Monday, April 28, 2008

Dasar Ekonomi Baru atau Agenda Ekonomi Malaysia?

Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah berakhir 18 tahun yang lalu. Tetapi ianya masih diperkatakan oleh ramai orang. Para pengkritik melihat dasar yang bertujuan untuk menstruktur semula masyarakat dan membasmi kemiskinan ini sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap kaum-kaum bukan Melayu. Ramai juga yang melihat dasar ini sebagai batu halangan kepada persaingan bebas dan pemesatan ekonomi pasar. Bagi sebilangan orang Melayu sendiri, mereka melihat DEB sebagai pemangkin mentaliti tongkat yang menghalang mereka untuk maju setanding dengan bangsa-bangsa lain. Mutakhir ini, amalan rasuah dan salah guna kuasa dikaitkan dengan DEB.

Ketika dasar ini diperkenalkan 37 tahun yang lalu, tujuan utamanya ialah untuk mewujudkan perpaduan nasional - iaitu apabila identiti sesuatu kaum tidak lagi dikaitkan dengan fungsi ekonominya, perpaduan nasional akan tercapai - tetapi pada hari ini DEB dilihat sebagai penghalang kepada perpaduan nasional. Pendek kata tidak ada satu pun yang baik tentang dasar ini, walaupun ramai juga orang Melayu (dan bukan Melayu) yang telah mendapat manfaat daripadanya. Anwar pula tampil dengan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM), kononnya untuk menghapuskan segala ketidakadilan dan keburukan DEB.

Semalam saya sempat membelek buku "Making Globalization Work (2006)” karangan Joseph Stiglitz, bekas Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia, yang juga merupakan pengkritik hebat dasar ekonomi pasar yang dianjurkan oleh institusi Bretton Woods itu. Dalam buku ini, Stiglitz menolak teori "invisible hand” Adam Smith dengan mengemukakan bukti-bukti mengenai kegagalan pasaran. Krisis ekonomi Latin Amerika dan Asia Timur pada dekad 1990-an menunjukkan bahawa pasaran adalah tidak sempurna. Bagi Stiglitz, "invisible hand” tidak kelihatan kerana sememangnya ia tiada di situ. Beliau sebaliknya menganjurkan peranan negara dalam memperbetulkan pasaran dan mewujudkan keadilan sosial melalui pengagihan ekonomi.

Dalam konteks ini, beliau memuji model ”Pendekatan Komprehensif Kepada Pembangunan” yang diamalkan di negara-negara Asia. Beliau menulis:

"The East Asian countries believed, as we have seen, that government should do more. East Asian nations feel that it is their responsibility to maintain full employment and actively promote growth, and their governments remain concerned about inequality and social stability. In Malaysia, the role of government has extended in yet another direction. For decades, the Malaysian government has carried out an aggressive affirmative action program to help the ethnic Malays. This was an important part of nation building; the view that all groups would benefit from a more stable and equitable society was widely accepted, even though some members of Malaysia’s ethnic Chinese community may have lost opportunity as a result. However, because the government made sure that all shared in the fruits of development, ethnic conflict has largely been avoided (m.s. 49)."

Saya yakin bahawa pertumbuhan ekonomi berkait rapat dengan perpaduan nasional. Apabila ekonomi tumbuh pesat dan hasilnya diagih secara adil, semua kaum akan mendapat manfaat dan perpaduan nasional menjadi lebih realistik. Justeru, baik DEB atau AEM, perkara pokok yang perlu diberi perhatian oleh para politikus dan teknokrat di negara ini ialah memastikan pertumbuhan ekonomi negara sentiasa berada pada tahap yang selesa. Pengagihan ekonomi tidak boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya pertumbuhannya terencat. Tidak kurang pentingnya, pertumbuhan ekonomi tidak harus dilihat dari kaca mata ekonomi pasar semata-mata.

Teringat saya pada satu diskusi mengenai Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang dibentangkan oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim satu ketika dahulu. Ketika itu, beliau masih lagi Bendahari PKR. Saya katakan kepada beliau, AEM lebih menumpukan kepada “pengagihan” daripada “pertumbuhan”. Saya tidak nampak adanya satu pelan khusus untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, selain daripada menghapuskan saki-baki DEB. Jawapan beliau ringkas sahaja. “I am on the growth side of the economic equation”. Apa yang saya faham, beliau seorang korporat dan beliau tahu apa yang harus dibuat. Saya sebenarnya mengharapkan jawapan yang lebih baik daripada itu.

1 comment:

  1. Salam Dr. Marzuki,

    Saya telah buat sedikit catatan tentang Konvensyen Belia tempoh hari di blog saya. Jemputlah ke sana.

    ReplyDelete