Thursday, October 30, 2008

Kontrak Persefahaman

Berikut ialah tulisan saya mengenai Kontrak Sosial yang disiarkan di Utusan Malaysia hari ini 31 Oktober 2008.
John Locke, Thomas Hobbes dan Jean Jaque Rousseau merupakan antara pelopor teori kontrak sosial dalam tradisi pemikiran politik Barat. Walaupun tidak lebih daripada satu fiksyen sejarah, teori kontrak sosial menjadi asas falsafah kepada pembentukan masyarakat dan negara moden.
Kekuatan teori ini terletak pada andaian bahawa wujud satu persefahaman antara individu dalam masyarakat untuk hidup bersama secara aman dan menghormati hak masing-masing.
Mutakhir ini, kontrak sosial merupakan topik yang semakin hangat diperdebatkan di Malaysia. Baru-baru ini, Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan khusus mengingatkan rakyat agar tidak mempersoalkan kontrak sosial.
Kontrak sosial yang dimaksudkan merujuk kepada kompromi politik yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin kaum di Malaysia ketika negara mencapai kemerdekaan lima dekad yang lalu. 'Kontrak' ini merangkumi persetujuan mengenai hak-hak keistimewaan Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai Agama Persekutuan dan hak-hak yang sah bagi kaum-kaum bukan Melayu, termasuklah hak kerakyatan yang merangkumi hak-hak politik, ekonomi, budaya dan agama.
Kontrak sosial Malaysia ini sama saja tujuannya dengan kontrak sosial Barat. Ia menyediakan asas falsafah kepada pembentukan sebuah masyarakat dan negara yang aman. Namun, kontrak sosial Malaysia berbeza dengan kontrak sosial Barat dalam dua aspek utama.
Pertama, ia bukanlah satu fiksyen sejarah. Persetujuan ini benar-benar dicapai oleh pemimpin-pemimpin kaum di Malaysia sebelum merdeka dan terma-termanya termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kedua, kontrak sosial Malaysia tidak menyempitkan ruang lingkup konsep kepada hak individu semata-mata. Ia sebaliknya mengiktiraf konsep hak yang turut merangkumi hak-hak kaum. Malah, hak-hak kaum menjadi asas kepada kontrak sosial Malaysia.
Pengkritik kontrak sosial Malaysia menolak konsep hak berasaskan kaum. Bagi mereka pengiktirafan terhadap hak kaum, lebih-lebih lagi hak keistimewaan bagi satu kaum sahaja, merupakan satu langkah ke belakang dalam proses pembentukan negara demokrasi tulen.
Dalam sebuah negara demokrasi, mereka berhujah, tidak ada hak yang lebih tinggi daripada hak individu dan semua individu harus dilayan secara sama rata.
Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman bersama Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan yang terlibat secara langsung dalam pembikinan kontrak sosial adalah para demokrat tulen. Tetapi mereka berhadapan dengan hakikat politik masyarakat majmuk Malaysia pasca merdeka yang tidak memungkinkan idealisme demokrasi, dengan konsep hak dan kebebasannya yang muluk-muluk, dijelmakan secara total.
Ketika perbezaan ras dan agama masih menebal, mereka mengambil tindakan pragmatik dengan menjadikan pemeliharaan hak-hak kaum, bukannya hak-hak individu semata-mata, sebagai asas persefahaman antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Pragmatik
Tindakan pragmatik ini dibuktikan dengan penolakan mereka terhadap saranan-saranan 'ideal' Suruhanjaya Reid yang menetapkan had 15 tahun perlindungan Perlembagaan terhadap hak keistimewaan Melayu (selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, hak keistimewaan ini turut diberikan kepada kaum pribumi Sabah dan Sarawak).
Atas semangat kompromi politik antara kaum, pemimpin-pemimpin kaum tetap dengan pendirian asal mereka mengenai hak-hak keistimewaan Melayu, hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain, kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai Agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.
Dengan penegasan ini, kontrak sosial Malaysia berjaya disepakati oleh mereka. Kontrak ini telah memberikan hak yang baru kepada masyarakat bukan pribumi. Yang dimaksudkan dengan 'hak baru' ini ialah hak kerakyatan yang terangkum segala hak-hak politik, ekonomi, budaya dan agama.
Hak kerakyatan ini merupakan satu hak yang tidak ada tolok bandingnya. Dengan sekelip mata, masyarakat yang dahulunya tiada apa-apa hak di Tanah Melayu, mempunyai hak-hak asasi sebagai rakyat dalam sebuah negara yang merdeka.
Dengan menerima konsep kerakyatan yang sama bagi semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, kontrak sosial tidak mengkelaskan mana-mana kaum sebagai rakyat 'kelas pertama' atau 'kelas kedua.'
Bagi kaum Melayu pula, mereka diberi jaminan bahawa hak-hak yang telah mereka nikmati selama ini, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian-perjanjian antara Raja-Raja Melayu dengan penjajah Inggeris sebelumnya, tidak akan terjejas dengan pemberian hak-hak baru kepada kaum bukan Melayu. Dengan erti kata lain, status quo kaum Melayu sebagai masyarakat pribumi di negara ini akan terus terpelihara.
Tunku Abdul Rahman menyimpulkan formula kompromi politik antara kaum yang menjadi asas kepada kontrak sosial Malaysia dalam ucapannya di Majlis Perwakilan Persekutuan dalam bulan Julai 1957 seperti berikut:
"Satu formula telah dipersetujui di mana dalam mempertimbangkan hak-hak pelbagai orang di negara ini, tiada cubaan harus dibuat untuk mengurangkan hak- hak yang telah mereka nikmati pada masa lalu. Hasilnya, anda dapati termaktub dalam Perlembagaan hak-hak pelbagai orang yang telah mereka nikmati pada masa lalu dan hak-hak baru, yang sebenarnya diberikan kepada orang-orang baru yang menjadi niat kita untuk memenangi hati mereka dan merangkul mereka ke dalam Bangsa Malaya. Saya merujuk kepada hak-hak kerakyatan. Ia merupakan satu hak yang telah menimbulkan kebimbangan yang besar di kalangan orang Melayu. Walau bagaimanapun, oleh kerana hasrat mereka untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai negara yang merdeka, mereka bersedia untuk memberikan hak tersebut kepada orang-orang baru."
Dalam konteks ini, kontrak sosial Malaysia merupakan persefahaman yang bersifat 'win-win'. Mempertahankan kontrak sosial bukan bermaksud mempertahankan hak kaum Melayu/bumiputera sahaja, tetapi juga hak kaum-kaum bukan Melayu sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Memahami kontrak sosial dalam semangatnya yang benar tentu sekali memberi kekuatan kepada masyarakat pelbagai kaum untuk memperkukuhkan perpaduan.
Lebih penting lagi, kontrak sosial berasaskan persefahaman kaum ini merupakan idea asas pembentukan negara Malaysia merdeka. Terma-termanya bukanlah sesuatu yang boleh dirungkai sesuka hati. Merungkai kontrak sosial tentunya akan membuka semula pandora's box debat hubungan kaum dan pembentukan negara yang merupakan satu langkah ke belakang.

