Monday, April 14, 2008

Menyelami Makna Politik Baru

Keputusan pilihanraya umum 8 Mac yang lalu disifatkan oleh banyak pihak sebagai sesuatu yang tidak dijangka. Istilah “tsunami” politik menggambarkan seolahnya telah berlaku satu gempa besar dalam “zon terbenam” politik Malaysia, yang seterusnya menghasilkan satu gelombang mega menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor; mengekalkan kerajaan PAS di Kelantan dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

Jika kejadian tsunami disebabkan oleh gempa besar di “zon terbenam” di dasar laut yang mengakibatkan perubahan struktural di kerak bumi, adakah perkara yang sama berlaku kepada politik Malaysia? Adakah sepanjang tempoh dua tiga dekad yang lalu telah berlaku pergerakan perlahan “plak-plak tektonik” dalam zon terbenam politik Malaysia, yang seterusnya membuka jalan kepada kemunculan “politik baru” di negara ini? Politik baru ini mungkin muncul dalam bentuk budaya politik baru yang seterusnya membawa kepada perubahan institusi politik.

Professor Loh Kok Wah dan Professor Johan Saravanamuttu dalam buku mereka “New Politics in Malaysia”, sebuah kumpulan makalah akademik yang diterbitkan selepas pilihanraya umum 1999, membicarakan tentang kemunculan budaya politik baru di Malaysia semenjak awal 1990an. Budaya politik baru ini, yang dikenali sebagai developmentalisme, menjadikan pembangunan material dan sikap individualis-konsumeris sebagai elemen penting dalam menentukan pilihan politik. Kemunculan budaya politik baru ini menjadikan wacana politik Malaysia tidak lagi didominasi oleh faktor kaum, tetapi diwarnai oleh kontestasi antara faktor kaum, demokrasi berpartisipasi dan pembangunan ekonomi.

Dalam konteks politik pilihanraya di Malaysia, dominasi wacana kaum telah mewujudkan dikotomi pollitik Melayu-Bukan Melayu yang agak ketara. Misalnya, ketika wacana kaum mendominasi politik negara dalam dekad 1980-an, Barisan Nasional paling berpengaruh di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu. DAP pula dilihat amat berpengaruh di kawasan-kawasan majoriti besar pengundi Cina.

Trend ini mula berubah dalam dekad 1990an. Pilihanraya umum tahun 1995 menunjukkan Barisan Nasional, sementara terus mendominasi di kawasan-kawasan majoriti Melayu dan campuran, turut mengalami peningkatan sokongan di kawasan-kawasan majoriti Cina. Daripada 25 kerusi Parlimen di kawasan-kawasan majoriti Cina di Semenanjung Malaysia, Barisan Nasional memenangi 17 kerusi berbanding tujuh kerusi sebelumnya.

Dasar kerajaan yang lebih terbuka dalam isu hubungan kaum, terutamanya yang berkait dengan pendidikan bahasa ibunda dan kebudayaan bukan Melayu, dilihat sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan sokongan bukan Melayu terhadap Barisan Nasional. Sementara itu, kepesatan pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup golongan Bumiputera/Melayu hasil daripada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah turut mengurangkan risiko ketegangan kaum. Hal ini sedikit sebanyak mengurangkan dikotomi Melayu-Bukan Melayu dalam konteks politik pilihanraya di Malaysia.

Dikotomi Melayu-Bukan Melayu semakin terhakis dalam pilihanraya umum 1999. Politik kaum tidak lagi menjadi isu yang dominan dalam kempen pilihanraya, sebaliknya yang dominan ialah isu-isu bukan kaum seperti demokrasi berpartisipasi, anti-rasuah, pengagihan ekonomi yang adil dan ketelusan dalam pemerintahan. Terdahulu, gerakan reformasi yang dipimpin oleh mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudiannya Barisan Alternatif, telah mengenengahkan aspek kepelbagaian ras dan budaya sebagai teras utama politik demokrasi di Malaysia.

Walaupun ramai pemerhati politik melihat dikotomi Melayu-Bukan Melayu masih dominan dalam pilihanraya umum 1999, terutamanya yang berkait dengan sokongan pengundi Cina kepada Barisan Nasional yang kononnya membantu parti itu mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen, sementara undi Melayu menyaksikan peralihan ketara kepada Barisan Alternatif, DAP hanya mengalami 0.8% penurunan undi popular di kawasan-kawasan majoriti besar Cina.
Parti itu malah berjaya meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi di kawasan-kawasan tersebut daripada enam kerusi sebelumnya kepada tujuh kerusi. Undi popular DAP di kawasan-kawasan majoriti sederhana Cina juga mencatatkan peningkatan daripada 39% sebelumnya kepada 43.3%. Peningkatan ini berkemungkinan juga disumbangkan oleh sokongan pengundi Melayu kepada parti majoriti Cina itu. Ini bermakna, sementara faktor kaum masih merupakan salah satu elemen penting dalam politik Malaysia, tidak ada satu kaum pun di negara ini yang boleh dikaitkan samada dengan parti pemerintah atau pembangkang. Sokongan kedua-dua kaum Melayu dan bukan Melayu terbahagi kepada kedua-dua pihak.

