Sepanjang minggu ini, saya banyak menjenguk facebook rakan-rakan dan melawati blog-blog untuk melihat apakah reaksi masyarakat terhadap perhimpunan Bersih 2.0. Ramai yang memberi komen. Ada yang bersetuju, ada yang tidak. Malah, ramai juga yang marah-marah.
Namun, saya perhatikan tidak ramai yang membahaskan secara khusus 8 tuntutan Bersih yang menjadi sebab utama para penyokong Bersih turun ke jalanan pada 9 Julai yang lalu. Bagi penyokong Bersih, mereka seolahnya menerima bulat-bulat tuduhan Bersih bahawa pilihanraya di negara kita tidak adil dan kotor.
Untuk berlaku adil, wajar kita mengkaji satu persatu tuntutan-tuntutan tersebut, iaitu: (i) bersihkan senarai pengundi; (ii) mereformasi undi pos; (iii) menggunakan dakwat kekal; (iv) tempoh kempen minimum 21 hari; (v) akses kepada media yang bebas dan adil; (vi) kukuhkan institusi awam; (vii) menghentikan amalan rasuah; dan (viii) menghentikan politik kotor.
Daripada 8 tuntutan di atas, hanya 4 sahaja yang berkait secara langsung dengan perjalanan pilihanraya di negara kita. Yang selebihnya berupa pernyataan-pernyataan politik yang wajar dibicarakan secara berasingan.
Dalam satu sesi dialog bersama pertubuhan bukan kerajaan, pengamal media dan wakil agensi kerajaan yang dianjurkan oleh Institut Perkembangan Minda (INMIND) baru-baru ini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menjelaskan 4 tuntutan tersebut:
Senarai Pengundi Berdaftar
Daftar pemilih untuk lebih 12 juta orang pengundi telah dikemas kini mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sahaja iaitu alamat pada MyKad pengundi bermula 2002.
Menjadi tanggungjawab pengundi menyemak alamat berdaftar mereka untuk dibersihkan kerana SPR tiada kuasa untuk menukar alamat tersebut tanpa dipohon sendiri individu berkenaan.
Seseorang itu berhak mendaftar alamat mengundi di kampung halamannya,bukan di tempat dia bermastautin. Lebih 40 peratus pengundi berdaftar yang ada kini berbuat demikian. Ada undang-undang menetapkan alamat perlu dikemaskini dengan JPN selepas tiga bulan berpindah tetapi tidak ramai yang berbuat demikian.
SPR hanya merujuk kepada maklumat JPN mengenai kematian pengundi, bukannya mengikut cakap sesiapa sahaja.Maklumat kematian bergantung kepada waris untuk memaklumkan kepada JPN. Kesukaran paling banyak timbul untuk penduduk pedalaman di Sabah dan Sarawak. Inilah yang dicanang-canangkan kononnya ada pengundi hantu.
Hakikatnya, tiada daftar pengundi di dunia yang bersih 100 peratus memandangkan faktor seperti kematian adalah sesuatu ynag tidak boleh dijangkakan.
Undi Pos
SPR sedang membuat penambahbaikan. Untuk memansuhkan terus kaedah itu tidak mungkin kerana tidak adil kepada rakyat yang bertugas pada hari mengundi atau di luar negara.
Pengundi yang dibenarkan membuang undi melalui pos adalah polis, tentera, pelajar sepenuh masa di luar negara dan kakitangan kerajaan yang bertugas di luar negara berserta ahli keluarga mereka. SPR juga sedang mengkaji undi pos untuk petugas media.
SPR akan memantapkan lagi undi pos dan akan laksanakan undian awal mulai Pilihan Raya Umum Ke-13.
Wakil (Ejen) parti-parti politik juga kini dibenarkan memantau undi pos di kem dan ibu pejabat polis hasil usaha penambahbaikan itu.
Penggunaan Dakwat Kekal
Amalannya seolah-olah satu langkah ke belakang. Yang praktikal ilaah sistem 12 digit individu pada MyKad merupakan antara tercanggih di dunia. Dakwat hitam digunakan di negara yang tidak memiliki sistem seperti MyKad serta mempunyai berpuluh juta pengundi.
Penggunaan dakwat juga bercanggah dengan Perlembagaan negara dan pindaan perlu dibuat jika kaedah itu mahu dilaksanakan.
SPR juga pertimbangkan untuk gunakan sistem biometrik dan mengikut maklumat asal JPN.
Tempoh 21 Hari Berkempen.
Tempoh kempen yang diberikan SPR adalah sesuai dengan realiti negara ini. Ia sudah berpatutan untuk rakyat kerana kita hanya mempunyai hanya 12 juta pengundi.
Di negara luar seperti Indonesia berkempen selama satu bulan adalah wajar kerana negara itu mempunyai ribuan pulau dan lebih 100 juta pengundi.(Sumber: http://www.jasa.gov.my/index.php/bm/media/koleksi-artikel/2-issues-explanation/470-spr-jawab-lapan-tuntutan-bersih.html)
No comments:
Post a Comment