Tuesday, October 21, 2008

Masa Perkukuh UMNO, BN

Berikut adalah tulisan saya mengenai pemilihan UMNO 2009 yang disiarkan di Utusan Malaysia hari ini 21 Oktober 2008.
Selain memilih pemimpin di peringkat bahagian, mesyuarat bahagian UMNO yang sedang berlangsung pada Oktober dan November ini penting kerana para perwakilan akan turut menamakan calon-calon bagi jawatan tertinggi parti dalam pemilihan pada Mac tahun depan. Lebih penting lagi, barisan kepimpinan tertinggi UMNO yang bakal dipilih akan turut membarisi kepimpinan tertinggi negara ekoran pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden.
Tidak hairanlah, pertandingan bagi jawatan-jawatan utama parti menjadi tumpuan. Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, yang mana penjawatnya secara tradisi dilantik sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, merupakan antara kerusi paling diperhatikan. Sekiranya berlaku pertandingan bagi kedua-dua jawatan ini, pemilihan kali ini merupakan yang pertama sejak 1987 yang menyaksikan pertandingan bagi kedua-dua jawatan tertinggi tersebut.
Jika pemilihan 1987 menyaksikan UMNO diharamkan dan ahli-ahli parti berpecah dua, pemilihan kali ini seharusnya menjadi medan terbaik bagi ahli-ahli UMNO untuk memperkukuhkan semula UMNO dan Barisan Nasional yang buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya sejak 1969 kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Barisan kepimpinan UMNO yang bakal dipilih mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengepalai usaha mengembalikan semula keyakinan rakyat pelbagai kaum di negara ini terhadap UMNO dan BN.
Untuk itu, sewajarnyalah para pemimpin dan perwakilan UMNO melakukan semakan realiti tentang persepsi dan harapan rakyat terhadap UMNO dan BN.
Satu kajian pasca pilihan raya yang dilakukan oleh Merdeka Center for Opinion Research dalam bulan Julai lalu menunjukkan majoriti rakyat masih meyakini BN sebagai platform terbaik untuk memupuk kerjasama antara kaum (55 peratus), mengekalkan kestabilan politik (67 peratus) dan membawa kemakmuran ekonomi (54 peratus). Kira-kira 55 peratus responden juga merasakan BN mewakili suara semua kaum dan 51 peratus berpandangan amalan dalam BN adalah demokratik.
Namun demikian, wujud dikotomi persepsi antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu. Hampir dua pertiga responden Melayu mempunyai pandangan positif terhadap BN, manakala majoriti responden bukan Melayu pula berpandangan sebaliknya.
Menguntungkan
Pandangan negatif responden bukan Melayu, sebahagian besarnya disebabkan oleh persepsi mereka bahawa dasar-dasar BN seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) hanya menguntungkan orang Melayu. Dalam hubungan ini, kajian tersebut mendapati 71 peratus responden bukan Melayu merasakan bahawa mereka didiskriminasi oleh kerajaan.
Sementara itu, 67 peratus responden Melayu pula merasakan bahawa DEB merupakan lambang hak keistimewaan Melayu yang perlu dikekalkan.
Kewujudan dikotomi ini bukanlah sesuatu yang baru. Dalam sebuah masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, cabaran utama para pemimpin negara ialah untuk mengimbangi kepentingan kaum yang berbeza. Peranan ini telah dimainkan oleh BN dan Perikatan sebelumnya. Sepanjang 53 tahun memerintah (termasuk dua tahun sebelum merdeka), formula Perikatan/BN telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan kaum.
