Friday, August 28, 2009

Otak di Lutut

P. Gunasegaram dalam ruangan “Question Time” di akhbar The Star bertarikh 28 Ogos 2009 mengkritik hukuman sebat ke atas peminum arak di bawah undang-undang jenayah syariah di negara ini. Kononnya undang-undang ini adalah lapuk dan perlu dihapuskan.

Untuk menguatkan pandangannya, dia memetik hujjah "ilmuwan Islam" yang mengatakan tiada dalil al-Qur’an yang menetapkan hukum sebat ke atas peminum arak.

Malah, katanya lagi, semua undang-undang yang menghukum “jenayah moral”, iaitu “jenayah” yang dilakukan dalam ruang peribadi serta tidak menyakiti orang lain, perlu dihapuskan. Dia menyenaraikan beberapa bentuk jenayah seperti liwat, seks oral, zina dan khalwat.

Saya ingin melihat kedua-dua isu yang dibangkitkan dari kedua-dua sudut perundangan Islam dan Barat.
Dalam perundangan Islam, Al-Qur’an dan Hadith adalah dua sumber primer undang-undang. Jika terdapat dalil dalam mana-mana sumber ini mengenai kesahihan sesuatu undang-undang, maka ianya adalah undang-undang yang sah.

Hukuman rotan ke atas peminum arak memang tidak disebut dalam al-Qur’an, tetapi disebut dalam hadith yang sahih. Jadi, ianya adalah satu bentuk undang-undang yang sah.
Tujuan hukuman pula bukanlah untuk menzalimi atau menyakiti. Ia sekadar satu iktibar kepada si pesalah dan orang lain. Disyaratkan si perotan tidak boleh mengangkat tangan melepasi paras ketiak ketika merotan. Ini menunjukkan kaedah merotan yang ringan dan sivil. Berlainan pula dengan hukuman rotan dalam undang-undang sivil yang nampaknya kurang sivil.
Kartika Sari Dewi Shukarno, model yang dijatuhi hukuman rotan kerana meminum arak pun, dengan sukarela ingin menjalani hukuman kerana dia tahu hukuman itu adalah untuk memberi iktibar kepadanya dan orang lain, bukan untuk menzaliminya.
Hanya penulis-penulis dalam Wall Street Journal, New York Times dan The Star yang mengkritik hebat hukuman rotan dalam undang-undang Islam tidak faham maksud undang-undang Islam atau sengaja buat-buat tidak faham.

Soal samada pesalah moral patut dihukum atau tidak pula adalah debat lapuk dalam jurisprudens Barat. Debat ini tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Malah kalau diikutkan pandangan kuno bahawa seseorang itu hanya patut dihukum sekiranya dia menyakiti orang lain, kita akan dapati banyak juga undang-undang yang telah diterima umum oleh masyarakat moden pada hari ini menjadi tidak sah.

Bukan sahaja mereka yang meliwat tidak patut dihukum, mereka yang memberi dan mengambil rasuah juga tidak patut dihukum. Penerima dan pemberi rasuah tidak menyakiti antara satu sama lain. Kesalahan mereka hanyalah kesalahan moral.

Begitu juga dengan undang-undang yang mengharamkan pengambilan dadah. Penagih dadah tidak sepatutnya dihukum menurut piawai kuno ini kerana mereka tidak menyakiti sesiapa. Mereka bahkan seronok apabila khayal. Kesalahan mereka hanyalah kesalahan moral.

Seseorang yang cuba membunuh diri juga tidak patut dihukum. Dia tidak menyakiti sesiapa melainkan menyusahkan pihak polis dan bomba. Undang-undang yang menjadikan cubaan membunuh diri sebagai satu jenayah adalah tidak sah.

Banyak lagi undang-undang lain yang boleh disebut. Tetapi Gunasegaram hanya menyebut undang-undang liwat, zina, khalwat dan minum arak!

Saya fikir, apabila kita menulis, otak kita patut diletakkan di kepala, bukan di lutut.
Mungkin lebih banyak ""Question Time" perlu diberikan kepada seorang penulis untuk bertafakkur sebelum dia mula meletakkan mata pena di atas kertas.

1 comment:

  1. Salam Dr.Marzuki. Kalau orang Islam yang tulis artikel tu, saya memang akan rasa marah. Sebab jelas dalam hadith bahawa seseorang peminum arak itu boleh dikenakan hukuman hudud @ ta'zir. Tapi memandangkan P. Gunasegaram bukanlah seorang Islam, maka saya tak berasa hairan kalau dia mengkritik sedemikian berkenaan hukuman sebat terhadap Kartika. Sebab pertama kerana beliau bukan Islam, maka beliau tak mengetahui apa2 tentang hukum hudud, qisas & ta'zir. Dan sebab ke 2 kerana penolakan beliau terhadap agama Allah itu merangkumilah penolakan beliau terhadap hukum Allah.

    ReplyDelete