Sunday, August 31, 2008

Politik Bukan Perkauman?

Seorang sahabat lama saya mengatakan bahawa politik Malaysia pada hari ini sudah tidak lagi berasaskan kaum. Politik bukan komunal (non-communal politics) katanya. PRU 2008 dan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh menunjukkan penolakan rakyat terhadap politik perkauman ala BN. Justeru, parti-parti politik berasaskan kaum dalam BN seperti UMNO, MCA, Gerakan dan MIC sudah tiada masa depan lagi. Ini hujjah sahabat lama saya itu.

Saya bingung juga. Isu-isu perkauman melatari kempen PRU 2008. Tuntutan Hindraf bersifat perkauman. Tuntutan penamatan DEB bersifat perkauman. Penafian "ketuanan Melayu" bersifat perkauman juga. Malah, ketika mengikuti kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-baru ini, apabila YB Lim Kit Siang mengatakan bahawa pengundi Permatang Pauh akan melakar sejarah di Malaysia, seorang gadis tionghua di sebelah saya (mungkin secara tidak sedar) menyebut ”No. 2”. Yang saya faham, dia mungkin bermaksud sekiranya Anwar menang dan Pakatan Rakyat memerintah, YB Lim atau seorang anak tionghua akan menjadi Timbalan Perdana Menteri, orang No. 2 negara. Ketika saya berjalan menuju ke pusat mengundi di Seberang Jaya (kebetulan saya pengundi berdaftar di Permatang Pauh), seorang lelaki Melayu menggesa saya mengundi parti tertentu kerana parti yang satu lagi itu didominasi oleh kaum bukan Melayu.

Nah ... apakah negara ini sedang menuju ke arah politik bukan perkauman, atau semakin bersifat perkauman?

Saturday, August 30, 2008

Sembang Politik Permatang Pauh

Berikut adalah pandangan saya mengenai "Hala Tuju Politik Negara Pasca Pilihanraya Kecil Permatang Pauh" yang disampaikan dalam forum Sembang Politik Utusan Malaysia. Forum tersebut diadakan di Ibu pejabat Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur pada 27 Ogos 2008. Ahli panel lain ialah Ahli Parlimen Pasir Mas YB Datuk Paduka Ibrahim Ali dan Ahli Parlimen Batu Pahat YB Dr. Mohd. Puad Zarkashi. Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Sdr. Baharom Mahusin, bertindak sebagai moderator forum. Forum tersebut disiarkan di Mingguan Malaysia hari ini (31/8/2008). Video penuh boleh diakses di http://www.utusanonline.tv/

Berubahkah politik negara?

DALAM program Sembang Politik Utusan Malaysia yang diadakan di Ibu pejabat Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur Rabu lalu, tiga ahli panel dijemput mengupas topik 'Hala Tuju Politik Negara Pasca Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh'.

Sehari sebelum itu, pada 26 Ogos, pilihan raya kecil Permatang Pauh telah diadakan, satu pertandingan yang mengecewakan Barisan Nasional (BN) kerana ia dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh undi majoriti yang lebih besar iaitu 15,524. Pilihan raya kecil itu menandakan kembalinya Anwar ke Parlimen, satu peristiwa politik yang memberikan rentak baru kepada politik tanah air.

Dalam program diskusi itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, DATUK IBRAHIM ALI berpendapat kemenangan Anwar itu telah dijangka tetapi beliau tidak percaya Anwar dapat membentuk kerajaan pada 16 September ini. Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. MOHD. PUAD ZARKASHI pula kecewa kerana mood rakyat yang diperlihatkan dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu masih kekal yang menuntut UMNO dan BN melakukan perubahan untuk tetap relevan.

Seorang lagi ahli panel, DR. MARZUKI MOHAMAD dari Jabatan Politik, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) melihat pilihan raya kecil Permatang Pauh sebagai pertembungan antara nilai politik dan protes politik. Moderator program Sembang Politik tersebut ialah Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Baharom Mahusin. Rakaman video program itu boleh diakses melalui laman web http://www.utusanonline.tv/.

BAHAROM: Saya ingin tujukan soalan yang pertama kepada Datuk Ibrahim Ali. Apakah yang Datuk tafsirkan daripada keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh?

IBRAHIM: Dalam soal pilihan raya kecil Permatang Pauh, semua pihak pada awal lagi mengatakan Anwar akan menang. Saya kata, apa pun Anwar akan menang walaupun satu undi. Saya bagi alasan mudah.

Pertama, Permatang Pauh adalah lubuk Anwar, tempat dia berpangkalan. Kedua, bila pilihan raya kecil diadakan di Permatang Pauh, parti pembangkang sudah ada kekuatan iaitu Pakatan Rakyat terdiri daripada DAP, PKR dan Pas yang memerintah Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah. Alasan ketiga, saya percaya Anwar mempunyai cukup kemudahan termasuk kewangan untuk menghadapi BN. Pendek kata, kalau BN ada duit, Anwar pun ada duit.Saya boleh bagi sebab-sebabnya, saya ada bukti-bukti yang saya dapat lihat dari luar. Alasan keempat, Anwar mempunyai sokongan dari luar dan dalam, yang kita tidak tahu, tetapi kuat. Kelima, Anwar juga ada kelebihan. Dia mempunyai jentera. Keghairahan jentera dan penyokongnya begitu bersemangat.

Undinya bertambah kerana lima perkara yang saya sebutkan tadi, terutama kerana Permatang Pauh adalah lubuk Anwar. Saya nak bagi contoh saya sendiri. Lubuk saya di Pasir Mas. Saya lama berpolitik di Pasir Mas. Hidup mati, jatuh bangun saya di Pasir Mas. Oleh kerana lubuk saya di Pasir Mas, boleh tengok bukti (kemenangan saya). Siapalah saya ini, pemimpin yang tidak ada pangkat, bukanlah Timbalan Perdana Menteri, bukan juga Menteri Kewangan.
Lubuk ini penting. Politik Anwar bermula di Permatang Pauh pada 1982, 1986, 1990 dan 1995. Bermakna empat kali pilihan raya dia menang di Permatang Pauh. Oleh itu saya tidak hairan dengan kemenangannya. Pandangan saya ialah kita kena terima hakikat bahawa dalam mindset rakyat, rakyat telah tolak kepimpinan yang ada sekarang. Selepas pilihan raya umum baru- baru ini, harga minyak naik lagi pada bulan Jun. Jadi, kemarahan rakyat yang menyebabkan mereka mengundi pembangkang (pada 8 Mac lalu) belum reda, tiba-tiba harga minyak naik lagi. Jentera BN di Permatang Pauh pula amat lemah. Saya tidak pernah tengok jentera BN selemah itu.

DR. MOHD. PUAD: Semua orang berkongsi pandangan bahawa keputusan pilihan raya Permatang Pauh ini memberi pelbagai makna, yang saya sendiri secara peribadi tidak terkata apa. Kadang-kadang saya susah hendak menjawab. Kadang-kadang saya juga senang hendak menjawab iaitu maksudnya trend pengundi tidak berubah sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu. Mereka tetap merasakan seolah-olah tidak ada perubahan pada BN. Itu jawapan yang paling mudah: tiada perubahan.

Tetapi saya sedikit berbeza dengan Datuk Ibrahim yang mengatakan bahawa jentera BN lemah, saya tidak fikir sangat jentera BN lemah. Sebenarnya banyak perkara yang dibuat, sebab saya pun ada di sana.

Apakah punca Anwar menambah undi majoriti. Apakah sebab karismanya atau seperti yang disebut oleh Datuk Ibrahim kerana Permatang Pauh kubu kuat Anwar. Ataupun kerana ada faktor yang lain. Jadi kalau dibuat analisis mengenai pilihan raya kecil ini, mungkin lebih adil kalau kita menunggu satu lagi pilihan raya kecil yang tidak melibatkan Anwar, tetapi di kubu kuat lain PKR, baru kita boleh buat perbandingan. Mungkin kita boleh tunggu di Kulim Bandar Baharu, kalau jadi pilihan raya kecil. Sekiranya peratusan undi PKR tidak berubah, bahkan naik, saya rasa ada sesuatu yang BN perlu rombak yang memerlukan tindakan drastik. Itu soal keputusan, tetapi apakah hala tuju masa depan politik negara kesan daripada pilihan raya kecil di Permatang Pauh.

Saya fikir yang menjadi kebimbangan kita sekarang ialah apakah akan berlaku satu perubahan yang lebih kuat pada pemikiran anak-anak muda. Saya melihatnya, baik dari segi jentera, pelobi dan mereka yang hadir dalam ceramah-ceramah, saya nampak ramai golongan muda. Dan saya lihat seolah-olah golongan muda tetap dengan pendirian mereka iaitu mereka masih tidak boleh memihak kepada BN. Ini satu perkara yang saya rasa perlu difikirkan dan saya fikir bahawa sudah tentu Anwar dan PKR akan terus merasakan bahawa hujah mereka dalam soal Malaysian Malaysia barangkali mempengaruhi pendirian rakyat.