Selain tragedi 13 Mei, perbalahan kaum dan agama bukanlah suatu yang lumrah di Malaysia.
Ini berbeza dengan hubungan kaum di negara-negara rantau Asia Pasifik lain yang mempunyai demografi dan sejarah kolonial yang hampir sama dengan Malaysia. Di Sri Lanka dan Fiji perbalahan kaum telah menyebabkan pertumpahan darah, rampasan kuasa dan ketidakstabilan politik yang berlarutan. Di negara jiran Indonesia, perbalahan agama dan etnik memuncak ketika negara itu sedang bergelut dengan krisis ekonomi dan politik pasca pemerintahan rejim Orde Baru.
Walaupun BN mempunyai rekod yang baik dalam mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan kaum, punca kemerosotan pengaruh BN dalam pilihan raya umum Mac lalu, terutamanya di kalangan pengundi bukan Melayu perlu diteliti.
Mungkin peningkatan taraf hidup rakyat, kemajuan dalam bidang pendidikan dan revolusi teknologi maklumat telah mempengaruhi nilai-nilai politik masyarakat.
Sementara majoriti rakyat memperakui kejayaan BN dalam mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian kaum, mereka juga semakin menitikberatkan soal tadbir urus negara, penyampaian awam dan kesaksamaan. Rakyat mahukan pemimpin yang boleh diterima oleh semua kaum, cekap mengurus ekonomi dan telus dalam mentadbir negara.
Dalam konteks inilah para perwakilan UMNO yang bersidang pada bulan Oktober dan November ini perlu menilai ciri-ciri kepimpinan yang ada pada setiap individu yang ingin dicalonkan bagi jawatan-jawatan penting dalam parti.
Mereka perlu mempunyai ciri-ciri yang menepati aspirasi orang Melayu serta rakyat pelbagai kaum di negara ini. Perlu diingat bahawa formula pemilihan pada kali ini seharusnya tidak sama dengan pemilihan-pemilihan yang lalu. Asas perkiraan bukan semata-mata percaturan untung rugi politik dalaman UMNO, tetapi survival UMNO dan Barisan Nasional sebagai parti yang memerintah.
Hal ini telah pun diakui oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyarankan agar diwujudkan keahlian langsung BN untuk menarik minat rakyat pelbagai kaum menyertai BN. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berulang kali mengingatkan ahli-ahli UMNO agar berusaha untuk memperkukuhkan BN sebagi parti yang mendapat dokongan rakyat pelbagai kaum.
Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menegaskan bahawa UMNO mesti memiliki pemimpin yang dihormati dan boleh diterima oleh kaum-kaum lain. Bagi Muhyiddin, tidak ada maknanya pemimpin UMNO mendapat sokongan padu ahli-ahli, tetapi parti itu kalah dalam pilihan raya.
Sokongan mereka yang berada di luar UMNO juga penting untuk memastikan kemenenangan parti. ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi juga menyebut hal yang sama ketika mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi.
Sebagai parti Melayu, UMNO terus mendapat kepercayaan orang Melayu. Dalam kajian sama yang dilakukan oleh Merdeka Center, 70 peratus responden Melayu mengakui bahawa UMNO telah berjaya melindungi kepentingan Melayu, memartabatkan Islam (67 peratus) dan membawa pembangunan ekonomi kepada rakyat (72 peratus). Perjuangan Melayu/Islam akan terus sinonim dengan UMNO.
Sebagai parti teras BN pula, tugas penting UMNO sebelum pilihan raya umum ke-13 adalah untuk memimpin usaha mengembalikan semula sokongan padu rakyat pelbagai kaum kepada BN. Bagi para perwakilan UMNO ke mesyuarat bahagian, tugas ini sudah pun bermula.

