Tuesday, June 28, 2011

BERSIH Agenda Zionis

Pendedahan demi pendedahan telah dibuat untuk menunjukkan niat sebenar BERSIH. Terbaru ialah mengenai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di luar negara menaja kegiatan BERSIH. Utusan Malaysia hari ini melaporkan National Democratic Institute (NDI), yang dinaungi oleh bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Madeline K. Albright, telah terlibat secara langsung dalam menaja aktiviti-aktiviti BERSIH sejak tahun 2005 lagi. Albright adalah sekutu kuat Anwar Ibrahim ketika zaman reformasi.

Laporan Utusan ini mengingatkan saya tentang satu laporan yang ditulis oleh Cheryl Bernard dan Angel Rabasa pada tahun 2007 bertajuk “Building Moderate Muslim Networks”. Laporan ini diterbitkan oleh RAND Corporation, iaitu sebuah kumpulan pemikir yang terlibat dalam memberi khidmat nasihat ketenteraan kepada kerajaan Amerika Syarikat di zaman Presiden Bush. Laporan ini menyarankan beberapa strategi yang perlu digunakan oleh pentadbiran Amerika Syarikat ketika itu untuk memerangi pengganas Islam selepas tercetusnya peristiwa 9/11.

Menariknya, Cheryl Bernard mengatakan bahawa perang sebenar yang sedang berlaku di dunia Islam hari ini bukanlah perang senjata tetapi perang idea. Justeru, pentadbiran Amerika Syarikat disarankan supaya membentuk jaringan dengan golongan Muslim liberal dan moderat untuk mempengaruhi umat Islam supaya menyokong agenda Barat dan mengekang 'keganasan Islam'. Menurut Bernard:

The struggle underway throughout much of the Muslim world is essentially a war of ideas. Its outcome will determine the future direction of the Muslim world and whether the threat of jihadist terrorism continues, with some Muslim societies falling back even further into patterns of intolerance and violence. It profoundly affects the security of the West … Moderate Muslim networks and institutions would provide a platform to amplify the message of moderate as well as some measure of protection from violence and intimidation … What is needed at this stage is to derive lessons from the experience of the Cold War, determine their applicability to the conditions of the Muslim world today, and develop a “road map” for the construction of moderate and liberal Muslim networks ”.

Siapakah golongan Muslim liberal dan moderat menurut takrifan Bernard? Apakah ia bermaksud orang-orang Islam yang berpegang dengan konsep wasatiyyah, iaitu umat pertengahan yang bersikap sederhana sepertimana yang disebut dalam al-Qur’an?

Jawapannya TIDAK. Bagi Bernard, golongan Muslim moderat ialah mereka yang mendokong konsep hak-hak asasi manusia Barat secara total, menolak pelaksanaan sebarang bentuk undang-undang syariah, menolak pembentukan Negara Islam dan mesra golongan feminis. Hak asasi manusia yang dimaksudkan adalah berlandaskan fahaman liberal Barat, termasuk hak kebebasan beragama yang membenarkan seorang Islam murtad. Ternayata, golongan moderat yang dimaksudkan oleh Bernard bukanlah umat pertengahan (ummatan wasata) yang disebut di dalam al-Qur’an, tetapi manusia sekular yang hilang pedoman rohaninya.

Namun, bagi Bernard, jaringan golongan sekular ini tidak akan wujud dengan sendirinya. Mereka perlu dibantu dan diperkasa. Justeru, beliau menyarankan supaya organisasi-organisasi tertentu membantu golongan sekular di negara-negara Islam. Antara nama organisasi yang dicadangkan ialah NDI.

NDI diketahui terlibat secara aktif membantu BERSIH melaksanakan aktiviti-aktivitinya dari peringkat awal lagi. Berikut adalah kenyataan di laman web NDI:

In July 2005, NDI organized a national-level workshop for party leaders on election reform. NDI has since conducted workshops across Malaysia to promote electoral reform in collaboration with Research for Social Advancement (REFSA), the secretariat for BERSIH. In 2006, NDI conducted a workshop for BERSIH that focused on improving the action plans of each participating organization or political party. In 2007, NDI and BERSIH conducted a series of workshops in the politically neglected provinces of Sabah and Sarawak to educate previously disenfranchised political aspirants.

REFSA adalah sebuah NGO yang mempunyai hubungan rapat dengan DAP.

