Monday, August 29, 2011

PPSMI: Kenapa Ragu Dengan Bahasa Melayu?

Semasa melawat Beijing Foreign Studies University (BFSU) awal tahun ini, saya amat kagum dengan kebolehan pelajar-pelajar negara China bertutur dalam Bahasa Melayu. Mereka adalah antara pelajar yang mengikuti program pengajian Melayu di BFSU. Mereka inilah yang apabila tamat pengajian nanti akan berkhidmat sebagai diplomat, penterjemah dan penyelidik.

Ketikamana hubungan dagang antara negara China dan Asia Tenggara sedang bertambah kukuh, kebolehan para diplomat dan penyelidik mereka untuk berbahasa Melayu adalah amat penting bagi negara China. Penguasaan bahasa Melayu akan membolehkan mereka memahami kebudayaan dan landskap sosio-politik lebih 300 juta orang di rantau ini yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai lingua franca. Bagi mereka, bahasa Melayu adalah kunci kepada penguasaan ilmu.

Di negara kita, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ada pasang surutnya. Di era tahun 70-an dahulu pemimpin negara kita melihat bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa ilmu tetapi juga bahasa perpaduan. Lantaran itu, Laporan Razak dengan tegas menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan menggantikan bahasa Inggeris.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan untuk membolehkan para pelajar mengikuti pengajian tinggi dalam bahasa Melayu. Lebih penting, para pensyarah, penyelidik dan profesor boleh menumpukan kepada usaha menghasilkan ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu. Para pensyarah di fakulti ekonomi, perubatan, sains gunaan, sains kemanusiaan, kejuruteraan dan sebagainya mengajar dalam bahasa Melayu dan menghasilkan makalah serta buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu. Banyak juga hasil penyelidikan diterbitkan dalam Bahasa Melayu. Maka tercapailah hasrat untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Dasar yang dipelopori oleh Allahyarham Tun Abdul Razak ini adalah satu dasar yang berwawasan. Dengan terciptanya ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Melayu hasil usaha para saintis, penyelidik dan profesor di universiti, bahan-bahan berkaitan bidang ini dalam bahasa Melayu mudah diperolehi.

Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu di sekolah tidak lagi menjadi masalah. Pakar-pakar dalam bidang sains dan matematik menguasai bahasa Melayu dengan baik. Merekalah yang menjadi penulis buku-buku teks sains dan matematik dalam bahasa Melayu yang digunakan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Mahasiswa yang mengikuti pengajian sains dan matematik dalam bahasa Melayu juga bertambah ramai. Mereka akhirnya menjadi guru di sekolah-sekolah dan mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Kita tidak perlu lagi mengimport guru-guru dari Indonesia untuk mengajar fizik, kimia dan biologi dalam bahasa Melayu. Guru-guru kita boleh melakukannya dengan lebih baik.

Maka untuk satu ketika, bahasa Melayu telah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu. Yang untung adalah orang Melayu sendiri. Anak-anak Melayu dapat mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa yang mudah mereka fahami. Ilmu sains dan matematik bukan lagi menjadi milik anak-anak kelompok aristokrat dan golongan elit yang lebih mahir berbahasa Inggeris. Ilmu sains dan matematik menjadi milik majoriti anak bangsa.

Pendemokrasian pendidikan yang sebenar telah berlaku dengan perubahan bahasa pengantar daripada bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu.

Namun hari ini, ramai yang menganggap bahasa Melayu tidak penting lagi. Ini kerana tidak banyak ilmu dalam bidang sains dan teknologi boleh diperolehi dalam Bahasa Melayu. Para profesor kita tidak lagi menulis dalam bahasa Melayu. Lebih-lebih lagi dengan kegilaan pentadbir universiti terhadap usaha penarafan universiti, untuk menjadi antara 100 universiti terbaik di dunia, para pensyarah dan profesor diwajibkan untuk menerbitkan karya mereka dalam jurnal-jurnal antarabangsa yang hampir kesemuanya dalam bahasa Inggeris. Kalau tak terbitkan makalah dalam jurnal-jurnal berbahasa Inggeris, maka tak dapat naik pangkat.