Di Permatang Pauh, berdasarkan keputusan peti-peti undi, pengundi Cina tidak ada pun (menyokong BN), mereka tidak bagi pun undi kepada BN sebenarnya.
Saya rasa di Parlimen Anwar mungkin akan membawa Agenda Ekonomi Malaysia yang menjadi agenda yang berlawanan dengan Dasar Ekonomi Baru. Saya rasa wujud trend ini, dengan kehadiran Anwar di Parlimen membawa pemikiran seperti ini. DAP sudah tentu akan menyokong kuat sebab saya tahu DAP lebih mengharapkan kemenangan Anwar kerana mereka tahu dengan kehadiran Anwar, ia akan memberikan kekuatan tambahan kepada DAP. DAP akan mendapat manfaat yang lebih besar daripada keputusan pilihan raya di Permatang Pauh.

Selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh, apakah trend politik di Malaysia lebih bersifat bukan perkauman. Apakah konsep bangsa Malaysia itu akan semakin kuat dan apakah orang Melayu akan lebih tertekan, terutama UMNO. Apakah mereka semakin berani menyuarakan isu-isu orang Melayu. Apakah ini akan menyebabkan kerajaan semakin melonggarkan dasar-dasarnya, yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu kerana tekanan seperti itu.

DR. MARZUKI: Dengan keputusan pilihan raya kecil di Permatang Pauh, persoalannya apakah mungkin selepas ini akan berlaku perubahan kerajaan pada 16 September. Seperti mana yang disebut oleh Dr. Mohd. Puad tadi mengenai soal pemikiran politik, adakah pemikiran politik orang Melayu sudah berubah.

Ada orang mengatakan bahawa pilihan raya umum Mac 2008 adalah satu pilihan raya protes kepada BN. Ini bermaksud nilai politik rakyat tidak berubah, cuma mereka memprotes. Dan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, kita nampak mood yang sama, jadi ini menimbulkan satu persoalan apakah itu satu protes ataupun nilai politik sudah berubah?

Pada bulan Julai lalu, di UIA, kami mengadakan satu tinjauan pendapat mengenai nilai politik orang Melayu dengan menemu bual lebih kurang 1,500 responden Melayu di seluruh Semenanjung. Kita tanya beberapa soalan yang kita boleh tafsirkan sebagai nilai politik, misalnya apakah pandangan mereka mengenai pilihan raya. Kita hendak tahu sama ada mereka sudah ada satu nilai politik yang menerima proses demokrasi.

Kita tanya soalan, perlukah pilihan raya diadakan sekiranya kerajaan dapat menyediakan pembangunan ekonomi. Daripada jawapan, kita dapati 70 peratus mengatakan walaupun kerajaan berjaya memberikan pembangunan ekonomi kepada rakyat, pilihan raya masih perlu diadakan. Maksudnya, bagi orang Melayu, proses demokrasi itu masih perlu dijalankan walaupun kerajaan dikatakan berwibawa untuk membawa pembangunan ekonomi. Dalam konteks pemikiran pembangunan ekonomi, kita mendapati mereka berpendapat kejayaan ekonomi sahaja tidak cukup. Proses demokrasi juga diperlukan.

Kemudian kami bertanya tentang hak keistimewaan orang Melayu. Sebanyak 90 peratus responden tidak bersetuju hak orang Melayu dihapuskan. Mereka mahukan hak keistimewaan orang Melayu dikekalkan tetapi dalam pada masa yang sama kaum-kaum lain harus diberi layanan yang adil.

Sebanyak 69 peratus mengatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan penahanan tanpa bicara. Ini bermaksud mereka mahukan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dihapuskan. Dalam konteks pilihan raya kecil Permatang Pauh, kita boleh perhatikan bahawa inilah mesej yang disampaikan oleh Pakatan Rakyat. Demokrasi dan layanan yang adil untuk semua kaum dan dalam masa yang sama mereka juga mengatakan hak orang Melayu mesti dipertahankan.

Datuk Ibrahim mengatakan Permatang Pauh ialah lubuk Anwar. Ada kemungkinan faktor lubuk juga perlu kita ambil kira. Kalaulah pilihan raya dibuat di tempat lain, mungkin situasinya berbeza. Tetapi sekurang- kurangnya di Permatang Pauh ia menunjukkan bahawa orang Melayu juga menyokong Pakatan Rakyat. Orang bukan Melayu dalam tinjauan kempen pilihan raya itu kita dapati menunjukkan sokongan yang berbeza kepada Pakatan Rakyat.

Jadi yang kita lihat pada masa depan dalam konteks politik Melayu ialah bagaimanakah nilai-nilai politik itu ditangani oleh parti-parti politik Melayu seperti UMNO misalnya. Legitimasi dasar politik sesebuah parti politik bergantung kepada bagaimana orang melihat parti politik itu. Kalau parti politik itu memperjuangkan sesuatu yang telah selari dengan nilai yang diperkatakan, mereka akan mengatakan bahwa parti itu mempunyai kesahan politik dan mereka boleh menyokong parti itu.

Dalam konteks ini, bagaimanakah parti politik Melayu seperti UMNO dan Pas, umpamanya, ingin respons kepada pemikiran-pemikiran politik yang baru. Saya nampak akhirnya akan berlaku pertembungan idea-idea politik yang lebih hebat daripada dulu selepas Anwar masuk ke Parlimen dan menggunakan Parlimen sebagai satu medan untuk memperjuangkan idea-ideanya.

Selera pengundi nampaknya berubah. Adakah keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh melambangkan isu pembangunan tidak laku lagi?

IBRAHIM: Ini adalah persoalan antara nilai dan protes. Kita ambil contoh isu Melayu iaitu isu membuka 10 peratus Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan Melayu. Saya masih ingat lagi, ada isu yang lebih hebat daripada isu itu. Waktu MCA membangkitkan isu ketuanan Melayu pada tahun 1987, ada Operasi Lalang dan ramai yang kena tahan.

Bagaimanapun, pilihan raya selepas itu BN menang. Sebelum-sebelum itu pun begitu. Kemudian selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih (kepimpinan) daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, lagi hebat kemenangannya pada tahun 2004. Perubahan cuma berlaku dalam empat tahun kebelakangan ini. Itu persoalannya. Apakah soal nilai, saya tidak nampak nilai boleh berubah dalam masa empat tahun.

Saya mempertahankan hujah saya. Kita ambil contoh UMNO dan Pas. Bila sebahagian orang UMNO tidak puas hati, dia pergi kepada Pas. Mereka tidak pergi ke parti lain. Orang Cina pula, bila mereka melihat Melayu tidak kuat lagi, mereka berubah. Bagi saya, jentera pilihan raya amat penting. Saya seorang aktivis yang mempunyai pengalaman dalam banyak pilihan raya. Pada saya, jentera yang cukup kuat amat penting.

Di Permatang Pauh, awal-awal lagi strategi BN mengatakan Anwar akan menang. Bila sebut Anwar akan menang, kempen BN sudah lemah semangat. Dari segi psikologinya, orang berkata lebih baik kita duduk sebelah Anwar sebab Anwar akan menang.

Dalam soal spin doctor, kalau ada spin doctor pun, jika sikap orang UMNO tidak berubah, sampai bila pun tidak berubah. Kita tengok, sejak malam penamaan calon, pada pukul 2 pagi budak-budak PKR dan Pas tahan kereta di Permatang Pauh dan sebarkan risalah pilihan raya. Mereka menaiki kereta yang pasang bendera sampai selesai pilihan raya. Bermakna, jentera PKR telah berjaya mewujudkan mood iaitu mood Anwar akan menang. Jentera Pemuda UMNO pula saya tengok langsung tidak bergerak, tidak boleh lawan jentera PKR.

Di Permatang Pauh, saya melawat juga markas-markas BN yang saya tengok lesu. Mungkinlah pemimpin BN kempen sana sini, tapi di Parlimen saya tengok ada ramai menteri. Saya tanya, “Tak pergi Permatang Pauh ke? Jawab mereka: ‘Dah pergi semalam, tunjuk muka je la bos’.” Waktu saya mempertahankan UMNO dulu selepas Anwar dipecat, saya bergadai nyawa. Golongan muda yang baru jadi menteri, jadi timbalan menteri, jadi ahli Majlis Tertinggi UMNO, saya tengok penuh di Hotel Sunway Seberang Jaya. Mereka bukan berkempen, dok bercakap di bahagian dia dapat berapa pencalonan, dan sama ada pemilihan UMNO kali ini dapat naik lagi. Ketika itu budak-budak jentera PKR berada di kawasan bekerja (mempengaruhi pengundi).

Mungkin ada perubahan nilai, mungkin ada sedikit sebanyak, tetapi yang paling berat saya nak kata pengaruh Tun Mahathir. Dalam blog Che Det, beliau membawakan isu-isu yang ditulis dengan bahasa yang mudah dan pendek-pendek. Risalah yang mengandungi komen Dr. Mahathir dalam blog Che Det itu yang saya jumpa di kedai- kedai di kawasan Permatang Pauh. Ia digunakan oleh pembangkang.

Dua isu yang besar ialah isu Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersumpah dan isu UiTM. Strategi BN mengatakan ini bukan politik, tak ada kena mengena dengan Permatang Pauh. Tapi kecekapan jentera Anwar, macam mana dia boleh ambil pula imam Masjid Wilayah Persekutuan bawa turun ke Permatang Pauh. Orang tidak terfikir, soalnya dia hanya jadi saksi (kepada sumpah) itu tapi bagi sesetengah orang imam datang mari nafi, itu pun dah boleh mengubah mereka.