Mengapa BERSIH?

Sebenarnya, BERSIH hanyalah alat yang digunakan oleh NDI untuk mendekati kumpulan intelektual Muslim, parti politik dan NGO Islam di Malaysia. Ini termasuklah ahli-ahli akademik Muslim, PAS dan beberapa NGO Islam yang menyokong BERSIH. Mereka ini perlu dipengaruhi supaya menyokong agenda pemikiran sekular-liberal Barat dan dengan itu mengunci rapat sebarang usaha untuk mengembalikan kegemilangan Islam.

Ketika di zaman perang dingin, organisasi-organisasi seperti NDI inilah yang berusaha dengan gigih untuk memastikan ejen-ejen Barat yang berfikiran sekular diangkat sebagai pemimpin di negara-negara Islam. Strategi inilah yang dilakukan di Iraq, Libya dan di negara-negara Timur Tengah yang lain. Akhirnya, umat Islam berpecah-belah dan negara Islam porak peranda.

Tidak hairanlah, mutakhir ini kita dapati umat Islam semakin berpecah termasuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan syariat dan akidah. Sudah ada pemimpin Islam yang mengatakan murtad itu dibenarkan dalam Islam. Pemikiran pluralisme diangkat sebagai garis besar baru haluan perjuangan. Sudah hilang gema dakwah, tarbiyyah dan khilafah. Dalam soal penggunaan Kalimah Allah pun umat Islam berbalah. Malah, PAS sebagai parti Islam yang suatu ketika dahulu begitu taksub dengan penubuhan Negara Islam, sudah menggugurkan agenda yang selama ini menjadi akidah politik parti itu. Semua ini dihalalkan atas nama perjuangan demokrasi dan kebebasan.

Modus operandi inilah yang menyebabkan umat Islam, khususnya di negara-negara Arab, tidak pernah berupaya untuk bangkit bersatu mempertahankan Palestin. Bibit-bibit penyakit hati dan minda umat Islam ini nampaknya sudah mula menular ke Malaysia, satu-satunya negara Islam yang masih lagi terselamat daripada perangkap Zionis.

Cheryl Bernard mengatakan bahawa “Feedom Agenda” adalah “grand strategy” dalam memenangi perang global menentang keganasan. Kita tidak ada masalah untuk menentang keganasan. Selama inipun umat Islam di Malaysia tidak pernah menyebelahi pengganas, apatah lagi menjadi pengganas. Kita tidak perlu tunduk kepada agenda Barat semata-mata untuk membolehkan kita menentang keganasan. Kita telah menentang keganasan dan kita akan terus berbuat demikian.

Tetapi kita tahu, perhimpunan BERSIH adalah sebahagian daripada “grand strategy” Zionis untuk mencetuskan huru-hara di negara Islam. Dengan adanya segolongan umat Islam yang sanggup tunduk kepada agenda Barat demi memenuhi nafsu kuasa masing-masing dan tercetusnya demonstrasi besar-besaran yang menyaksikan pertembungan antara dua kelompok umat Islam, maka lengkaplah perencanaan Zionis untuk melemah dan mengancurkan umat Islam, atas nama demokrasi dan kebebasan.

Saya percaya, yang bercadang untuk menyertai perhimpunan BERSIH nanti majoritinya adalah orang Islam. Wahai sauadaraku, berfikirlah. Kita tidak sepatutnya terjerumus dalam perangkap Zionis yang kotor ini.
















Wednesday, June 22, 2011

BERSIH Nak Bersihkan Siapa?

Seperti dijangka, BERSIH menolak tawaran untuk berunding dengan SPR. Sebaliknya, BERSIH semakin galak mengajak rakyat untuk turun ke jalanan. Beberapa siri roadshow akan diadakan di negeri-negeri untuk tujuan ini. Malah, parti-parti pembangkang juga dilihat memperhebatkan gerakan untuk mengerah rakyat berdemonstrasi.

Bukan sukar untuk kita fahami bahawa tujuan sebenar mereka bukanlah untuk memastikan pilihanraya di negara kita bersih dan adil. Mereka pun tahu bahawa dengan sistem pilihanraya yang ada sekarang ini, parti-parti pembangkang pun boleh bertanding dan memenangi banyak kerusi. Yang diperlukan ialah mencipta mood rakyat supaya membenci kerajaan.