Pengajaran dan pembelajaran di universiti juga dalam bahasa Inggeris. Saya diberitahu oleh seorang profesor di salah sebuah universiti, bukan sahaja kursus-kursus berteraskan sains dan teknologi telah diajar dalam bahasa Inggeris, malah pengajian Melayunya pun nak diajar dalam bahasa Inggeris!

Perkembangan yang berlaku di universiti tidak jauh bezanya dengan apa yang berlaku di sekolah. Desakan demi desakan dibuat supaya matapelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris semula. Alasannya sama. Lebih banyak ilmu dalam bidang sains dan matematik boleh diperolehi dalam bahasa Inggeris berbanding dalam bahasa Melayu.

Jadi, bagi para pengagum bahasa Inggeris, adalah lebih baik sekiranya kedua-dua matapelajaran ini diajar dalam bahasa Inggeris. Entah kenapa, desakan ini menjadi semakin nyaring sejak kebelakangan ini.

Apakah implikasinya jika desakan ini dilayan? Bagi saya mudah. Tamatlah riwayat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam bidang sains dan teknologi.

Para profesor sudah tidak lagi menulis dalam bahasa Melayu. Pensyarah juga tidak lagi mengajar dalam bahasa Melayu. Graduan yang dilahirkan tidak mahir menggunakan istilah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu. Jika mereka menjadi guru, sukar untuk mereka mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

Apa lagi jika mereka menjadi saintis, penyelidik atau bekerja dengan syarikat-syarikat multinasional. Mereka akan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, menulis laporan dalam bahasa Inggeris. Segala-galanya dalam bahasa Inggeris.

Apabila bahasa Melayu tidak lagi digunakan dalam bidang sains dan teknologi, maka buku-buku sains dan teknologi tidak lagi ditulis dalam bahasa Melayu kerana tiada siapa hendak menggunakannya. Akhirnya, bahasa Melayu tidak lagi relevan sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi.

Apabila keadaan ini berlaku, hanya mereka yang dapat menguasai bahasa Inggeris sahaja dapat menguasai ilmu sains dan teknologi. Yang lain lupakan sahaja hasrat untuk menekuni bidang ini.

Saya bukanlah anti-bahasa Inggeris. Saya juga menerima hakikat bahawa penguasaan bahasa Inggeris adalah penting untuk mendalami ilmu sains dan teknologi. Tetapi hakikatnya tidak semua orang dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Ini termasuklah sebahagian besar murid, baik yang tinggal di bandar atau di luar bandar. Jika matapelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris, kumpulan murid ini akan mengalami defisit ilmu. Mereka tidak akan dapat menguasai asas ilmu Matematik dan Sains kerana kedua-dua matapelajaran ini sejak dari awal lagi diajar dalam bahasa Inggeris.

Ertinya, yang akan berlaku nanti adalah pengelitan ilmu (elitization of knowledge), iaitu ilmu sains dan teknologi menjadi ilmu yang elit sifatnya. Di sekolah, hanya murid yang menguasai bahasa Inggeris boleh memahami matapelajaran Sains dan Matematik dengan baik. Yang lain akan tercicir.

Untuk mengelakkan kesan buruk defisit ilmu, adalah lebih baik kedua-dua matapelajaran ini diajar dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda yang lebih mudah difahami oleh murid.

Ini juga sejajar dengan perakuan UNESCO bahawa bahasa ibunda adalah bahasa pengantar yang terbaik di sekolah. Jika kita lihat di negara-negara maju sekalipun, kecuali di Singapura, mereka menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar utama di sekolah.

Ketika menghadiri mesyuarat UNESCO di Paris baru-baru ini, saya berpeluang melawat sebuah sekolah di sana. Saya bertanya kepada seorang guru samada matapelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris di Perancis. Guru tersebut menjawab tidak. Kedua-duanya diajar dalam bahasa Perancis.

