Pendedahan demi pendedahan telah dibuat untuk menunjukkan niat sebenar BERSIH. Terbaru ialah mengenai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di luar negara menaja kegiatan BERSIH. Utusan Malaysia hari ini melaporkan National Democratic Institute (NDI), yang dinaungi oleh bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Madeline K. Albright, telah terlibat secara langsung dalam menaja aktiviti-aktiviti BERSIH sejak tahun 2005 lagi. Albright adalah sekutu kuat Anwar Ibrahim ketika zaman reformasi.
Laporan Utusan ini mengingatkan saya tentang satu laporan yang ditulis oleh Cheryl Bernard dan Angel Rabasa pada tahun 2007 bertajuk “Building Moderate Muslim Networks”. Laporan ini diterbitkan oleh RAND Corporation, iaitu sebuah kumpulan pemikir yang terlibat dalam memberi khidmat nasihat ketenteraan kepada kerajaan Amerika Syarikat di zaman Presiden Bush. Laporan ini menyarankan beberapa strategi yang perlu digunakan oleh pentadbiran Amerika Syarikat ketika itu untuk memerangi pengganas Islam selepas tercetusnya peristiwa 9/11.
Menariknya, Cheryl Bernard mengatakan bahawa perang sebenar yang sedang berlaku di dunia Islam hari ini bukanlah perang senjata tetapi perang idea. Justeru, pentadbiran Amerika Syarikat disarankan supaya membentuk jaringan dengan golongan Muslim liberal dan moderat untuk mempengaruhi umat Islam supaya menyokong agenda Barat dan mengekang 'keganasan Islam'. Menurut Bernard:
“The struggle underway throughout much of the Muslim world is essentially a war of ideas. Its outcome will determine the future direction of the Muslim world and whether the threat of jihadist terrorism continues, with some Muslim societies falling back even further into patterns of intolerance and violence. It profoundly affects the security of the West … Moderate Muslim networks and institutions would provide a platform to amplify the message of moderate as well as some measure of protection from violence and intimidation … What is needed at this stage is to derive lessons from the experience of the Cold War, determine their applicability to the conditions of the Muslim world today, and develop a “road map” for the construction of moderate and liberal Muslim networks ”.
Siapakah golongan Muslim liberal dan moderat menurut takrifan Bernard? Apakah ia bermaksud orang-orang Islam yang berpegang dengan konsep wasatiyyah, iaitu umat pertengahan yang bersikap sederhana sepertimana yang disebut dalam al-Qur’an?
Jawapannya TIDAK. Bagi Bernard, golongan Muslim moderat ialah mereka yang mendokong konsep hak-hak asasi manusia Barat secara total, menolak pelaksanaan sebarang bentuk undang-undang syariah, menolak pembentukan Negara Islam dan mesra golongan feminis. Hak asasi manusia yang dimaksudkan adalah berlandaskan fahaman liberal Barat, termasuk hak kebebasan beragama yang membenarkan seorang Islam murtad. Ternayata, golongan moderat yang dimaksudkan oleh Bernard bukanlah umat pertengahan (ummatan wasata) yang disebut di dalam al-Qur’an, tetapi manusia sekular yang hilang pedoman rohaninya.
Namun, bagi Bernard, jaringan golongan sekular ini tidak akan wujud dengan sendirinya. Mereka perlu dibantu dan diperkasa. Justeru, beliau menyarankan supaya organisasi-organisasi tertentu membantu golongan sekular di negara-negara Islam. Antara nama organisasi yang dicadangkan ialah NDI.
NDI diketahui terlibat secara aktif membantu BERSIH melaksanakan aktiviti-aktivitinya dari peringkat awal lagi. Berikut adalah kenyataan di laman web NDI:
In July 2005, NDI organized a national-level workshop for party leaders on election reform. NDI has since conducted workshops across Malaysia to promote electoral reform in collaboration with Research for Social Advancement (REFSA), the secretariat for BERSIH. In 2006, NDI conducted a workshop for BERSIH that focused on improving the action plans of each participating organization or political party. In 2007, NDI and BERSIH conducted a series of workshops in the politically neglected provinces of Sabah and Sarawak to educate previously disenfranchised political aspirants.
REFSA adalah sebuah NGO yang mempunyai hubungan rapat dengan DAP.
Mengapa BERSIH?
Sebenarnya, BERSIH hanyalah alat yang digunakan oleh NDI untuk mendekati kumpulan intelektual Muslim, parti politik dan NGO Islam di Malaysia. Ini termasuklah ahli-ahli akademik Muslim, PAS dan beberapa NGO Islam yang menyokong BERSIH. Mereka ini perlu dipengaruhi supaya menyokong agenda pemikiran sekular-liberal Barat dan dengan itu mengunci rapat sebarang usaha untuk mengembalikan kegemilangan Islam.
Ketika di zaman perang dingin, organisasi-organisasi seperti NDI inilah yang berusaha dengan gigih untuk memastikan ejen-ejen Barat yang berfikiran sekular diangkat sebagai pemimpin di negara-negara Islam. Strategi inilah yang dilakukan di Iraq, Libya dan di negara-negara Timur Tengah yang lain. Akhirnya, umat Islam berpecah-belah dan negara Islam porak peranda.
Tidak hairanlah, mutakhir ini kita dapati umat Islam semakin berpecah termasuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan syariat dan akidah. Sudah ada pemimpin Islam yang mengatakan murtad itu dibenarkan dalam Islam. Pemikiran pluralisme diangkat sebagai garis besar baru haluan perjuangan. Sudah hilang gema dakwah, tarbiyyah dan khilafah. Dalam soal penggunaan Kalimah Allah pun umat Islam berbalah. Malah, PAS sebagai parti Islam yang suatu ketika dahulu begitu taksub dengan penubuhan Negara Islam, sudah menggugurkan agenda yang selama ini menjadi akidah politik parti itu. Semua ini dihalalkan atas nama perjuangan demokrasi dan kebebasan.
Modus operandi inilah yang menyebabkan umat Islam, khususnya di negara-negara Arab, tidak pernah berupaya untuk bangkit bersatu mempertahankan Palestin. Bibit-bibit penyakit hati dan minda umat Islam ini nampaknya sudah mula menular ke Malaysia, satu-satunya negara Islam yang masih lagi terselamat daripada perangkap Zionis.
Cheryl Bernard mengatakan bahawa “Feedom Agenda” adalah “grand strategy” dalam memenangi perang global menentang keganasan. Kita tidak ada masalah untuk menentang keganasan. Selama inipun umat Islam di Malaysia tidak pernah menyebelahi pengganas, apatah lagi menjadi pengganas. Kita tidak perlu tunduk kepada agenda Barat semata-mata untuk membolehkan kita menentang keganasan. Kita telah menentang keganasan dan kita akan terus berbuat demikian.
Tetapi kita tahu, perhimpunan BERSIH adalah sebahagian daripada “grand strategy” Zionis untuk mencetuskan huru-hara di negara Islam. Dengan adanya segolongan umat Islam yang sanggup tunduk kepada agenda Barat demi memenuhi nafsu kuasa masing-masing dan tercetusnya demonstrasi besar-besaran yang menyaksikan pertembungan antara dua kelompok umat Islam, maka lengkaplah perencanaan Zionis untuk melemah dan mengancurkan umat Islam, atas nama demokrasi dan kebebasan.
Saya percaya, yang bercadang untuk menyertai perhimpunan BERSIH nanti majoritinya adalah orang Islam. Wahai sauadaraku, berfikirlah. Kita tidak sepatutnya terjerumus dalam perangkap Zionis yang kotor ini.
No comments:
Post a Comment