Isu UiTM. Saya antara yang kuat mempertahankan UiTM, ini darah daging saya tetapi saya tidak bersetuju dengan cara penglibatan Naib Canselor UiTM yang kenyataan-kenyataannya dalam televisyen nampak berlebihan dan tidak nampak keintelektualan bila menjawab kenapa UiTM perlu dikekalkan statusnya. Budak-budak UiTM tunjuk perasaan. Ini yang jadi mood rakyat. Cawangan UiTM ada dalam Permatang Pauh. Budak- budak keluar tunjuk perasaan, di kawasan sekitar itu ada pengundi bukan Melayu yang tunjuk perasaan, ini memberi kesan kepada mereka.

Datuk Ibrahim mengatakan bahawa pemimpin politik UMNO tidak ada semangat juang untuk mempertahankan kerajaan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh. Benarkah gejala ini berlaku?

DR. MOHD. PUAD: Sejak pilihan raya Mac lalu, dengan kemerosotan undi yang dihadapi oleh bukan sahaja BN tetapi juga UMNO, saya melihat masih tidak ada formula baru yang diketengahkan untuk membuat pembetulan baik kepada BN mahupun kepada UMNO sendiri. Saya rasa lebih baik saya berterus terang. Isunya adalah isu kepimpinan.

Bukankah UMNO telah ada pelan pemulihan UMNO dan BN selepas pilihan raya umum lalu?

DR. MOHD PUAD: Saya rasa tidak ada. Terus terang saya rasa tidak ada (pelan pemulihan). Kalau tidak, kenapa ia tidak sampai kepada akar umbi parti.

Selain itu, saya rasa Anwar telah menjadi satu faktor yang menyatupadukan Pakatan Rakyat. Akhirnya politik masa depan kita adalah pertembungan antara gabungan, ia akan menjadi sistem dua parti dalam bentuk gabungan antara BN atau Pakatan Rakyat. Kejayaan Pakatan Rakyat (di Permatang Pauh) ialah mereka berjaya menguasai pemikiran pengundi. Tentang soal perubahan nilai, itu saya rasa menjadi satu perbahasan. Saya anggap apa yang berlaku lebih kepada persepsi. Persepsi yang gagal. Isu yang berbangkit lambat diselesaikan. Cara untuk menyelesaikannya pun tidak betul, jadi persepsi itu terus melekat pada pemikiran rakyat.

IBRAHIM: Bila kita kata pengundi Melayu sudah lari daripada UMNO, ia berkaitan dengan bagaimana hak keistimewaan Melayu dipertahankan. Apa yang berlaku sebenarnya? Orang Melayu memang melihat bahawa dalam konteks hak ketuanan Melayu, UMNO ini sudah tinggal retorik. Kita memang pertahankan tapi masalahnya ia dah jadi hanya retorik, sebab itu mereka (orang Melayu) tidak puas hati, lari kepada Pas. Bila orang Melayu lari kepada Pas, Cina melihat kredibiliti BN yang lemah.

Adakah politik kita sedang berganjak ke arah sistem dua parti?

DR. MARZUKI: Sebenarnya, sistem dua parti ini bukan macam sistem dua parti di Amerika Syarikat. Sistem dua parti ini dalam bentuk gabungan dan kalau kita lihat dalam Pakatan Rakyat juga bersifat kaum. Walaupun mereka (pemimpin pembangkang) akan katakan bahawa politik yang cuba dibawa itu bentuknya tidak bersifat kaum, tetapi akhirnya kalau kita perhatikan, misalnya dalam isu muzakarah UMNO-Pas, isu yang dibincangkan juga bersifat kaum dan agama. Dalam konteks sistem dua parti itu, yang berubah ialah tiada parti yang dominan dalam sistem politik negara.

Dalam ketiga-tiga parti utama Pakatan Rakyat iaitu PKR, Pas dan DAP, ada dua perkara: Satu, matlamat ideologi; kedua, matlamat kuasa. Dari segi matlamat ideologi, Pas ada ideologinya, PKR ada ideologi sendiri dan DAP dengan ideologi DAP. Tetapi matlamat kuasa menyatukan tiga parti yang berbeza ideologi itu, menyebabkan orang Pas sanggup menyokong Anwar yang berbeza ideologi atau kalau ada pilihan raya diadakan di mana-mana kawasan DAP, penyokong Pas boleh menyokong calon DAP.

DR. MOHD. PUAD: Itu sudah berlaku di tempat saya. Kita boleh kaji berdasarkan keputusan peti-peti undi. Di peti undi di kawasan saya di Sekolah Chung Hwa, calon Dewan Undangan Negeri ialah orang Pas tapi undi pengundi Cina pergi kepadanya. Kita tahu di situ ada cawangan DAP. Itu membuktikan sudah tidak timbul masalah, sebab itu saya kata faktor Anwar telah menyebabkan mereka sanggup kompromi semua ini. Yang penting ialah tidak ada sebuah parti boleh memerintah negara ini tanpa ada gabungan.

IBRAHIM: Sama ada akan jadi sistem dua parti tidak mudah tapi ia mungkin jadi realiti. Kalau Pas berhenti dengan slogan dan matlamat mewujudkan negara Islam dan (pelaksanaan) hukum hudud manakala DAP tidak ungkit lagi soal Malaysia sebagai negara Islam, maka sistem dua parti itu kini sedang dalam proses. Kalau ini terjadi, lagi penatlah BN.

Di Permatang Pauh, mula-mula saya tengok mood pengundi Melayu banyak lari kepada BN. Bila keluar isu sumpah Saiful, lagilah nampak kuat orang Melayu nampak hendak menyokong BN tetapi isu itu overblown. Bila overblown, semua ulama Pas mempertahankan Anwar secara senada. Pada saat-saat akhir, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat pergi ke Permatang Pauh. Dia ulas bab Saiful dua hari sebelum mengundi, selepas itu semua undi Melayu (Pas) kembali kepada Anwar.
Pada masa depan, saya tengok Anwar masih lagi di persimpangan jalan. Dia perlu lepas dulu rintangan kes Saiful yang sudah jadi kes mahkamah dan yang terbaru dakwaan dia terbabit dalam rasuah RM60 juta yang didakwa oleh Datuk Nallakaruppan (sebagai suapan yang diberi oleh syarikat Magnum Corporation).

Tarikh pembentukan kerajaan pada 16 September, saya sendiri pun sebagai Ahli Parlimen merasakan ia tidak akan menjadi kenyataan. Ini ditambah pula dengan (dakwaan) Anwar, dengan segala kekuatan dia mampu meyakinkan rakyat bahawa akan berlaku perubahan kerajaan pada 16 September ini. Sudah ada dalam mindset rakyat bahawa kerajaan akan berubah pada 16 September ini. Kempen ini cukup berkesan.

Walhal banyak orang tidak sedar. Orang tidak tanya Anwar, 16 September itu tahun mana. Perasan atau tidak, Anwar tidak pernah sebut 16 September 2008. Dia hanya sebut 16 September. Ia boleh jadi 2009, boleh jadi 2010. Cuma mimpi saya, ia boleh jadi apa saja tahun. 16 September itu bulan puasa, tahu ke? Parlimen tidak bersidang.

Gosip politik yang tersebar di Permatang Pauh ialah kebanyakan orang Cina di situ kononnya mengundi Anwar kerana mereka berharap kalau Anwar membentuk kerajaan, Timbalan Perdana Menterinya ialah pemimpin Cina dan India. Adakah gosip ini akan jadi kenyataan?

DR. MOHD. PUAD: Ya, ini pun dibimbangi oleh Pas. Sebab itu timbul cerita Pas melakukan muslihat cuba memujuk 10 Ahli Parlimen UMNO untuk bersedia, sekurang-kurangnya bagi nama dahulu tanda beri kebenaran bagi mengelak Lim Kit Siang menjadi Timbalan Perdana Menteri, memandangkan kerusi DAP di Parlimen lebih banyak daripada Pas.

Pas hendak bawa senarai itu kepada Anwar, dan kata, “Kami sudah ada 10 Ahli Parlimen UMNO yang bersedia masuk Pas, daripada 22, bilangan Ahli Parlimen Pas menjadi 32, maka kamilah yang lebih layak mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri.” Ini bukan soal gosip tapi saya rasa satu realiti yang menjadi kebimbangan pada Pas dan saya tidak menolak ini punca berlakunya muzakarah antara Timbalan Presiden Pas dengan Perdana Menteri. Yang menjadi satu isu sekarang ialah (kekuatan sebenar) PKR. Apabila Anwar masuk Parlimen, apakah PKR akan menjadi kuat berasaskan kepada kekuatan sistemnya.

Ini menjadi isu sebenarnya, sebab itu saya kata bahawa UMNO dengan Pas ini adalah parti akar umbi yang terdidik dengan pemikiran tertentu. Tetapi kita tidak boleh lupa bahawa Pas sendiri sudah semakin terbuka. Saya tahu kerana ramai Ahli Parlimen muda dalam Pas merupakan rakan-rakan saya semasa menjadi aktivis pelajar dahulu. Saya rasa mereka sudah berjaya mempengaruhi pemikiran di dalam Pas supaya menjadi lebih terbuka.

IBRAHIM: Kuat (saya) kritik Pas dulu. Pas kini semakin pragmatik. Walaupun dia kata dia Islam, dia lebih pragmatik daripada UMNO. Cara bertindak Pas memang pragmatik. UMNO pula dah tidak jadi pragmatik, orang UMNO sendiri pun dia buang ikut suka hati dia saja… tanggunglah.

