Monday, December 6, 2010

Ketuanan Melayu

1. Apakah maksud Ketuanan Melayu? Perkataan tuan lazimnya diberikan kepada orang yang berada pada kedudukan yang tinggi. Justeru, ada yang mentakrif Ketuanan Melayu sebagai Ketuanan Raja-Raja Melayu. Takrifan ini mudah difahami kerana dalam sistem kerajaan Melayu tradisional, Raja berada pada kedudukan yang paling tinggi. Hari ini, Yang di-Pertuan Agong, yang dipilih setiap lima tahun sekali di kalangan sembilan Raja-Raja Melayu, adalah Ketua Negara, iaitu kedudukan tertinggi dalam negara.

2. Walaupun digelar Tuanku atau Yang di-Pertuan, agak kurang tepat untuk menggunakan istilah “ketuanan” kepada Raja. Istilah yang lebih tepat ialah “kedaulatan” atau dalam bahasa Inggeris “sovereignty”. Kamus istilah politik Oxford mentakrifkan “sovereignty” sebagai “the ultimate political authority, subject to no higher power, as regards the making and enforcing of political decisions”. Atau dalam Bahasa Melayu bermaksud “kuasa politik tertinggi, yang tidak tertakluk kepada kuasa yang lebih tinggi, dalam pembuatan dan pelaksanaan keputusan politik”.

3. Maka tepatlah istilah kedaulatan itu digunakan untuk Raja. Dalam sistem pemerintahan kerajaan Melayu tradisional, Raja adalah tonggak kekuasaan di mana kedaulatannya tidak diatasi oleh apa atau sesiapapun. Dalam sistem pemerintahan moden hari ini, Raja adalah Raja Berperlembagaan, di mana kuasa Raja adalah tertakluk kepada Perlembagaan. Konsep kedaulatan juga telah mengalami evolusi, di mana dalam sistem antarabangsa, ianya dirujuk kepada negara. Negara berdaulat (sovereign state) adalah negara yang merdeka, berpemerintahan sendiri (self-government) dan tidak tertakluk kepada kuasa asing.

4. Bolehkah Ketuanan Melayu disamakan dengan Kedaulatan Raja? Tentu sekali tidak. Dalam perbendaharaan sejarah, orang Melayu disebut sebagai “the subject of Malay Rulers”. Subject bermaksud “hamba” atau “rakyat”, bukan tuan.

5. Jadi, apakah maksud Ketuanan Melayu? Ada yang mentakrif Ketuanan Melayu satu i’tiqad atau kepercayaan tentang keunggulan atau keagungan bangsa Melayu yang bercanggah dengan Islam. Orang Melayu itu seperti bangsa Jerman di zaman Hitler yang menganggap bangsa Jermanlah bangsa paling agung dan bangsa-bangsa lain itu hina-dina semuanya.

6. Anggapan seperti ini hanyalah khayalan semata-mata. Orang Melayu rata-ratanya tinggi budi pekerti dan sentiasa merendah diri. Jika orang Melayu mempunyai sifat superiority atau supremacy seperti bangsa Jerman, barangkali sudah berlaku holocaust di Malaysia . Tetapi hal itu tidak terjadi.
7. Malah, penghormatan yang diberikan oleh orang Melayu kepada kaum-kaum lain amat tinggi. Orang Melayu amat senang memanggil Ah Chong dengan panggilan tauke, Samy dipanggil macha, malah pekerja Bangladesh pun dipanggil boss. Jika Ah Chong atau Samy adalah pegawai kerajaan, kedua-duanya dipanggil tuan.

8. Ketuanan Melayu tidak ada hubungan dengan semua ini. Ia bukan bermaksud Kedaulatan Melayu kerana yang berdaulat bukan Melayu, tetapi Raja Melayu. Ia juga bukan bermaksud hubungan tuan dan hamba, di mana orang Melayu adalah tuan dan orang bukan Melayu adalah hamba. Secara realitinya tidak pernah berlaku begitu. Ia juga bukan bermaksud ketaksuban kepada faham keagungan atau keunggulan bangsa. Fahaman ini langsung tidak disokong oleh fakta psikologikal atau empirikal.

9. Jadi apa maknanya Ketuanan Melayu? Baru-baru ini saya ada berbual dengan seorang ahli sejarah. Bagi beliau, ketuanan Melayu itu bermaksud keterasan bangsa Melayu. Budaya Melayu, sistem kerajaan Melayu, agama orang Melayu iaitu Islam, bahasa Melayu, adat Melayu adalah sifat-sifat penentu (definitive characters) Tanah Melayu yang berterusan sehingga ke hari ini.
10. Sistem Kerajaan Melayu sudah wujud di Tanah Melayu lama sebelum kedatangan penjajah Inggeris. Di bawah sistem ini, agama Islam, bahasa Melayu, budaya Melayu dan adat istiadat Melayu mempunyai tempat yang amat tinggi.

11. Penjajahan Inggeris merubah sedikit sebanyak sifat-sifat definitif ini. Sistem birokrasi moden yang dibawa oleh penjajah Inggeris mula menghakis kuasa Raja. Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Raja tidak lagi mempunyai kuasa pemutus kecuali dalam hal-hal berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Malah, dalam hal ehwal agama Islam pun seringkali berlaku kekaburan antara kuasa Raja dan kuasa Residen Inggeris. Misalnya, kutipan zakat. Adakah zakat tergolong dalam hal ehwal Islam yang berada di bawah bidangkuasa Raja, atau hasil negeri yang berada dalam kawalan Residen Inggeris.

