Tuesday, October 21, 2008

Masa Perkukuh UMNO, BN

Berikut adalah tulisan saya mengenai pemilihan UMNO 2009 yang disiarkan di Utusan Malaysia hari ini 21 Oktober 2008.
Selain memilih pemimpin di peringkat bahagian, mesyuarat bahagian UMNO yang sedang berlangsung pada Oktober dan November ini penting kerana para perwakilan akan turut menamakan calon-calon bagi jawatan tertinggi parti dalam pemilihan pada Mac tahun depan. Lebih penting lagi, barisan kepimpinan tertinggi UMNO yang bakal dipilih akan turut membarisi kepimpinan tertinggi negara ekoran pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden.
Tidak hairanlah, pertandingan bagi jawatan-jawatan utama parti menjadi tumpuan. Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, yang mana penjawatnya secara tradisi dilantik sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, merupakan antara kerusi paling diperhatikan. Sekiranya berlaku pertandingan bagi kedua-dua jawatan ini, pemilihan kali ini merupakan yang pertama sejak 1987 yang menyaksikan pertandingan bagi kedua-dua jawatan tertinggi tersebut.
Jika pemilihan 1987 menyaksikan UMNO diharamkan dan ahli-ahli parti berpecah dua, pemilihan kali ini seharusnya menjadi medan terbaik bagi ahli-ahli UMNO untuk memperkukuhkan semula UMNO dan Barisan Nasional yang buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya sejak 1969 kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Barisan kepimpinan UMNO yang bakal dipilih mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengepalai usaha mengembalikan semula keyakinan rakyat pelbagai kaum di negara ini terhadap UMNO dan BN.
Untuk itu, sewajarnyalah para pemimpin dan perwakilan UMNO melakukan semakan realiti tentang persepsi dan harapan rakyat terhadap UMNO dan BN.
Satu kajian pasca pilihan raya yang dilakukan oleh Merdeka Center for Opinion Research dalam bulan Julai lalu menunjukkan majoriti rakyat masih meyakini BN sebagai platform terbaik untuk memupuk kerjasama antara kaum (55 peratus), mengekalkan kestabilan politik (67 peratus) dan membawa kemakmuran ekonomi (54 peratus). Kira-kira 55 peratus responden juga merasakan BN mewakili suara semua kaum dan 51 peratus berpandangan amalan dalam BN adalah demokratik.
Namun demikian, wujud dikotomi persepsi antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu. Hampir dua pertiga responden Melayu mempunyai pandangan positif terhadap BN, manakala majoriti responden bukan Melayu pula berpandangan sebaliknya.
Menguntungkan
Pandangan negatif responden bukan Melayu, sebahagian besarnya disebabkan oleh persepsi mereka bahawa dasar-dasar BN seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) hanya menguntungkan orang Melayu. Dalam hubungan ini, kajian tersebut mendapati 71 peratus responden bukan Melayu merasakan bahawa mereka didiskriminasi oleh kerajaan.
Sementara itu, 67 peratus responden Melayu pula merasakan bahawa DEB merupakan lambang hak keistimewaan Melayu yang perlu dikekalkan.
Kewujudan dikotomi ini bukanlah sesuatu yang baru. Dalam sebuah masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, cabaran utama para pemimpin negara ialah untuk mengimbangi kepentingan kaum yang berbeza. Peranan ini telah dimainkan oleh BN dan Perikatan sebelumnya. Sepanjang 53 tahun memerintah (termasuk dua tahun sebelum merdeka), formula Perikatan/BN telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan kaum.
Selain tragedi 13 Mei, perbalahan kaum dan agama bukanlah suatu yang lumrah di Malaysia.
Ini berbeza dengan hubungan kaum di negara-negara rantau Asia Pasifik lain yang mempunyai demografi dan sejarah kolonial yang hampir sama dengan Malaysia. Di Sri Lanka dan Fiji perbalahan kaum telah menyebabkan pertumpahan darah, rampasan kuasa dan ketidakstabilan politik yang berlarutan. Di negara jiran Indonesia, perbalahan agama dan etnik memuncak ketika negara itu sedang bergelut dengan krisis ekonomi dan politik pasca pemerintahan rejim Orde Baru.
Walaupun BN mempunyai rekod yang baik dalam mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan kaum, punca kemerosotan pengaruh BN dalam pilihan raya umum Mac lalu, terutamanya di kalangan pengundi bukan Melayu perlu diteliti.
Mungkin peningkatan taraf hidup rakyat, kemajuan dalam bidang pendidikan dan revolusi teknologi maklumat telah mempengaruhi nilai-nilai politik masyarakat.
Sementara majoriti rakyat memperakui kejayaan BN dalam mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian kaum, mereka juga semakin menitikberatkan soal tadbir urus negara, penyampaian awam dan kesaksamaan. Rakyat mahukan pemimpin yang boleh diterima oleh semua kaum, cekap mengurus ekonomi dan telus dalam mentadbir negara.
Dalam konteks inilah para perwakilan UMNO yang bersidang pada bulan Oktober dan November ini perlu menilai ciri-ciri kepimpinan yang ada pada setiap individu yang ingin dicalonkan bagi jawatan-jawatan penting dalam parti.
Mereka perlu mempunyai ciri-ciri yang menepati aspirasi orang Melayu serta rakyat pelbagai kaum di negara ini. Perlu diingat bahawa formula pemilihan pada kali ini seharusnya tidak sama dengan pemilihan-pemilihan yang lalu. Asas perkiraan bukan semata-mata percaturan untung rugi politik dalaman UMNO, tetapi survival UMNO dan Barisan Nasional sebagai parti yang memerintah.
Hal ini telah pun diakui oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyarankan agar diwujudkan keahlian langsung BN untuk menarik minat rakyat pelbagai kaum menyertai BN. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berulang kali mengingatkan ahli-ahli UMNO agar berusaha untuk memperkukuhkan BN sebagi parti yang mendapat dokongan rakyat pelbagai kaum.
Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menegaskan bahawa UMNO mesti memiliki pemimpin yang dihormati dan boleh diterima oleh kaum-kaum lain. Bagi Muhyiddin, tidak ada maknanya pemimpin UMNO mendapat sokongan padu ahli-ahli, tetapi parti itu kalah dalam pilihan raya.
Sokongan mereka yang berada di luar UMNO juga penting untuk memastikan kemenenangan parti. ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi juga menyebut hal yang sama ketika mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi.
Sebagai parti Melayu, UMNO terus mendapat kepercayaan orang Melayu. Dalam kajian sama yang dilakukan oleh Merdeka Center, 70 peratus responden Melayu mengakui bahawa UMNO telah berjaya melindungi kepentingan Melayu, memartabatkan Islam (67 peratus) dan membawa pembangunan ekonomi kepada rakyat (72 peratus). Perjuangan Melayu/Islam akan terus sinonim dengan UMNO.
Sebagai parti teras BN pula, tugas penting UMNO sebelum pilihan raya umum ke-13 adalah untuk memimpin usaha mengembalikan semula sokongan padu rakyat pelbagai kaum kepada BN. Bagi para perwakilan UMNO ke mesyuarat bahagian, tugas ini sudah pun bermula.