Tadi Datuk Ibrahim ada kata bahawa beliau tidak begitu percaya Anwar boleh membentuk kerajaan pada 16 September ini.

DR. MOHD. PUAD: Memang tidak akan berlaku. Saya tahu Anwar berpolitik sebab Anwar ini dia mempunyai satu sifat iaitu dia seorang yang strong character, good negotiator, good manipulator. Bagi sayalah, kesan daripada pilihan raya kecil Permatang Pauh ini, dengan masuknya Anwar ke dalam Parlimen, dia akan mewujudkan lebih banyak kekeliruan dalam pemikiran politik orang Melayu.

DR. MARZUKI: Saya lebih melihat, kalau pun ia tidak berlaku, soal Anwar Ibrahim sebagai pembida dalam politik, terutama dalam konteks dasar-dasar kerajaan, akan terus berlegar. Sekiranya momentum ini cuba dibawa oleh Anwar yang pada hari ini dibantu oleh media baru dan kadang-kadang media cetak, saya melihat walaupun kerajaan baru Pakatan Rakyat tidak boleh diwujudkan pada 16 September, tetapi pertarungan idea itu akan terus berterusan.

IBRAHIM: Saya rasa (keadaan) lebih sihat, maknanya saya tengok UMNO akan lebih sedar.

Friday, August 22, 2008

Manifestasi Islam Liberal

Berikut adalah kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan 2008 anjuran Persatuan Ulama' Malaysia pada 24 Ogos 2008.
MANIFESTASI ISLAM LIBERAL DI MALAYSIA: DIMENSI POLITIK DAN UNDANG-UNDANG*

Pengenalan

Kertas ini bertujuan untuk melihat manifestasi Islam liberal di Malaysia dalam dimensi politik dan undang-undang. Dari segi politik, penyebaran faham Islam liberal yang mengagungkan faham hak asasi manusia Barat dan kebebasan beragama tanpa batas merupakan cabang proses sekularisasi yang berlaku dalam masyarakat. Para pendokong faham Islam liberal menganjurkan pemisahan antara agama dan politik dengan menolak peranan institusi-institusi agama dalam negara. Dari segi undang-undang, sejak mutakhir ini, para pendokong faham Islam liberal mempelopori inisiatif demi inisiatif untuk memberikan makna undang-undang yang baru kepada hak kebebasan beragama dan bidangkuasa mahkamah syariah di bawah Perlembagaan Persekutuan. Mereka menganjurkan tafsiran kebebasan beragama yang liberal, termasuk mengiktiraf “hak” seorang Muslim untuk murtad, dan mentafsir secara terhad bidangkuasa mahkamah syariah dalam mengendalikan kes-kes yang berkaitan dengan agama Islam. Kertas ini juga mengenalpasti faktor-faktor penyebaran faham Islam liberal dan langkah-langkah untuk menanganinya.

Definisi Islam Liberal

Menurut Kurzman, Islam liberal merujuk kepada pentafsiran Islam yang lebih terbuka terhadap idea-idea demokrasi, pengasingan agama daripada politik, hak-hak wanita, kebebasan berfikir dan kemajuan manusia (human progress). Pentafsiran ini, menurut Kurzman, adalah selari dengan faham liberalisme dan gerakan liberal dalam budaya dan agama lain.[1]

Kurzman mengenalpasti tiga aliran Islam liberal iaitu (i) syaria’h liberal (liberal shariah); (ii) syari’ah diam (silent shari’ah); dan (iii) syariah yang ditafsirkan (interpreted shari’ah). Aliran syari’ah liberal mengandaikan bahawa wahyu dan amalan Nabi Muhammad s.a.w. mengandungi perintah-perintah yang mengkehendaki kaum Muslimin supaya mengambil sikap yang liberal dalam amalan dan fahaman agama. Ali Bula umpamanya memetik Ayat 6 Surah al-Kāfirūn yang bermaksud "kepada kamu agama kaum dan kepada ku agama ku” untuk menyokong pandangan ini. Beliau menyifatkan Perlembagaan Madinah yang menyediakan satu formula kehidupan bersama bagi masyarakat berlainan agama sebagai satu dokumen liberal. Beliau menulis:

"The urgent problem of the day was to end the conflicts and to find a formulation for the co-existence of all sides according to the principles of justice and righteousness. In this respect, the Document (the Medinan treaties) is epochal....A righteous and just, law-respecting ideal project aiming for true peace and stability among people cannot but be based on a contract among different groups (religious, legal, philosophical, political etc.).…This is a rich diversity within unity, or a real pluralism."[2]

Aliran kedua ialah syari’ah diam (silent shari`a) yang sengaja tidak memperkatakan dengan jelas hukum sesuatu perkara untuk membolehkan manusia membuat pilihan. Humayun Kabir berpandangan bahawa perkembangan empayar Islam telah menghimpunkan manusia daripada pelbagai latar agama dan budaya dalam pemerintahan Islam. Banyak masalah yang timbul daripada interaksi Muslim-bukan Muslim yang seterusnya memaksa para pemikir politik Islam memberi tempat kepada golongan bukan Islam dalam negara Islam, menentang paksaan dalam beragama dan menghormati agama-agama lain.[3]

Aliran ketiga Islam liberal menganjurkan pentafsiran semula syari’ah agar bersesuaian dengan suasana dan konteks semasa. Aliran ini menghujjahkan bahawa walaupun agama bersifat ketuhanan, pentafsirannya bersifat manusiawi. Oleh yang demikian, pentafsiran agama tidak muktamad malah bersifat pluralistik. Abdul-Karim Soroush menulis:

"The text does not stand alone, it does not carry its own meaning on its shoulders, it needs to be situated in a context, it is theory-laden, its interpretation is in flux, and presuppositions are as actively at work here as elsewhere in the field of understanding. Religious texts are no exception. Therefore their interpretation is subject to expansion and contraction according to the assumptions preceding them and/or the questions enquiring them .…We look at revelation in the mirror of interpretation, much as a devout scientist looks at creation in the mirror of nature ... [so that] the way for religious democracy and the transcendental unity of religions, which are predicated on religious pluralism, will have been paved."[4]

Pengkelasan aliran Islam liberal yang dibuat oleh Kurzman adalah terlalu umum sehinggakan pandangan-pandangan autentik di kalangan para sarjana Islam mengenai keanjalan fekah Islam dalam menanggapi permasalahan masyarakat moden boleh digolongkan sebagai pemikiran Islam liberal. Pengkelasan ini tentu sekali ralat. Islam adalah agama yang bersifat “liberating” dan oleh itu adalah tidak munasabah untuk mengaitkan segala sifat “liberal” agama Islam dengan pemikiran Islam liberal yang sekular. Oleh yang demikian, kertas ini akan merujuk Islam liberal kepada faham-faham yang menerima keunggulan faham sekular-liberal Barat serta meletakkannya sebagai kayu ukur pentafsiran syariat Islam. Faham ini selanjutnya meletakkan nilai sekular liberal Barat sebagai mengatasi nilai-nilai tradisi agama.

Manifestasi Islam Liberal di Malaysia

Sejak pertengahan dekad 1990-an, golongan liberal dalam masyarakat Islam di Malaysia telah mula mengkritik pelaksanaan undang-undang keluarga dan jenayah Islam yang mereka lihat bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia dan bersifat diskriminatif terhadap wanita.[5] Bermula awal tahun 2000, golongan liberal ini telah mewujudkan gabungan dengan pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia, pertubuhan agama bukan Islam dan individu-individu dalam menentang pelaksanaan undang-undang Islam dan undang-undang kecil kerajaan tempatan yang mencegah perlakuan maksiat dan kurang sopan (juga disebut sebagai undang-undang kawalan moral) yang dikatakan bertentangan dengan hak asasi manusia dan kebebasan individu.

Perkembangan ini telah mewujudkan pertentangan aksi dan idea antara golongan “liberal” dan ”konservatif” dalam masyarakat. Golongan liberal diwakili oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti SIS, Artikel 11, Majlis Peguam dan pertubuhan agama bukan Islam seperti MCCBCHS, manakala golongan konservatif pula terdiri daripada pertubuhan Islam arus perdana seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan Majlis Koordinasi NGO Islam Malaysia (ACCIN). Manifestasi idea dan aksi Islam liberal dapat dilihat dalam beberapa siri kempen dan inisiatif kearah mewujudkan kebebasan beragama (yang seringkali dilihat sebagai kebebasan dalam beragama dan daripada agama) menurut acuan faham sekular Barat. Ianya memperlihatkan percubaan untuk ”mentafsir semula” idea kebebasan dalam Islam agar selari dengan tuntutan pemikiran sekular-liberal Barat.

Kempen Anti Kawalan Moral

Pada awal tahun 2005, sekumpulan aktivis hak asasi manusia yang diketuai oleh Sisters in Islam telah melancarkan kempen Anti Kawalan Moral oleh pihak berkuasa agama dan kerajaan tempatan. Kempen ini dilancarkan ekoran tindakan para penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menahan lebih 100 orang pengunjung kelab malam Zouk di Kuala Lumpur. Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuklah meminum arak dan berpakaian kurang sopan.

