (baca Anwar Ibrahim) untuk mencapai cita-cita politik mereka.

No comments:

Post a Comment