Pilihanraya di negara kita sentiasa berlangsung dalam suasana yang kompetitif, di mana parti-parti pembangkang mempunyai peluang yang besar untuk menang. Pilihanraya yang kompetitif adalah antara bukti amalan demokrasi yang berfungsi di sesebuah negara.
Apabila pilihanraya adalah kompetitif, maka kerajaan biasanya akan bersikap lebih prihatin dan responsif terhadap tuntutan rakyat. Jika tidak, parti yang memerintah akan kehilangan sokongan rakyat dan tewas dalam pilihanraya.
Inilah yang berlaku selepas PRU-12. Kemenangan pembangkang di 5 buah negeri dan kegagalan BN untuk mengekalkan majoriti 2/3 di Parlimen telah menjadikan BN lebih responsif terhadap hasrat dan kehendak rakyat. Pelbagai program telah dirangka untuk tujuan ini. Yang ketara ialah 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang bertujuan untuk memperbaiki prestasi penyampaian kerajaan dalam bidang-bidang yang diutamakan oleh rakyat.
Kerajaan yang responsif adalah antara sisi utama amalan demokrasi. Malangnya, tidak ramai yang ingin melihat demokrasi dari sudut ini. Bagi kebanyakan orang, ukuran utama demokrasi ialah apabila parti-parti pembangkang menang dan kerajaan bertukar tangan. Istilah yang sering digunakan, terutamanya oleh sarjana Barat, ialah regime change.
Misalnya, Paula Schriefer, Pengarah Advokasi Freedom House, sebuah agensi berpangkalan di Amerika Syarikat yang sering mengkritik Malaysia dari segi amalan demokrasi, membuat pujian berikut sejurus selepas pembangkang menunjukkan prestasi luar biasa dalam PRU-12.
“The fact that Malaysians went to the polls in large numbers and peacefully expressed their discontent through the electoral process represents an important step forward for Malaysia's democracy”.
Bagi mereka, kemenangan pembangkang dalam pilihanraya adalah satu-satunya ukuran demokrasi, walaupun pembangkang juga kadangkala menggunakan taktik kotor dan tidak demokratik untuk menang. Diketahui misalnya, ejen-ejen parti pembangkang memungut kad pengenalan pengundi sebelum hari mengundi untuk menghalang mereka membuang undi pada hari pengundian. Ada juga yang menggunakan taktik kasar seperti mengugut dan menimbulkan suasana tegang semasa hari mengundi supaya pengundi tidak turun mengundi.
Ada juga yang memaksa pengundi bersumpah dengan menjunjung al-Qur'an supaya mereka hanya mengundi parti tertentu semasa pilihanraya. Di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, mereka juga menggunakan sumber dan jentera kerajaan untuk berkempen. Media yang dikuasai parti-parti pembangkang juga tidak pernah membuat laporan yang adil dan seimbang.
Kesemua amalan ini tidak demokratik seperti yang didakwa. Tetapi bagi mereka, asalkan parti pembangkang menang dalam pilihanraya dan berlaku regime change, maka itulah bukti demokrasi.
Di Thailand, para pengagum demokrasi menggunakan ukuran ini suatu ketika dahulu. Kononnya telah berlaku democratic reform di Thailand apabila siri tunjuk perasaan di Bangkok berjaya menjatuhkan kerajaan yang memerintah.
Tetapi apabila Thailand terlalu kerap bertukar kerajaan, yang hampir kesemuanya disebabkan oleh siri tunjuk perasaan di Bangkok, para sarjana Barat dengan pantas mengecap Thailand sebagai 'unconsolidated democracy, iaitu demokrasi yang rapuh atau tidak stabil. Dengan kata lain, tiada demokrasi yang sebenar. Perdana Menteri Thailand yang baru, Ying Luck, pun tidak pasti berapa lama kerajaan pimpinannya dapat bertahan.
Hari ini, organisasi-organisasi Barat seperti Amnesty International, Human Rights Watch dan Freedom House, yang kesemuanya berada di bawah telunjuk para neo-cons di Washington, sibuk mengecam Malaysia kononnya kita tidak demokratik. Kononnya, pilihanraya di negara kita tidak adil dan kotor, kerajaan menggunakan kekerasan untuk menghalang kebebasan bersuara dan berhimpun, dan lain-lain cemuhan lagi.
Saya dapat bayangkan, sekiranya Malaysia ditimpa nasib yang sama, atau lebih malang daripada Thailand, mereka ini jugalah yang akan pantas mengecap Malaysia sebagai the "pariah State", iaitu sebuah negara yang haru-biru dan tidak punya keabsahan. Dengan apa yang berlaku sehari dua ini, bibit-bibit ke arah itu nampaknya sudah ada.
Bila gamaknya kita akan berhenti daripada menggunakan ukuran demokrasi yang pincang ini?