Monday, June 20, 2011

BERSIH: Berunding Jika Ikhlas Mahu Tegakkan Demokrasi

Bersih telah mengemukakan 8 tuntutan kepada Suruhanjaya Pilihanraya. Daripada jumlah ini, hanya 4 yang berkait secara langsung dengan bidangkuasa SPR, iaitu (i) membersihkan daftar pemilih; (ii) memperbaiki sistem undi pos; (iii) menggunakan dakwat kekal; dan (iv) membenarkan tempoh kempen minima selama 21 hari.

Selebihnya berupa kenyataan motherhood yang umum, iaitu (v) akses kepada media secara adil dan bebas; (vi) memperkukuhkan institusi awam; (vii) menghentikan rasuah, dan (viii) menghentikan politik kotor.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, dalam wawancaranya di RTM 1 malam tadi telah menjelaskan beberapa perkara. Antaranya, mengenai penggunaan dakwat kekal yang tidak boleh dilakukan pada ketika ini kerana ianya memerlukan pindaan perlembagaan. BN tidak mempunyai majoriti 2/3 di Dewan Rakyat untuk membolehkan pindaan dibuat.

Abdul Aziz juga telah menyatakan kesediaan beliau untuk berbincang dengan Bersih, dengan syarat mereka membatalkan hasrat mengadakan perhimpunan haram. Ini adalah sesuatu yang agak luar biasa. Kalau hendak dikira, sebagai Pengerusi SPR, beliau boleh sahaja menolak untuk berbincang dengan sebuah pertubuhan haram. Lagipun, perbincangan telah dibuat sebelum ini dan penjelasan telah diberikan kepada Bersih. Namun, mereka tetap berdegil mahu menganjurkan demonstrasi jalanan.

Tetapi pintu tetap dibuka kepada Bersih untuk berbincang demi mencari kejernihan. Kita tunggu samada Bersih akan menerima pelawaan ini dan membatalkan hasrat mereka untuk berhimpun secara haram.

Saya fikir, kita tidak perlu memberitahu Bersih bahawa perundingan dengan pihak yang berkepentingan adalah sebahagian penting daripada amalan demokrasi yang sihat. Sekiranya mereka ikhlas mahu menegakkan demokrasi, maka undangan untuk berbincang ini perlu disahut serta merta.

No comments:

Post a Comment