Itulah tujuan sebenar mereka. Supaya rakyat turun ke jalanan dan mencetuskan huru-hara. Dengan itu, parti-parti pembangkang bolehlah mencipta gelombang kebencian rakyat kepada kerajaan yang diharap berlanjutan sehingga PRU-13. Jika ini dapat dilakukan, mereka yakin dapat memenangi pilihanraya tanpa mengubah sedikit pun sistem pilihanraya yang ada sekarang.

Sekiranya benar dakwaan mereka bahawa sistem pilihanraya di negara kita bermasalah, maka BERSIH dan parti-parti pembangkang sudah tentu mengajak rakyat turun ke jalanan seawal bulan Mac 2008 lagi. Iaitu selepas keputusan pilihanraya diumumkan.

Inilah yang berlaku di Filipina. People Power Revolution di Filipina menggulingkan Marcos sejurus selepas pemimpin diktator itu menang besar dalam Pilihanraya Presiden 1986. Rakyat Filipina tidak menunggu begitu lama untuk menumpaskan Marcos yang mustahil boleh dikalahkan dalam pilihanraya yang penuh dengan penipuan dan taktik kotor.

Begitu juga di Indonesia. Reformasi di Indonesia menggulingkan Suharto sejurus selepas beliau menang besar dalam Pilihanraya Presiden 1998. Kumpulan penentang Suharto tidak menunggu sehingga bertahun-tahun untuk mengepalai kebangkitan rakyat.

Sebaliknya di negara kita, BERSIH mengajak rakyat berdemonstrasi sebelum pilihanraya sahaja. Kononnya, pilihanraya di negara kita zalim dan kotor. Tetapi selepas parti-parti pembangkang memenangi banyak kerusi dalam pilihanraya 2008, mereka diam terus. Malah, mereka turut meraikan kemenangan parti-parti pembangkang dalam pilihanraya tersebut. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa mereka mengiktiraf keabsahan (legitimacy) pilihanraya kita.

Kini, mereka mengulangi perkara yang sama. Bezanya, kali ini mereka mengajak rakyat turun ke jalanan ketika imej BN telah kembali pulih. Ketika mana parti-parti pembangkang sedang bergelut untuk membersihkan imej ketua utama mereka yang sedang berhadapan dengan pelbagai masalah peribadi yang rumit.

Walaupun BERSIH berusaha keras meyakinkan kita bahawa tujuan mereka adalah murni, tidak sukar bagi mereka yang berfikir untuk membaca apa tujuan mereka sebenarnya.

Kita tahu BERSIH nak bersihkan siapa!

Monday, June 20, 2011

BERSIH: Berunding Jika Ikhlas Mahu Tegakkan Demokrasi

Bersih telah mengemukakan 8 tuntutan kepada Suruhanjaya Pilihanraya. Daripada jumlah ini, hanya 4 yang berkait secara langsung dengan bidangkuasa SPR, iaitu (i) membersihkan daftar pemilih; (ii) memperbaiki sistem undi pos; (iii) menggunakan dakwat kekal; dan (iv) membenarkan tempoh kempen minima selama 21 hari.

Selebihnya berupa kenyataan motherhood yang umum, iaitu (v) akses kepada media secara adil dan bebas; (vi) memperkukuhkan institusi awam; (vii) menghentikan rasuah, dan (viii) menghentikan politik kotor.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, dalam wawancaranya di RTM 1 malam tadi telah menjelaskan beberapa perkara. Antaranya, mengenai penggunaan dakwat kekal yang tidak boleh dilakukan pada ketika ini kerana ianya memerlukan pindaan perlembagaan. BN tidak mempunyai majoriti 2/3 di Dewan Rakyat untuk membolehkan pindaan dibuat.

Abdul Aziz juga telah menyatakan kesediaan beliau untuk berbincang dengan Bersih, dengan syarat mereka membatalkan hasrat mengadakan perhimpunan haram. Ini adalah sesuatu yang agak luar biasa. Kalau hendak dikira, sebagai Pengerusi SPR, beliau boleh sahaja menolak untuk berbincang dengan sebuah pertubuhan haram. Lagipun, perbincangan telah dibuat sebelum ini dan penjelasan telah diberikan kepada Bersih. Namun, mereka tetap berdegil mahu menganjurkan demonstrasi jalanan.