Inisiatif ini signifikan kerana ianya cuba memberikan pentafsiran liberal terhadap hukum-hakam Islam dengan berlandaskan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis yang dicampur-aduk dengan perspektif sekular mengenai nilai dan prinsip hak asasi manusia sejagat. SIS dalam satu kenyataan mendakwa tindakan penguatkuasa JAWI adalah bertentangan dengan semangat al-Qur’an dan hak asasi manusia.[6] Pertubuhan itu memetik beberapa ayat al-Qur’an yang bermaksud “Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang";[7] dan “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya”[8] untuk menyokong pendirian mereka bahawa tindakan kawalan moral tidak ada asas dalam Islam. Kenyataan itu, dalam semangatnya yang liberal, merumuskan bahawa “perimbangan antara undang-undang dan moral mesti diputuskan secara demokratik oleh masyarakat dan bukannya melalui tindakan perundangan pihak atasan tanpa sokongan dan perbahasan umum.”[9] Dalam satu kenyataan lain, mereka menegaskan bahawa “bagaimana seseorang itu berpakaian dan di mana, bagaimana dan dengan siapa mereka ingin bergaul” adalah terserah kepada pilihan individu itu sendiri.[10]

Kempen ini ditentang oleh pertubuhan-pertubuhan Islam arus perdana seperti ABIM dan JIM yang melihat ianya sebagai salah satu tanda proses sekularisasi dalam masyarakat.[11] Proses sekularisasi ini, mereka berhujjah, tertonjol dalam gesaan para juru kempen anti kawalan moral supaya agama diperosok ke dalam ruang individu sahaja dan menolak peranan institusi agama dalam melaksanakan undang-undang Islam.[12] Pertubuhan ini sebaliknya berpandangan bahawa pelaksanaan undang-undang pencegahan maksiat sebagai salah satu daripada tanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (al-amr bi al-ma’rūf wa al-nahy an al-munkar) yang dilakukan secara kolektif oleh masyarakat Islam melalui institusi-institusi agama.

Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (IFC)

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (IFC) pada Februari 2005 merupakan satu lagi inisiatif yang mengandungi unsur dan motif pemikiran Islam liberal.[13] Inisiatif ini bermula seawal Disember 2000 ketika idea penubuhan sebuah badan antara agama dibincangkan dalam persidangan mengenai kebebasan beragama yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia. Satu jawatankuasa antara agama kemudiannya ditubuhkan untuk merancang penubuhan sebuah Majlis Antara Agama. Dalam bulan Ogos 2001, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh (MCCBCHS) menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam. Memorandum ini menyenaraikan masalah-masalah yang dihadapi oleh orang-orang bukan Islam dalam mengamalkan agama masing-masing.[14] Antaranya ialah ketiadaan hak di sisi undang-undang bagi seorang individu untuk kembali kepada agama asal setelah memeluk agama Islam; status agama Islam pada kad pengenalan yang menyebabkan masalah bagi individu yang ingin keluar daripada Islam; ketiadaan hak untuk melangsungkan perkahwinan antara agama; kesukaran keluarga bukan Islam untuk menuntut mayat saudara baru; kesukaran mendapat kelulusan untuk membina rumah-rumah ibadat bukan Islam dan pengharaman penyebaran kitab Injil dalam Bahasa Melayu.[15]

Wakil-wakil ABIM, ACCIN dan International Movement for Just World (JUST) yang menganggotai jawatankuasa tersebut menolak memorandum MCCBCHS yang hendak dijadikan asas penubuhan IFC. Mereka kemudiannya menarik diri daripada jawatankuasa tersebut setelah penentangan mereka tidak berhasil. Usaha-usaha menubuhkan IFC diteruskan dengan penganjuran bengkel “Toward the Formation of an Inter-Religious Council” pada 17 Mei 2003. Bengkel tersebut memutuskan untuk mewujudkan sebuah “badan berkanun yang tujuan utamanya ialah untuk menggalak dan memelihara kebebasan beragama, berfikir dan suara hati setiap individu dengan tujuan untuk menggalakkan keharmonian kewujudan bersama antara komuniti agama yang berbeza di Malaysia”[16]

Jawatankuasa tersebut kemudiannya menyediakan deraf Rang Undang-Undang Suruhanjaya Antara Agama Malaysia yang antara lain menyatakan tujuan utama IFC ialah untuk “menggalak dan memelihara kebebasan berfikir, beragama dan suara hati setiap individu”;[17] “mengenalpasti nilai dan etika sejagat yang dikongsi bersama oleh semua agama, kepercayaan dan cara hidup dengan tujuan untuk menggalakkannya”;[18] “mengenalpasti dan membuat perakuan mengenai cara-cara untuk menggalakkan keharmonian hubungan antara agama dengan tujuan untuk menggalakkan perpaduan dan keharmonian nasional”;[19] “menerima, menangani dan membuat perakuan mengenai aduan dan ketidakpuasan hati yang dibawa oleh orang persendirian, badan-badan atau pertubuhan-pertubuhan berkaitan dengan hak individu untuk memeluk dan mengamalkan agama atau kepercayaan pilihannya”;[20] dan “membuat perakuan kepada kerajaan mengenai perjanjian-perjanjian dan insrumen-instrumen antarabangsa mengenai keharmonian agama”;[21]

Deraf Rang Undang-Undang tersebut merupakan satu percubaan untuk mentafsir hak kebebasan beragama dari sudut pandangan sekular-liberal. Sebagai contoh, “pencabulan keharmonian agama” didefinisikan sebagai “sebarang perlakuan atau peninggalan sesuatu perlakuan yang menjejaskan pengiktirafan atau hak mana-mana orang atau masyarakat terhadap kebebasan berfikir, beragama dan suara hati sebagaimana yang ditentukan oleh norma-norma antarabangsa.[22] Norma-norma antarabangsa mengenai hak kebebasan beragama sepertimana yang terkandung dalam instrumen-instrumen antarabangsa adalah berlandaskan kepada faham sekular-liberal Barat.

Kumpulan Artikel 11

Kumpulan Artikel 11 ditubuhkan pada bulan Mei 2004[23]. Kumpulan yang menggabungkan 13 pertubuhan bukan kerajaan ini menyatakan tujuannya ialah untuk menegakkan keluhuran Perlembagaan dan menggalakkan kebebasan beragama di Malaysia.[24] Kebanyakan pertubuhan ini turut terlibat dalam penubuhan IFC dan menyokong permohonan Azlina Jailani, seorang wanita Muslim yang mendakwa telah menganut agama Kristian, untuk menggugurkan kalimah Islam dalam kad pengenalannya.[25]

Kumpulan Artikel 11 menolak diskriminasi individu atas dasar agama, bangsa, tempat lahir atau jantina. Ia juga menggesa agar kebebasan berfikir, beragama dan suara hati setiap individu dihormati, dijamin dan dilindungi.[26] Dalam surat terbukanya kepada kerajaan, kumpulan ini menyatakan komitmennya terhadap keluhuran perlembagaan, Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan hak kebebasan beragama.[27] Berdasarkan keputusan Mahkamah Agung dalam Che Omar Che Soh lwn Pendakwaraya,[28] kumpulan ini berpendirian bahawa undang-undang Malaysia adalah sekular. Justeru, kumpulan ini mengkritik mahkamah sivil yang enggan melayani kes-kes yang mempunyai elemen undang-undang Islam berdasarkan peruntukan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Mereka seterusnya menggesa kerajaan agar memansuhkan atau meminda Perkara 121(1A) untuk membolehkan mahkamah sivil mendengar kes-kes yang sepatutnya berada dalam bidangkuasa mahkamah syariah.

Dengan menegaskan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan undang-undang Malaysia adalah undang-undang sekular, kumpulan ini cuba menafikan peranan mahkamah syariah sebagai sebuah institusi yang mempunyai kuasa sama tara dengan mahkamah sivil dalam sistem keadilan di Malaysia. Bagi kumpulan ini, undang-undang sivil adalah lebih tinggi kedudukannya berbanding undang-undang Islam yang merupakan secebis daripada pandangan umum yang biasa didokong oleh kelompok sekular-liberal.

“Kerajaan Langit” Ayah Pin

Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu pada tahun 1997 mengisytiharkan “Kerajaan Langit” Ayah Pin, atau nama sebenarnya Ariffin Muhammad, sebagai sesat. Ayah Pin mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan di bumi. Beliau mengajar bahawa semua agama adalah sama dan setiap orang berhak untuk mengamalkan agama dengan apa jua cara yang mereka sukai. Empat orang pengikutnya telah dipenjarakan pada tahun 1998 dan beliau sendiri dipenjarakan selama 11 bulan pada tahun 2001 kerana menghina Islam. Para pengikutnya yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan warganegara asing menghadiri “pengajiannya” di sebuah perkampungan kecil di Hulu Besut, Terengganu. Bertindak atas aduan orang ramai, Jabatan Agama Islam Terengganu menyerbu perkampungan Ayah Pin pada 2 Julai 2005 dan menahan 21 orang pengikut yang didapati memiliki dokumen-dokumen mengenai ajaran yang bertentangan dengan Islam.[29] Walau bagaimanapun, Ayah Pin bersama isteri pertamanya berjaya memboloskan diri.