Sementara sokongan kepada DAP di kawasan-kawasan majoriti Cina terus meningkat dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008, trend pengundian di kawasan-kawasan majoriti Melayu menunjukkan peralihan sokongan berbolak balik kepada BN dan gabungan PAS dan PKR. UMNO berjaya menarik kembali sokongan pengundi Melayu pada tahun 2004 dengan memenangi 63 daripada 71 kerusi parlimen di kawasan-kawasan majoriti besar pengundi Melayu. Walau bagaimanapun, dalam pilihanraya umum 8 Mac yang lalu, peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PAS dan PKR telah mengurangkan penguasaan UMNO di kawasan-kawasan ini kepada 43 kerusi.

Lebih menarik, dalam pilihanraya umum yang baru lalu, trend pengundian rentas kaum di kawasan-kawasan campuran telah mula memihak kepada gabungan parti-parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat. Paling ketara ialah sokongan pengundi-pengundi India yang selama ini disifatkan sebagai penyokong setia BN. Pakatan telah memenangi 14 daripada 26 kerusi Parlimen di kawasan-kawasan campuran di Semenanjung Malaysia, walhal dalam pilihanraya-pilihanraya umum sebelum ini, tiada sebarang kerusi di kawasan ini yang dimenangi oleh parti pembangkang, kecuali satu pada tahun 1999. Pakatan Rakyat juga telah berjaya menguasai negeri-negeri Selangor, Perak dan Pulau Pinang yang boleh disifatkan sebagai negeri campuran dari segi komposisi etnik pengundi.

Trend pengundian rentas kaum kepada kedua-dua parti Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat membuka ruang kepada pembentukan sistem dua parti rentas kaum di negara ini. Dengan syarat kedua-dua parti ini mengambil sikap yang lebih moderat dalam isu-isu hubungan kaum, potensi pembentukan sistem dua parti rentas kaum menjadi semakin cerah. Dalam sistem dua parti rentas kaum ini, tidak ada satu kaum pun yang boleh diidentifikasikan dengan mana-mana pakatan atau gabungan parti-parti politik. Ini seterusnya boleh mewujudkan iklim pertandingan politik yang sihat dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Dalam sistem dan budaya politik baru ini, tentu sekali soal hubungan kaum akan terus menjadi elemen penting politik Malaysia. Walaupun trend pengundian berubah, perbezaan kaum (communal cleavages) masih wujud. Isu keistimewaan Melayu, pendidikan bahasa ibunda, kebudayaan dan hubungan antara agama akan terus releven.

Namun begitu, kedua-dua gabungan atau pakatan parti-parti politik, yang hampir kesemuanya mempunyai asas kaum tersendiri, perlu menyedari bahawa kelangsungan politik mereka tidak lagi bergantung semata-mata kepada sokongan yang diterima daripada kaum masing-masing. Hal ini berkemungkinan akan mendorong kedua-dua gabungan parti untuk mengambil sikap yang lebih sederhana dalam isu-isu hubungan kaum, tetapi pada masa yang sama berhati-hati agar sikap tersebut tidak akan dilihat sebagai tindakan mengalah atau “selling-out” kepada kaum lain.

Di samping faktor kaum, tentu sekali pencapaian merupakan faktor penting yang membezakan antara kedua-dua parti. Keabsahan politik parti-parti ini tidak lagi bergantung semata-mata kepada sentimen kaum atau kesetiaan kepada parti, tetapi kepada keupayaan masing-masing untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.

Kemunculan golongan pengundi konsumeris-individualis, yang lebih mengutamakan keupayaan kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka - daripada memberi masalah kepada mereka - tentu sekali menuntut parti-parti politik memberi keutamaan kepada “performance” daripada sentimen. Misalnya, isu projek ternakan babi moden di Selangor. Apakah rakyat melihat isu ini dari kaca mata sentimen, iaitu orang Melayu tidak suka kepada babi dan orang Cina, tidak kira apapun, mesti mempertahankan penternak babi; atau dari kaca mata “performance”, iaitu parti manakah yang berupaya menawarkan penyelesaian terbaik kepada masalah pencemaran alam di samping memastikan bekalan babi tidak berkurangan?

Politik baru ini tentu sekali tidak muncul dalam satu vakum. Perubahan sosio-ekonomi, proses perbandaran, pemeluasan kelas menengah, kewujudan golongan konsumeris-individualis dan kesedaran terhadap politik demokrasi berpartisipasi yang stabil memunculkan individu-individu celik politik yang menilai secara kritis tindak-tanduk ahli-ahli politik dan dasar-dasar parti politik dan kerajaan. Dalam erti kata lain, golongan ini biasanya lebih bebas dalam membuat pilihan politik.

Sementara ramai penganalisis politik cuba memberi rasional kepada kemunculan gelombang tsunami politik dalam pilihanraya umum yang lalu dengan mengaitkan rantaian faktor peristiwa dan personaliti politik, plak-plak tektonik politik Malaysia - pembangunan ekonomi, proses urbanisasi, pemeluasan kelas menengah dan kemunculan golongan konsumeris-individualis rentas kaum - telah bergeseran sesama sendiri secara perlahan-lahan sejak beberapa dekad yang lalu. Sementara rantaian faktor peristiwa dan personaliti memberi pelengkap kepada keributan tsunami itu, gelombang tsunami politik itu sendiri merupakan hasil daripada ledakan yang berlaku dalam “zon terbenam” politik Malaysia. Yang perlu diteropong oleh para penganalisis politik ialah sejauh mana ledakan itu telah menyebabkan perubahan struktural kepada lanskap politik Malaysia.

No comments:

Post a Comment