Tetapi pintu tetap dibuka kepada Bersih untuk berbincang demi mencari kejernihan. Kita tunggu samada Bersih akan menerima pelawaan ini dan membatalkan hasrat mereka untuk berhimpun secara haram.

Saya fikir, kita tidak perlu memberitahu Bersih bahawa perundingan dengan pihak yang berkepentingan adalah sebahagian penting daripada amalan demokrasi yang sihat. Sekiranya mereka ikhlas mahu menegakkan demokrasi, maka undangan untuk berbincang ini perlu disahut serta merta.

Saturday, June 18, 2011

PAS Ganti UMNO?

PAS ganti UMNO. Inilah yang dicanang oleh orang-orang PAS ketika ini. Kononnya PAS akan menang besar dalam PRU akan datang, menjadi parti yang memenangi jumlah kerusi paling banyak dalam Pakatan Rakyat, dan jika Pakatan Rakyat memenangi PRU ke-13, PAS akan mengambil tempat UMNO sebagai parti teras yang memimpin kerajaan.

Bolehkah PAS ganti UMNO? PAS boleh ganti UMNO jika parti itu mendapat sokongan besar orang Melayu dalam PRU akan datang. Sokongan orang Melayu kepada PAS mestilah melebihi sokongan mereka kepada UMNO.

Ini adalah satu cabaran besar bagi PAS. Selama ini, persaingan untuk memenangi undi Melayu menyaksikan pertarungan yang sengit antara PAS dan UMNO. Dalam kesemua pertarungan ini, UMNO mempunyai kelebihan berbanding PAS.

Pencapaian terbaik PAS adalah dalam PRU 1999. PAS memenangi 27 kerusi Parlimen, kesemuanya di kawasan majoriti besar Melayu. Selain itu, PAS juga berjaya mengekalkan pemerintahan di Kelantan, merampas Terengganu daripada BN dan hampir-hampir menguasai Kedah.

Pencapaian PAS ini bukanlah disebabkan oleh kekuatan parti itu, tetapi kerana wujud apa yang disebut sebagai ‘Malay revolt’ kepada BN ekoran pemecatan Anwar Ibrahim daripada UMNO dan kes liwatnya di mahkamah.

Buktinya, dalam PRU 2004, waktu mana amuk Melayu kepada BN sudah surut dan faktor Anwar sudah tiada lagi, PAS hanya menang 7 kerusi Parlimen, kalah di Terengganu dan hampir-hampir kalah di Kelantan. Presiden PAS, Hadi Awang, pun kalah di Parlimen Marang.

Pun begitu, nasib PAS kembali cerah dalam PRU 2008. Tsunami politik 2008 telah memberi nafas baru kepada PAS. Parti itu telah memenangi 23 kerusi Parlimen, berjaya merampas Kedah daripada BN dan membentuk kerajaan bersama-sama dengan DAP dan PKR di Selangor dan Perak.

Tetapi, berbeza dengan PRU 1999, kemenangan PAS dalam PRU 2008 bukan disebabkan oleh amuk Melayu kepada BN mahupun faktor Anwar Ibrahim. Ia lebih kepada faktor kelemahan BN sendiri di samping berlakunya penghijrahan ketara undi bukan Melayu kepada pembangkang.

PAS membuat perhitungan yang silap jika menganggap parti itu akan mendapat sokongan besar orang Melayu dalam PRU ke-13. Dalam beberapa siri pilihanraya kecil baru-baru ini, sokongan orang Melayu kepada PAS semakin merosot. Di Kelantan, iaitu negeri kubu kuat PAS, parti itu hampir kalah dalam PRK Manek Urai dan kecundang di PRK Galas. Di luar Kelantan, undi Melayu kepada UMNO meningkat dengan ketara berbanding PAS seperti yang dapat dilihat dalam PRK Kerdau, Merlimau dan Tenang. Beberapa siri kajian pendapat yang dilakukan oleh badan-badan bebas juga menunjukkan undi Melayu kepada PAS semakin merosot.

Apa lagi, tindak-tanduk PAS setelah bekerjasama semula dengan DAP menampakkan parti itu telah mengenepikan slogan-slogan yang sebelum ini digunakan untuk menarik undi Melayu/Islam. Walau apa pun yang dikatakan oleh PAS untuk mewajarkan hubungannya dengan DAP, orang Melayu melihat PAS lebih banyak mengalah kepada DAP.