12. Pun begitu, apabila Tanah Melayu merdeka, sifat-sifat definitif ini dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan hak-hak keistimewaan Melayu adalah teras Perlembagaan kita.
13. Di samping itu, oleh kerana kaum-kaum lain juga sudah menjadi rakyat negara ini, mereka juga mendapat naungan Raja-Raja Melayu. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mempertanggungjawabkan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan hak-hak yang sah bagi semua kaum, di samping memelihara hak-hak keistimewaan Melayu. Sebagai timbal-balas, orang bukan Melayu juga mesti taat kepada Raja Melayu, seperti yang termaktub dalam Rukunegara.

14. Hari ini, subject of Malay Rulers bukan sahaja orang Melayu, tetapi orang bukan Melayu juga. Malah, darjah-darjah kebesaran yang dahulunya dikhususkan untuk golongan bangsawan Melayu, hari ini turut dianugerahkan kepada orang bukan Melayu. Satu ketika dahulu, seorang kenalan bukan Melayu yang mendapat gelaran Datuk menceritakan kepada saya, betapa bangga beliau berada pada kedudukan yang tinggi dalam sistem kerajaan Melayu. Sedangkan teman-teman Melayu beliau pun tidak berada pada kedudukan itu.

15. Pada saya, Ketuanan Melayu, jika difahami dari sudut Keterasan Melayu yang sebati dengan Islam dan diwarnai dengan budi pekerti yang mulia, akan mewujudkan keadaan yang adil dan harmonis di negara kita.

16. Malangnya, istilah Ketuanan Melayu itu sudah dihantukan (demonize) oleh ramai orang. Wan Azizah bertegas mahu membakul sampahkan Ketuanan Melayu. Apa yang beliau maksudkan dengan Ketuanan Melayu, saya tak tahu. Chua Soi Lek pun lantang berkata Ketuanan Melayu adalah perkataan terlarang (taboo). Apa yang dia tahu tentang Ketuanan Melayu, saya pun tak tahu. Katanya, orang sudah tidak suka dengar perkataan Ketuanan Melayu, distasteful begitu. Oleh itu, tak semena-mena Ketuanan Melayu menjadi perkataan terlarang.

17. Perkara yang ramai orang tak suka dengar tak bermaksud terlarang. Malah, perkara yang ramai orang suka itulah kadang-kadang dilarang.

4 comments:

  1. Khairil Anuar RamliDecember 13, 2010 at 6:33 AM

    Satu makalah yang bukan sahaja menarik, bahkan juga banyak menjernihkan kekeruhan akibat pandangan/pendirian/pemikiran yang keliru.

    Moga-moga sdr Dr Marzuki terus berperanan menjelaskan suasana dan mentakrif keadaan.

    Makalah-makalah sebeginilah yang kita nantikan dari para intelligentsia kita.

    Jangan dibaurkan dengan kecenderungan siasah. Kita mahu penjelasan seadanya - biarpun pahit, tetapi perlu benar!

    ReplyDelete
  2. "Malangnya, istilah Ketuanan Melayu itu sudah dihantukan (demonize) oleh ramai orang. Wan Azizah bertegas mahu membakul sampahkan Ketuanan Melayu. Apa yang beliau maksudkan dengan Ketuanan Melayu, saya tak tahu. Chua Soi Lek pun lantang berkata Ketuanan Melayu adalah perkataan terlarang (taboo). Apa yang dia tahu tentang Ketuanan Melayu, saya pun tak tahu. Katanya, orang sudah tidak suka dengar perkataan Ketuanan Melayu, distasteful begitu. Oleh itu, tak semena-mena Ketuanan Melayu menjadi perkataan terlarang."...saya amat tertarik dengan kenyataan tuan doktor (Ph.D) tetapi kenapa hanya quote DWA dan CSL sahaja...kenapa tuan tidak quote pemimpin UMNO dan PERKASA juga...dan saya hendak bertanya dengan tuan, memandangkan tuan menyebut "Ketuanan Melayu itu sudah dihantukan (demonize) oleh ramai orang", apakah mungkin yang turut menghantukan "Ketuanan Melayu" juga adalah tuan besar kepada tuan atau lebih tepat lagi tuan politik (political master) tuan?

    ReplyDelete
  3. Sdr. Ananymous. Saya sebut apa yang disebut oleh DS Wan Azizah. Tak ada kaitan dengan orang lain. Political Master? Pun tak ada kaitan. Saya menulis berdasarkan pemerhatian dan prinsip saya sendiri. Tkasih.

    ReplyDelete
  4. menarik tulisan tuan, mungkin elok diperincikan konsep tuan sebagai pemilik. Contohnya tuan tanah, sebagai pemilik tanah. Pemilik atau pemunya, atau dalam bahasa Inggeris disebut "Owner". Jadinya Tanah Melayu dapat diertikan sebagai pemilik atau Owner kepada tanah melayu ini. Namun tuan tanah ada kemungkinan akan lalai atau akan lemah jika tidak mengamalkan prinsip2 dan nilai2 mulia. Tuan tanah juga mungkin akan menggadaikan apa yang dimilikinya termasuk tanah atau apa2 harta yg mereka miliki termasuk bahasa atau budaya melayu.

    ReplyDelete