3 comments:

  1. salam sir..im one of ur student.tepat skali analisis sir.adakah ini bermakna melayu tidak boleh berpuak2 (skrg ada UMNO pas PKR)?kalau dulu kita ada satu leader iaitu Sultan /Raja,yg mnjadikata pemutus sgala hal,adakah org melayu tidak pandai berpolitik di zaman moden ini?

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam,

    Saya rasa bukan orang Melayu tak pandai berpolitik, tapi terlalu banyak "berpolitik".

    ReplyDelete
  3. Golongan Muda pernah menjadi agen perubah persepsi masyarakat sekitar tahun-tahun pra-kemerdekaan. Tidak terkecuali yang cenderung kearah perjuangan kiri, melontarkan idea "against mainstream". Ini berlaku sekali lagi pada hari ini. Benar. BN masih relevan untuk memacu Malaysia. Namun, kelahiran kembali golongan "muda" dalam bentuk pergerakan NGO, politik, mahasiswa mahupun profesional muda, yang mempunyai sifat "berani" mungkin bakal mengubah persepsi. Bagi mereka, lebih baik berikan "faedah keraguan" kepada Pembangkang mahupun DSAI, daripada terus menggunakan pendekatan biasa - BN. Golongan inilah yang perlu BN tangani.

    ReplyDelete