Kalau trend ini berterusan sehingga ke PRU-13, pastinya PAS akan menghadapi situasi yang amat sukar untuk menyaingi UMNO dalam memenangi undi Melayu. Jika PAS gagal memenangi undi Melayu, maka jumlah kerusi yang akan dimenangi oleh PAS adalah kecil. Sekalipun PAS dapat mengekalkan kesemua kerusi Parlimen yang dimenanginya sekarang, PAS akan menjadi parti komponen terkecil dalam PR.

Justeru, bolehkah PAS menggantikan UMNO? Tentu sekali tidak boleh. Mustahil untuk PAS menggantikan UMNO jika PAS gagal memenangi undi Melayu melebihi apa yang diperolehi oleh UMNO.

Jika PAS tidak boleh menyaingi UMNO dalam memenangi undi Melayu, mampukah muslihat terbaru PAS menggugurkan agenda Negara Islam membolehkan parti itu memenangi lebih banyak kerusi dengan sokongan bukan Melayu? Saya tak fikir begitu. Di kawasan-kawasan majoriti Cina, sudah tentu DAP akan bertanding, bukan PAS. Di kawasan-kawasan campuran pun, PKR yang akan bertanding, bukan PAS. Jika PAS bernasib baik, mungkin ada lah satu atau dua kawasan majoriti kecil Melayu yang akan diberikan kepada PAS. Tetapi itu tidak cukup untuk membolehkan PAS memenangi jumlah kerusi yang banyak di luar kawasan majoriti besar Melayu.

Maka, apa akan jadi kepada PAS? Besar kemungkinan jumlah kerusi yang akan dimenangi oleh PAS dalam PRU akan datang adalah lebih kecil berbanding DAP dan PKR. Angan-angan PAS untuk menggantikan UMNO tidak akan kesampaian. Sebaliknya, PAS hanya akan menjadi sebuah parti kecil dalam PR yang akan terus dipergunakan oleh DAP dan PKR (baca Anwar Ibrahim) untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Thursday, June 16, 2011

Bersih Yang Kotor

Parti-parti pembangkang dan NGO pro-pembangkang terus berdegil untuk menganjurkan demonstrasi jalanan yang dinamakan Bersih 2.0. Alasan mereka adalah untuk menuntut pilihanraya yang lebih adil dan bersih. Maksudnya pilihanraya yang diadakan sebelum ini adalah zalim dan kotor. Digambarkan pilihanraya di Malaysia penuh dengan rasuah, penipuan dan kerakusan kuasa pemerintah menindas parti pembangkang.

Anehnya, dalam setiap pilihanraya di negara kita, parti pembangkang tidak pernah gagal memenangi sebarang kerusi. Malah dalam Pilihanraya Umum 2008, pakatan pembangkang menguasai 5 buah negeri dan menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen. 8 daripada 16 pilihanraya kecil yang diadakan sejak 2008 juga dimenangi oleh parti pembangkang.

Jika benar seperti didakwa, maka pastinya BN dapat menang mudah dalam setiap pilihanraya dengan memperolehi majoriti besar. Namun, hakikatnya tidak begitu. Pilihanraya di negara kita tidak menjanjikan kemenangan mudah bagi parti pemerintah.

Parti pemerintah berhempas pulas untuk memenangi pilihanraya. Bergantung kepada isu dan mood rakyat, adakalanya parti pemerintah menang, ada ketika kalah juga. Pendek kata, pilihanraya di Malaysia adalah antara yang paling kompetitif di rantau ini, jika tidak di dunia.

Tetapi parti-parti pembangkang dan NGO pro-pembangkang tidak mahu mengiktiraf hakikat ini. Samalah seperti mereka mengatakan Malaysia bukan negara Islam suatu ketika dahulu. Selama berdekad mereka berdegar-degar menjaja model negara Islam yang kononnya berdasarkan prinsip al-Qur'an dan al-Sunnah. Akhirnya, mereka sendiri mengatakan Negara Islam tidak ada dalam al-Qur'an. Pelik!

Begitu juga dengan pilihanraya di Malaysia. Setiap kali menjelang pilihanraya umum, mereka mendendangkan lagu kononnya pilihanraya kita adalah zalim dan kotor. Bila sudah menang, mereka diam terus.