Perancis adalah sebuah negara maju. Banyak ilmu sains dan teknologi dihasilkan dalam bahasa Perancis. Begitu juga dengan negara Jerman, Jepun dan Korea. Negara-negara ini banyak menghasilkan teknologi pribumi (indigenous technology) dalam bahasa masing-masing. Walaupun rakyat mereka juga berlumba-lumba untuk menguasai bahasa Inggeris, mereka tidak apologetik dengan bahasa sendiri. Mereka yakin dengan nilai kemajuan yang tersirat dalam bahasa mereka. Inilah sifat sebuah bangsa yang maju.

Kita perlu belajar daripada bangsa yang telah maju ini. Kemajuan yang mereka capai adalah seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh bahasa mereka sebagai bahasa ilmu.

Satu waktu dahulu ada orang berhujjah bahasa tidak penting. Yang penting negara kita maju dahulu kemudian barulah orang luar akan berlumba-lumba mempelajari bahasa kita.

Hujjah ini lemah dan tidak tepat. Jika kita maju dengan menggunakan bahasa orang lain, apakah mungkin orang lain akan berminat untuk mempelajari bahasa kita? Tentu sekali tidak.

Kebimbangan saya ialah kita tidak boleh menjadi maju pun. Ini kerana jumlah rakyat yang boleh menguasai ilmu sains dan teknologi dengan baik adalah kecil. Sebahagian besar mereka yang tidak menguasai bahasa Inggeris tidak akan dapat menguasai ilmu sains dan teknologi, tidak dapat berkreativiti dan tidak dapat berinovasi.

Kita akan gagal untuk mencipta teknologi pribumi yang menjadi asas kepada kemajuan bangsa-bangsa yang telah maju. Oleh kerana kita terlalu bergantung kepada bahasa Inggeris, maka teknologi yang kita hasilkan tidak akan lebih daripada apa yang telah dihasilkan oleh para penyelidik dalam bahasa itu.

Jika kita ingin menjadi sebuah bangsa yang maju, kita terlebih dahulu perlu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam bidang sains dan teknologi. Kita perlu menghasilkan penyelidikan, penemuan dan penciptaan-penciptaan baru dalam bahasa kita. Bahasa Inggeris hanyalah alat untuk mempelajari sesuatu yang baru daripada bangsa-bangsa lain, bukan matlamat akhir.

Bagi saya perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bukanlah satu pendirian yang kolot. Ianya penting untuk memastikan bangsa kita dapat maju dengan acuan sendiri.

Sunday, August 28, 2011

Apa Kena Dengan PAGE?

Parent Action Group for Education (PAGE) bukanlah sebuah organisasi yang besar. Ahlinya cuma dua tiga kerat sahaja. Tak pasti saya samada ia sebuah pertubuhan berdaftar atau tidak.

Tetapi itu semua tidak penting. Dalam zaman ledakan maklumat dan pendewaan masyarakat sivil hari ini, saiz sesebuah organisasi tidak lagi penting. Sebuah persatuan yang ahlinya cuma dua tiga kerat boleh jadi lebih berpengaruh daripada sebuah parti politik yang ahlinya jutaan orang. Apa yang diperlukan oleh organisasi ini ialah jurucakap yang sentiasa konsisten dalam menjuarai sesuatu isu.


Lebih baik kalau jurucakap itu mempunyai hubungan rapat dengan orang-orang tertentu dalam akhbar-akhbar tertentu. Maka pandangannya tentang pelbagai isu akan sentiasa dipaparkan di dada-dada akhbar. Lebih banyak pandangan yang dipaparkan, lebih berpengaruhlah persatuan itu kelihatan di mata masyarakat dan pembuat dasar.