Tindakan Jabatan Agama Islam Terengganu menyerbu dan menahan pengikut Ayah Pin dikritik hebat oleh pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia. Sekali lagi isu hak kebebasan beragama dibangkitkan. SUARAM umpamanya menyifatkan tindakan tersebut sebagai penindasan terhadap “kelompok agama minoriti” dan pencabulan hak kebebasan beragama.[30] SUARAM memfailkan aduan kepada Rapporteur Khas mengenai Hak Kebebasan Beragama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan mendakwa bahawa kerajaan telah melakukan penindasan terhadap Ayah Pin dan para pengikutnya.[31] SUARAM menyifatkan tindakan terhadap Ayah Pin dan pengikutnya sebagai satu bentuk pencabulan terhadap hak-hak asasi manusia yang termaktub dalam Deklarasi Sejagat Mengenai Hak Asasi Manusia. Pertubuhan itu juga mengatakan bahawa para pengikut Ayah Pin tidak melakukan apa-apa kesalahan di sisi undang-undang. Dengan mengatakan demikian, SUARAM secara tidak langsung mempersoalkan keabsahan undang-undang Islam yang dilihat bertentangan dengan nilai-nilai hak asasi manusia sejagat.

Kes Kamariah Ali

Dalam Kamariah bte Ali & Ors lwn Kerajaan Kelantan & Anor,[32] peguam perayu (Kamariah dan lain-lain) mendakwa bahawa anak guamnya telah keluar dari Islam dan meminta Mahkamah Persekutuan mentafsir makna kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya pentafsiran yang lebih liberal dipakai, undang-undang yang menghalang atau meletakkan sekatan terhadap kemahuan seseorang untuk meninggalkan Islam akan terbatal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Para perayu dalam kes ini, Daud Mamat, Kamariah Ali, suaminya Mohamad Ya dan Md Yaacob Ismail, diperintah menjalani hukuman penjara selama dua tahun oleh mahkamah syariah di Kelantan pada tahun 1992 kerana terlibat dalam ajaran sesat. Pada tahun 1996, Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan menukar hukuman kepada berkelakuan baik selama tiga ke lima tahun di mana mereka dikehendaki menghadiri sesi kaunseling bulanan di Pejabat Kadi Daerah untuk bertaubat. Mereka gagal menghadiri sesi-sesi kaunseling tersebut dan akibatnya didakwa menghina mahkamah pada tahun 2000. Semasa perbicaraan, mereka mendakwa telah keluar Islam pada tahun 1998 dengan mengemukakan satu akuan bersumpah. Justeru, mereka berhujjah bahawa mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes mereka.

Mahkamah syariah walau bagaimanapun mendapati keempat-empat mereka bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun. Mereka tidak memfailkan rayuan di mahkamah syariah, sebaliknya memohon di Mahkamah Tinggi Kota Bharu untul satu deklarasi bahawa mereka mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agama pilihan mereka di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan meminta mahkamah mengeluarkan writ habeas corpus. Secara ringkas, berikut adalah deklarasi yang dipohon:

1 Para plaintif mempunyai hak di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan untuk menganut dan mengamalkan agama pilihan mereka.

2 Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan mengatasi undang-undang lain berkenaan pilihan dan amalan agama.

3 Hak mutlak para plaintif di bawah Perkara tersebut hanya boleh diputuskan oleh mereka sendiri.

4 Sebarang undang-undang yang memperuntukkan definisi Muslim tetapi tidak tidak mengiktiraf Perkara 11(1) adalah terbatal.

5 Undang-undang Islam adalah tidak terpakai terhadap plaintif memandangkan mereka telah murtad dan oleh yang demikian mereka dilindingi oleh Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan.

6 Sebarang undang-undang yang memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk memutuskan samada mereka telah keluar dari Islam atau tidak adalah bercanggah dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan.

7 Sebarang undang-undang yang menghalang hak para plaintif untuk mengisytiharkan mereka keluar dari Islam adalah bercanggah dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu terbatal.

8 Para defendan atau ejen mereka tidak berhak untuk menuntut atau meletakkan apa-apa syarat sebelum mereka dikira telah keluar dari Islam.

Permohonan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Kedua-dua mahkamah berpendapat bahawa berdasarkan peruntukan Perkara 121(1A) hanya mahkamah syariah yang mempunyai bidang kuasa untuk menentukan samada mereka telah keluar Islam atau tidak.

Pada 5 November 2002, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan mereka untuk merayu. Malik Imtiaz Sarwar, peguam perayu menghujjahkan bahawa adalah tersirat dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa seseorang adalah bebas untuk memilih agama yang mereka sukai termasuklah untuk menukar atau meninggalkan agamanya. Hak ini, menurut beliau, hanya disekat oleh Perkara 11(5) yang tidak membenarkan sebarang tindakan yang bertentangan dengan sebarang undang-undang umum berkaitan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam dan moraliti. Tindakan para perayu keluar dari Islam, menurut beliau, tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang tersebut. Beliau juga menarik perhatian mahkamah terhadap instrumen antarabangsa mengenai hak asasi manusia yang telah diterima oleh kerajaan Malaysia. Ini termasuklah Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, Perisytiharan Sejagat Mengenai Hak Asasi Manusia, Perisytiharan Bangkok dan Konvensyen Vienna yang menjamin hak kebebasan beragama secara mutlak. Beliau seterusnya menggesa mahkamah agar mentakrifkan hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11(1) selaras dengan instrumen-instrumen antarabangsa tersebut.[33]

Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya pada 21 Julai 2004 menolak rayuan mereka. Lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan tersebut sebulat suara bersetuju bahawa tindakan para perayu membuat akuan bersumpah bahawa mereka telah keluar dari Islam tidak secara automatik menjadikan mereka bukan Islam.[34] Mahkamah berpandangan bahawa masa material untuk menentukan samada mereka masih beragama Islam atau tidak ialah ketika mereka melakukan kesalahan di bawah undang-undang syariah, yang mana menurut fakta kes adalah sebelum mereka membuat akuan bersumpah pada tahun 1998. Mahkamah berpandangan bahawa keputusan sebaliknya akan membuka “floodgate” kepada sesiapa yang mahu mengelakkan hukuman di bawah undang-undang Islam untuk mengisytiharkan keluar Islam.[35] Mahkamah Persekutuan bagaimanapun tidak membuat keputusan terhadap isu takrifan hak untuk keluar Islam di bawah Perkara 11.

Kes Azlina Jailani (Lina Joy)

Pada bulan Jun 2006, Mahkamah Persekutuan sekali lagi berhadapan dengan isu takrifan hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan Azlina Jailani (Lina Joy), yang mengaku telah keluar Islam, untuk menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya. Azlina mendakwa beliau telah memeluk agama Kristian pada tahun 1990. Pada tahun 1997, beliau memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar namanya kepada Lina Lelani dengan menyatakan penukaran agamanya kepada Kristian sebagai sebab permohonan itu dibuat. Permohonannya ditolak dan beliau membuat permohonan kedua pada bulan Mac 1999 untuk menukar namanya kepada Lina Joy dengan menyatakan sebab yang sama. Dalam bulan Julai 1999, beliau dinasihatkan oleh seorang pegawai JPN untuk tidak menyatakan penukaran agama sebagai sebab dalam permohonannya kerana hal itu akan menyukarkan proses pertukaran nama. Akur dengan nasihat tersebut, beliau membuat permohonan semula yang kemudiannya diluluskan oleh JPN.

Pada masa yang sama pindaan Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang berkuatkuasa secara retrospektif pada 1 Oktober 1999 mengkehendaki kad pengenalan orang Islam menyatakan identiti agama Islam. Apabila Azlina memohon untuk menggantikan kad penngenalannya pada 25 Oktober 1999, beliau menyatakan Kristian sebagai agamanya. Oleh itu, permohonannya telah ditolak. Beliau kemudiannya membuat permohonan semula pada bulan Januari 2000 dan meminta supaya perkataan Islam pada kad pengenalannya digugurkan. JPN menolak permohonannya atas alasan permohonannya tidak lengkap tanpa arahan daripada mahkamah syariah yang menyatakan bahawa beliau telah keluar dari Islam.[36]

Azlina mencabar keputusan JPN di mahkamah. Walau bagaimanapun, permohonannya telah ditolak oleh kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Hakin Mahkamah Tinggi YA Dato’ Faiza Tamby Chik memutuskan bahawa oleh kerana Azlina masih seorang Islam, berdasarkan peruntukan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, penentuan samada beliau telah keluar Islam atau tidak terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah, bukan mahkamah sivil.[37] Keputusan majoriti Mahkamah Rayuan juga mendokong keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan yang sama.[38]

Isu yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan ialah samada JPN mempunyai kuasa di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 untuk meminta Azlina menyertakan sijil daripada mahkamah syariah sebagai bukti bahawa beliau telah memeluk agama Kristian. Hujjah utama peguam perayu, Dr. Cyrus Das argued, ialah Azlina berhak memeluk dan mengamalkan agama pilihannya tanpa perlu mendapat perisytiharan daripada pihak ketiga (iaitu mahkamah syariah) mengenai status agamanya kerana hak untuk memeluk dan mengamalkan agama pilihan seseorang adalah hak yang dijamin oleh Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan.[39] Hujjah ini merupakan satu lagi cubaan untuk memberikan tafsiran liberal terhadap hak kebebasan beragama di bawah Perlembagaan.