Oleh kerana pilihanraya umum mungkin akan diadakan tidak lama lagi, parti-parti pembangkang dan NGO pro-pembangkang sekali lagi mendendangkan lagu lama. Berdegar-degar menuduh pilihanraya kita zalim dan kotor. Justeru, rakyat diajak turun ke jalanan untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.

Mulanya 300,000 orang dijangka akan memenuhi jalan-jalan raya di Kuala Lumpur pada 9 Julai. Mutakhir ini, dengar khabar sasarannya sudah meningkat lebih daripada itu. Jika jumlahnya melebihi 300,000 orang, maka pihak penganjur bukan lagi berniat untuk melakukan perhimpunan aman yang haknya dilindungi oleh Perlembagaan. Kecenderungan penganjur ialah untuk melakukan rusuhan. Rusuhan dan perhimpunan haram tidak dilindungi oleh Perlembagaan.

Walaupun demonstrasi Bersih 2.0 dianjurkan oleh sebuah pertubuhan haram yang diketuai oleh bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan, tetapi nampaknya Pemuda PAS sedang giat mengerah pemuda-pemuda di seluruh negara untuk menyertai demonstrasi ini. Rusuhan di Mesir, Tunisia, Syria dan di negara-negara Timur Tengah yang lain dijadikan pembakar semangat untuk mempengaruhi para pemuda kita menyertai demonstrasi jalanan untuk menggulingkan kerajaan yang sah.

Ini satu ironi. Dahulu, demokrasi di negara-negara Islam, termasuk di Timur Tengah dan Asia Tenggara, difahami dalam konteks penyertaan gerakan Islam dan parti-parti politik Islam dalam pilihanraya serta keupayaan mereka untuk membentuk dan mentadbir kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Kini tidak lagi. Demokrasi diraikan dengan rusuhan jalanan yang didalangi oleh parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Apakah muslihat mereka? Mahu menuntut pilihanraya yang lebih adil atau mahu menggulingkan kerajaan yang sah melalui rusuhan jalanan yang kotor? Atau mahu menggantikan pilihanraya yang demokratik dengan rusuhan jalanan sebagai cap kempa demokrasi yang baru?

Namanya bersih, tapi niatnya busuk dan kotor!

Tuesday, June 7, 2011

Negara Islam PAS

Bila Haji Hadi sebut konsep Negara Islam tiada dalam al-Qur’an, terdetik di hati saya untuk menyemak kembali Dokumen Negara Islam yang beliau sendiri lancarkan pada tahun 2003. Dalam prakatanya, Haji Hadi menyebut (versi Bahasa Inggeris):

The Publication of this document is sufficient evidence to quash allegations that PAS never intended and would not establish the Islamic State, as alleged to run counter to PAS’ political interest.

Verily the responsibility of establishing an Islamic Government is as important as establishing the other daily rituals of Islam. This is in fact evident from the principle of Islamic maxim which states:

“Something becomes obligatory if an obligatory injunction fails to be fulfilled without it”

Hence since the successful implementation of the obligatory injunction of ‘enjoining good and forbidding vice’ and the entire good governance, is dependent on the acquiring of the executive power, thus the ESTABLISHMENT OF THE ISLAMIC STATE HAS BECOME OBLIGATORY.

Dengan bersandarkan kaedah syarak ma la yatimmul wajib illa bihi fa huwa wajib (sesuatu yang tak sempurna perkara wajib tanpanya, maka ianya juga adalah wajib), maka Haji Hadi pada tahun 2003 memfatwakan penubuhan negara Islam adalah WAJIB.

Kaedah syarak mana pula yang Haji Hadi guna untuk menafikan kewajipan mendirikan negara Islam kali ini?

Haji Hadi tak perlu jawab kerana kita tahu jawapannya. Tidak ada kaedah syarak. Yang ada hanyalah kemahuan kuasa menuju ke Putrajaya bersama DAP dan PKR. Oleh kerana DAP tak boleh terima negara Islam, PKR pun tak boleh terima negara Islam, maka itu perjuangan mendiri negara Islam ala PAS perlu dibenam.

DAP 1, PKR 1, PAS 0

Sebelum ke Putrajaya pun PAS dah kalah dalam mempertahankan prinsip Islam. Berapa banyak lagi yang PAS akan kalah?