PAGE sentiasa konsisten dalam memperjuangkan isu PPSMI. Bagi kumpulan ini bahasa Melayu tidak layak menjadi bahasa pengantar dalam pembelajaran Matematik dan Sains kerana ianya tidak mempunyai nilai ilmu. Bahasa Melayu hanya layak menjadi bahasa pasar atau bahasa pertuturan di rumah sahaja. Itu pun kalau dipertuturkan. Kalau tak dipertutur langsung pun tak mengapa. Kerana menurut kumpulan ini bahasa Melayu tidak mempunyai apa-apa nilai melainkan nilai yang dikaitkan dengan kemunduran. Kerana itu apabila kerajaan memutuskan untuk kembali mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu, kumpulan ini menganggap ianya satu langkah ke belakang.


Saya tidak ingin bercakap tentang isu PPSMI. Isu ini telah banyak diperkatakan oleh ramai orang dan pandangan saya tidak akan menambah atau mengurang apa-apa pun.


Yang menarik perhatian saya ialah kenyataan terbaru PAGE menentang keputusan kerajaan melonggarkan syarat kemasukan pelajar miskin dan pelajar luar bandar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Seperti yang dilaporkan pada halaman dua akhbar New Sunday Times hari ini (28 Ogos 2011), jurucakap PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata langkah tersebut akan menjejaskan pencapaian sekolah-sekolah berasrama penuh. Ertinya, pelajar miskin dan pelajar luar bandar yang pencapaiannya tidaklah seberapa, jika dibenarkan memasuki SBP akan menyebabkan pencapaian SBP menjunam. Bagi kumpulan ini nampaknya pencapaian SBP lebih penting daripada pencapaian pelajar miskin dan luar bandar yang pastinya akan mendapat manfaat besar sekiranya dibenarkan memasuki SBP.


Selain itu, beliau juga berkata semua pelajar mesti digalakkan untuk bersaing. Oleh yang demikian, melonggarkan syarat kemasukan bagi sesetengah kumpulan pelajar adalah satu langkah yang bertentangan dengan semangat persaingan.


Ini adalah satu pandangan yang dangkal. Di mana-mana negara di dunia, pelbagai tindakan afirmatif dilakukan oleh kerajaan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Di negara kita, penubuhan sekolah berasrama penuh adalah salah satu daripada tindakan afirmatif untuk membantu golongan yang susah. Pelajar-pelajar miskin terutamanya dari luar bandar diberi peluang untuj belajar di sekolah-sekolah terbaik dengan harapan mereka dapat mencapai keputusan yang lebih cemerlang. Dengan itu akan berlaku apa yang dikatakan social upward mobility dalam masyarakat. Dengan mendapat peluang pendidikan yang lebih baik, mereka mempunyai masa hadapan yang lebih cerah dan tidak lagi dibelenggu kemiskinan sepertimana yang dialami oleh bapa atau nenek moyang mereka suatu waktu dahulu.


Pendekatan tindakan afirmatif ini telah terbukti berjaya di negara kita dan di mana-mana negara di dunia.


Tidak dapat dinafikan, pemeluasan kelas menengah di negara kita adalah hasil tindakan afirmatif kerajaan terutamnya dalam bidang pendidikan. Tanyalah mana-mana Ketua Setiausaha Kementerian, Timbalan Ketua Setiausaha, Pengarah-Pengarah Bahagian hatta pengurus dan pegawai kanan syarikat-syarikat gergasi di negara kita yang berasal dari luar bandar dan mendapat peluang belajar di SBP sebelum ini. Selain daripada kepintaran dan rezeki masing-masing, bukankah tindakan afirmatif kerajaanlah yang menjadi antara faktor penyumbang utama kepada kejayaan mereka.


Lagipun, pelajar luar bandar dan pelajar miskin bukannya tidak pandai. Mereka adalah pelajar-pelajar pintar yang menjadi mangsa keadaan. Jika kerajaan tidak membantu mereka, siapa lagi yang akan membantu. Adakah PAGE nak membantu mereka? Saya fikir jauh panggang dari api.


Justeru, kepada mereka yang berada dalam PAGE bukalah mata. Jangan terperangkap dalam sindrom pemikiran satu lorong. Lihatlah kepentingan yang lebih besar.


Kepada akhbar yang sentiasa menjulang pandangan kumpulan ini pula, pesan saya berpada-padalah!