Mahkamah Persekutuan pada bulan Mei 2007 dengan keputusan majoriti 2-1 menolak rayuan Azlina. Ketua Hakim Negara YAA Tun Ahmad Fairuz dalam keputusannya menyebut:

There was no final decision that the appellant had no longer professed Islam. Thus, the statement that the appellant could no longer be under the jurisdiction of the Syariah Court because the Syariah Court had only jurisdiction on persons professing Islam should not be emphasized accordingly. The way a person renounced from a religion should be in accordance of the regulation or law or practice determined or stipulated by the religion itself … The freedom of religion under art 11 of the Federal Constitution required that the appellant complied with the rituals or law of the Islamic religion specifically regarding renunciation of the religion. Once the decision of the religion of Islam had been complied and the religious Islamic authority admit (sic) her apostasy then only could the appellant profess Christianity.[40]

Dengan menekankan bahawa tindakan untuk keluar dari Islam adalah tertakluk kepada undang-undang Islam, YAA Tun Ahmad Fairuz menambah:

Islam is not only a collection of dogma and rituals but it is also a complete way of life comprising of all kinds of human, individual or public, legal, political, economic, social, cultural or judicial activities. And when reading arts 11(1), 74(2) and item 1 in second list of the Ninth Schedule of the Federal Constitution it was obvious that Islam among others included of (sic) Islamic law. Hence, if a Muslim intends to renounce from Islam, he is actually exercising his rights in the syariah law context which has it own jurisprudence relating to apostasy.[41]

Walau bagaimanapun, YAA Dato’ Richard Malanjum dalam penghakiman menentangnya memilih pandangan yang lebih liberal mengenai hak kebebasan beragama dan kesaksamaan. Beliau mengatakan bahawa Peraturan 4 dalam Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang mengkehendaki hanya orang-orang Islam (orang bukan Islam terkecuali) menyatakan agama mereka pada kad pengenalan masing-masing merupakan satu bentuk layanan tak sama rata di bawah undang-undang. Hakin Dato’ Richard berhujjah:

There was an abuse of power on the part of NRD when it failed to take into consideration a legally relevant factor, namely the statutory declaration and the documents submitted by the appellant, preferring its policy of requiring a certificate of apostasy from the Federal Territory Syariah Court which in the first place was not stipulated in the regs 4 and 14 thereby taking legally irrelevant factor into consideration in making a decision. Further, the conclusion in the majority judgment that the impugned policy adopted by NRD was reasonable within the test of Wednesbury Corporation v Ministry of Housing [1966] 2 QB 275 has unfortunately missed one cardinal principle. The implementation of the policy had a bearing on the appellant's fundamental constitutional right to freedom of religion under art 11 of the Constitution. Being a constitutional issue it must be given priority and independent of any determination of the Wednesbury reasonableness. Hence, before it can be said that a policy is reasonable within the test of Wednesbury its constitutionality must be first considered. The majority judgment failed to carry out such an exercise before coming to its conclusion on the NRD policy.[42]

Menangani Faham Islam Liberal

Penyebaran faham Islam liberal adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, peningkatan tahap pendidikan moden di kalangan masyarakat telah membuka minda golongan terpelajar terhadap idea-idea baru, terutamanya dari Barat, yang disalurkan melalui institusi pendidikan dan media massa. Jika diteliti, faham feminisme dan pasca moden banyak mempengaruhi pemikiran kelompok Muslim liberal dalam menanggapi perkara-perkara asas dalam Islam. Berasaskan kepada faham-faham ini, agak sukar bagi mereka untuk membezakan autoriti dalam agama Islam dengan autoritarianisme yang menindas. Bagi mereka, autoriti dalam agama semestinya bersifat autoritarian dan menindas.[43]
Kedua, kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi membuka lebih banyak ruang kepada penyebaran dan pertarungan idea dalam masyarakat. Kemunculan media baru umpamanya memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk mengakses maklumat dan menyebar idea secara pantas dan bebas. Dalam hal-hal berkaitan agama umpamanya, seringkali kita membaca di internet pandangan-pandangan mengenai Islam baik yang bersifat objektif mahupun emotif yang dilontarkan samada oleh golongan ilmuwan atau bukan ilmuwan. Fenomena ralat ilmu (error of knowledge) sepertimana yang disebutkan oleh Professor Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism mudah berlaku apabila masyarakat tidak lagi dapat membezakan antara pandangan golongan ilmuwan dengan bukan ilmuwan, sebaliknya menerima sesuatu pandangan berasaskan retorik dan emosi semata-mata. Faham Islam liberal yang cuba menyamaratakan golongan ulama’ dan bukan ulama’ dalam membahaskan perkara-perkara asas Islam merupakan satu bentuk ralat ilmu yang menjadi cabang utama proses sekularisasi.
Ketiga, realiti masyarakat majmuk berbilang agama di Malaysia memudahkan faham sekular Islam liberal mendapat dokongan terutamanya daripada masyarakat bukan Islam. Penolakan golongan liberal terhadap pelaksanaan undang-undang Islam, penerimaan terhadap hak kebebasan beragama (termasuk hak menyebarkan agama) secara mutlak dan pluralisme agama merupakan hal-hal yang menarik perhatian sebahagian besar masyarakat bukan Islam. Malah realiti kemajmukan ras dan agama dijadikan sandaran bagi para pendokong Islam liberal untuk menggalakkan faham negara sekular, bukan negara Islam, sebagai landasan pembentukan identiti “Bangsa Malaysia”.[44]
Berdasarkan faktor dan realiti ini, para ulama’ Islam perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat baik secara formal (melalui institusi-institusi pendidikan) atau tidak formal (melalui media massa, media baru, dlll). Perlu diingat bahawa penyebaran faham Islam liberal adalah salah satu bentuk penyelewengan ilmu yang merupakan cabang proses sekularisasi dalam masyarakat. Ramuan utama dalam menangani gejala ini tentu sekali melalui pengukuhan budaya ilmu dalam masyarakat. Masyarakat yang berilmu sudah tentu dapat membezakan antara yang benar dan yang batil.

Rumusan

Penjelmaan faham Islam liberal dalam dimensinya yang pelbagai merupakan simtom proses sekularisasi yang berlaku dalam masyarakat. Dalam konteks ini, para ulama’, institusi pendidikan dan media massa mempunyai peranan yang amat besar untuk mendidik masyarakat agar memahami Islam melalui sumber-sumber yang autentik. Para ulama’ harus muncul sebagai Intelektual Awam (Public Intelectual) yang sentiasa peka dengan permasalahan masyarakat dan berusaha untuk merungkai kemelut umat melalui pandangan yang rasional dan objektif.

Bibliografi

Abdullahi An-Na'im. 1995. "Toward an Islamic Hermeneutics for Human Rights," in Abdullahi A. Na'im, Jerald D. Gort, Henry M. Vroom (eds). Human Rights and Religious Values: An Uneasy Relationship? Grand Rapids, Michigan: William B. Eerdmans Publishing Company.

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1993. Islam and Secularism. Kuala Lumpur: ISTAC

Farish A. Noor. 2005. “The Weapons against Religious Authoritarianism”. Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/columns/33323 (Diakses pada 2 Februari 2005).

Khaled Abou El Fadl. 1997. The Authoritative and Authoritarian in Islamic Doscourse: A Contemporary Case Study. Austin: Dar Taiba.

Kurzman, Charles. 1998. Liberal Islam: A Source-Book. New York: Oxford University Press.

Norani Othman, Kessler, Clive dan Puthucheary, Mavis. 2008. Sharing the Nation: Faith, Difference, Power and the State 50 Years after Merdeka. Petaling Jaya: SIRD


* Kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan 2008 anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bandar Baru Bangi, Selangor pada 23 dan 24 Ogos 2008.
[1] Kurzman (1999)
[2] Ali dalam Kurzman (1999: 170-174)
[3] Humayun dalam Kurzman (1999: 148, 152)
[4] Abdul Karim dalam Kurzman (1998: 245, 251)
[5] Lihat umpamanya memorandum Sisters In Islam mengenai undang-undang Islam seperti berikut: (i) Memorandum on the Syariah Criminal Code (II) 1993 State of Kelantan (25 December 1993); (ii) Memorandum on the Provisions in the Syariah Criminal Offences Act and Fundamental Liberties (8 August 1997); (iii) Memorandum on the Reform of the Islamic Family Laws on Polygamy (11 December 1996), (iv) Memorandum on the Equal Right to Guardianship for Muslim Women (18 December 1998). Teks penuh memorandum-memorandum ini boleh diakses di http://www.sistersinislam.org.my/advocacy-memo.htm (Diakses pada 18 Jun 2007).
[6] Sisters in Islam (2005).
[7] Ayat 12 , Surah A-Hujrat
[8] Ayat 27, Surah An-Nur
[9] Sisters in Islam (2005).
[10] Lihat kenyataan bersama “The State Has No Role in Policing Morality” at http://www.petitionspot.com/petitions/mamp (Diakses pada 7 Disember 2006).
[11] Lihat kenyataan bersama NGO Islam di. http://www.abim.org.my/web/modules/news/article.php?storyid=515 (Diakses pada 30 November 2006).
[12] Lihat kenyataan bersama NGO Islam di http://www.abim.org.my/web/modules/news/article.php?storyid=515 (Diakses pada 30 November 2006).
[13] Kumpulan yang menyokong penubuhan IFC ialah Majlis Peguam Malaysia Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS), Pure Life Society, Inter-Religious Spiritual and Fellowship (INSAF), Malaysian Interfaith Network, Sisters in Islam, FORUM IQRA, Spiritual Assembly of Baha’is of Malaysia, Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Malaysia, Federation of I-Kuan Tao Associations Malaysia, Soka Gakkai Malaysia, Sri Sathya Sai Central Council, Circles of Life, Theosophical Society, National Human Rights Society (HAKAM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), National Council of Women’s Organizations Malaysia (NCWO), Research for Social Advancement (REFSA). Persidangan yang membincangkan penubuhan IFC pada bulan Februari 2005 didanai oleh Yayasan Konrad Adeneur (KAF).
[14] Lihat surat MCCBCHS kepada En. Cecil Rajendra, Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam bertarikh 22 Ogos 2001.
[15] Lihat memorandum MCCBCHS kepada Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Malaysia bertarikh 22 Ogos 2001.
[16] Lihat “Points of Agreement Towards the Formation of an Inter-Religious Council Workshop” bertarikh 17 Mei 2003. Wakil SIS pada mulanya memboikot bengkel tersebut kerana tidak berpuas hati dengan kegagalan pihak jawatankuasa memupuk kerjasama antara wakil-wakil komuniti agama tetapi kemudian menganggotainya semula.
[17] Seksyen 4(1)(a).
[18] Seksyen 4(1)(b).
[19] Seksyen 4(1)(c).
[20] Seksyen 4(1)(d).
[21] Seksyen 4(1)(i).
[22] Seksyen 2.
[23] Nama ”Artikel 11” adalah bersempena Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan beragama.
[24] Pertubuhan-pertubuhan tersebut ialah All Women’s Action Society (AWAM), Majlis Peguam Malaysia, Catholic Lawyers Society (CLS), Interfaith Spiritual Fellowship (ISF), Malaysian Civil Liberties Society (MCLS), Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism & Sikhism (MCCBCHS), National Human Rights Society (HAKAM), Pure Life Society, Sisters in Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Vivekanda Youth Movement, Seremban, Women’s Aid Organization (WAO) dan Women’s Development Collective (WDC).
[25] Lihat perbincangan lanjut mengenai kes Azlina Jailani (Lina Joy) di bawah.
[26] Lihat maklumat mengenai latar belakang Artikel 11 di http://www.article11.org/01AboutUs.htm (Diakses pada 3 Disember2006).
[27] Lihat surat terbuka Artikel 11 “Reaffirming the Supremacy of the Federal Constitution” di http://www.article11.org/02OpenLetter.htm (Diakses pada 3 Disember 2006). Sehingga 3 Disember 2006, kumpulan ini mendakwa surat terbuka tersebut berjaya memperolehi 18,000 tandatangan atas kertas dan 2, 609 tandatangan atas talian.
[28] [1988] 2 MLJ 55.
[29] Malaysiakini, 4 Julai 2005.
[30] Lihat kenyataan SUARAM di Malaysiakini, 17 Ogos 2005.
[31] Malaysiakini, 17 Ogos 2005.
[32] [2005] 1 MLJ 197.
[33] Kamariah bte Ali & Lain-lain lwn Kerajaan Kelantan & Satu Lagi [2005] 1 MLJ 197, 202.
[34] Lima hakim tersebut ialah YAA Tun Ahmad Fairuz, Dato’ Mohd Noor Ahmad, Dato’ P S Gill, Dato’ Rahmah Hussain dan Dato’ Richard Malanjum.
[35] [2005] 1 MLJ 197, 208.
[36] Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Lain-lain [2007] 4 MLJ 585.
[37] Perkara 121(1A) memberikan kuasa kepada mahkamah syariah, bukan mahkamah sivil, untuk mendengar kes-kes berkaitan Islam.
[38] Lihat keputusan hakim-hakim Mahkamah Rayuan YA Dato’ Abdul Aziz Mohamad, YA Dato’ Ariffin Zakaria dan YA Dato’ Gopal Sri Ram dalam Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Lain-lain [2005] 6 MLJ 193. Gopal Sri Ram dalam penghakiman menentangnya mengatakan bahawa sijil baptis bertarikh 11 Mei 1998 yang dikemukakan oleh perayu adalah mencukupi sebagai bukti bahawa perayu adalah seorang Kristian.
[39] Lihat New Straits Times, 5 Julai 2006.
[40] [2007] 4 MLJ 585. 595.
[41] [2007] 4 MLJ 585, 596.
[42] [2007] 4 MLJ 585, 597.
[43] Lihat Farish (2005); Khaled (1997).
[44] Lihat Norani, Kessler dan Puthucheary (2008).

Thursday, August 14, 2008

The Virtue of Defection

Former Parti Keadilan Rakyat (PKR) Deputy President, Dr. Chandra Muzaffar, described attempt by Pakatan Rakyat de facto leader, Datuk Seri Anwar Ibrahim, to become Prime Minister through “back door” by instigating massive cross-over as both unethical and undemocratic.

Following are excerpts from The Star news report dated 9 August 2008:

“A Cabinet established through such an avenue will lack moral credibility. Parliament itself will be tarnished. Both the Executive and the Legislature, the two vital arms of governance, will be perceived by the people as institutions that are bereft of integrity,” he (Chandra) said.

In a nutshell, acquiring power through the back door would “demean and denigrate” politics, he said, adding that Anwar also had no mandate to oust the democratically elected government of the day.

Anwar, he claimed, was consumed by a single-minded obsession to become the country’s prime minister in the shortest possible time.

In response to Chandra’s comment, PKR Supreme Council Member, Khalid Jaafar called Chandra a “defector” himself for leaving PKR a few years ago and had since spoken in favor of BN. He wrote in The Malaysian Insider:

“Unless he (Chandra Muzaffar) was bribed, Chandra must sincerely believe that his defection was virtuous. Let's grant him the benefit of the doubt. But what makes him think that he is the only person capable of virtuous defection? Why deny the same adjective to 30, or even more, BN members of Parliament who wish to defect to the Pakatan Rakyat camp and thereby form a new government?”

Khalid tried to give moral (normative) justification to the much talked about defection. He argued,

We need to engineer an economic resurgence otherwise we all will suffer. The economy will contract and there will be more layoffs. Those who are working will see the value of their take-home ringgit shrinking.

The economy must be resurrected from the current stagnation. But first we need to restore confidence and hope. New confidence and hope can only come with new leadership. We need a Malaysian FDR.

So the defectors will not be pengkhianat after all. They are the penyelamat, the band of political white knights saving the country from the stagnation and slump. Those who still want to stay back will be on the wrong side of history.

Well, in Khalid’s mind - and perhaps in the minds of many average men in the street - the defection is virtuous for it will bring about leadership change to the country and, hopefully, a way out to the current political lethargy and economic quagmire.

But my question is how do we define virtue? Do we look at it from normative point of view like what Plato or Aristotle did? Or do we see it from Machiavelli’s realist point of view? While the classical scholars see virtue as the highest good, Machiavelli sees it as one’s ability to gain and maintain power.

The single most articulated value in the work of Machiavelli is virtú (Latin virtus), which is related to our word, "virtue." Machiavelli means it more in its Latin sense of "manly," but individuals with virtú are primarily marked by their ability to enforce their will on volatile social situations. They do this through a combination of strong will, strength, and brilliant and strategic calculation. (See World Civilizations by Richard Hooker at http://www.wsu.edu/~dee/REN/MACHIAV.HTM )

It seems to be quite difficult to justify “defection” - or for that matter any other political maneuvers - on normative grounds. It is an elusive justification. Khalid might be right, but Chandra might not be totally wrong. If we allow defection to be justified on normative grounds, don’t be surprised if one day we come across an article, or a book, entitled “The Morality of Corruption” or “The Morality of Conspiracy” or the "Morality of Electoral Rigging".

Alternatively, why don’t we pretend to be a “realist” for a while, and try to justify defection as a realist? Let us consider this:

1. Politics, as Harold Lasswell defines it, is about “who gets what when and how”. Let us consider “what” as referring to “power/becoming Prime Minister”, defection to “how” and September 16 to “when”.

2. Now, let us look at virtue as Machiavelli sees it - one’s ability to gain and maintain power. It doesn’t matter through what means one achieves power (whether through defection, ballot boxes or bloody coup d’ĕtat) because after all politics is “amoral”. Ends, i.e. power, justifies the means, i.e. political maneuvers. A virtuous politician is the one who knows "how" and "when" to gain - and mantain - power.

Combining 1 and 2 above, we can safely say that Anwar is a virtuous politician as and when he becomes Prime Minister. Wooing BN MPs to defect to Pakatan Rakyat is just a means. After all, this is not the first time Anwar did it. Back in 1994, he successfully engineered a massive defection of PBS assemblymen to the BN to help the ruling coalition form government in Sabah.

This time round, the Sabah politicians are back in the lime light. But to make the march to Putrajaya a success, Anwar also needs to woo Peninsular MPs, especially the Malay MPs, to defect. As defection is not a norm in the Peninsular, except for a few, Anwar needs to be extremely “virtuous”. Those MPs who plan to defect, if any, will also be virtuous politicians if they reap greater political or material benefits by doing so.
And let us not forget. Anwar also needs to be extremely virtuous not only to keep the opposition party elites cohesive, but also to make sure that they continue to put him in the exalted position as the de facto leader of Pakatan Rakyat. Remember that Anwar is not yet a prime minister and therefore he lacks "coercive" as well as "persuasive" apparatuses to discipline the party elites. UMNO-PAS muzakarah is an example of lack of discipline.
But as an astute politician, Anwar will seize whatever opportunities to continue his march to Putrajaya. Defection - as well as maintaing opposition party elites' cohesion - is a test of Anwar's political virtue.

Yes, I agree with Khalid. There is virtue in defection. But unlike what Khalid had in mind, I am more inclined to say that the virtue is “realist” rather than “normative” in nature.