Monday, October 20, 2008

Quo Vadis MCA?

Pemilihan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, yang dikaitkan dengan video seks, sebagai Timbalan Presiden MCA tidaklah menghairankan saya. Ini kerana bagi sebahagian masyarakat Cina, nilai moral dan politik adalah dua perkara yang berbeza.

Yang lebih menarik perhatian saya ialah ke manakah haluan MCA selepas ini?

Kecenderungan Presiden baru MCA, Datuk Seri Ong Tee keat, ialah untuk menjadikan parti itu lebih ”vokal” dalam menyuarakan desakan kaum Cina. Gendang sudahpun dipalu dan MCA sudah pun mengorak langkah ke arah itu.

Dua hari sebelum pemilihan parti, bekas Ketua Pemuda MCA (sekarang Naib Presiden) mencadangkan agar diwujudkan jawatan Timbalan Pengerusi BN yang dikhususkan kepada MCA. Di hari perasmian Perhimpunan Agung MCA, bekas Presiden parti itu, Datuk Seri Ong Ka Ting pula mengkritik UMNO secara terbuka dengan mendakwa parti Melayu itu sebagai terlalu dominan dalam BN.

Senarai resolusi parti itu (termasuk resolusi sayap pemuda) juga menampakkan cubaan MCA untuk menunjukkan ”taringnya”. Antaranya ialah:

  • Menyemak semula Akta Keselamatan Dalam Negeri.
  • Menghapuskan Akta Penyelarasan Industri 1975 (Akta ini merupakan antara instrumen penting Dasar Ekonomi Baru).
  • Menambah bantuan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina.
  • Menjadikan sekolah persendirian Cina sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.
  • Mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Kehakiman.

Sekali imbas, kritikan, saranan dan resolusi MCA kali ini tidak jauh bezanya dengan apa yang diperjuangkan oleh DAP. Apakah parti pengasas Perikatan ini berhajat untuk menjadi ”pembangkang” dalam BN selepas merasakan bahawa pendekatan politik akomodasi menyebabkan parti itu dilihat kehilangan taring oleh masyarakat Cina?

Pendekatan MCA ini belum tentu dapat menarik kembali sokongan kaum Cina kepada parti itu, tetapi mungkin menghakis sokongan sebahagian besar pengundi Melayu. Secara anggaran, berdasarkan keputusan pilihanraya umum 2008 dan beberapa kajian pasca-pilihanraya, tahap sokongan masyarakat Cina terhadap MCA adalah kurang 30 peratus. Calon-calon MCA kalah di semua kawasan majoriti besar Cina. Kesemua 15 kerusi parlimen yang dimenangi oleh calon-calon MCA ialah di kawasan majoriti kecil pengundi Cina.

Ini menunjukkan calon-calon MCA bergantung kepada sokongan pengundi bukan Cina, terutamanya pengundi Melayu, untuk menang. Sekiranya MCA mengambil pendekatan agresif dengan membelakangkan pendekatan politik akomodasi dalam BN, sebahagian pengundi Cina mungkin melihat ”taring” MCA, tetapi pengundi Melayu akan melihat ”belang” parti itu.

Bagi pengundi Cina pula, mereka mungkin menganggap desakan MCA kurang ”umph” jika dibandingkan dengan DAP. Apalah sangat jawatan Timbalan Pengerusi BN jika dibandingkan jawatan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat memerintah. Apatah lagi sekiranya tuntutan MCA tidak dilayan oleh UMNO.

Dalam konteks politik "outbidding" ini (iaitu perlumbaan untuk menunjukkan parti mana lebih vokal dalam memperjuangkan kepentingan kaum Cina), MCA mungkin akan memberikan lebih banyak tekanan terhadap UMNO. Sebagai parti yang terbesar dalam BN, tidak mudah untuk UMNO "mengalah" kepada MCA lebih-lebih lagi sekiranya tekanan-tekanan itu mengaitkan perkara-perkara dasar yang melibatkan kepentingan Melayu. UMNO mungkin akan mempertahankan persefahaman minima dalam Kontrak Sosial untuk memastikan kelangsungan BN, tetapi persefahaman minima itu mungkin tidak lagi menarik bagi MCA. Keadaan ini hanya akan menambahkan retak dalam BN.

MCA mungkin akan menjaringkan lebih banyak gol sendiri (juga gol BN) dengan pendekatan barunya ini. Quo vadis MCA? Quo vadis BN?

Sunday, October 12, 2008

Do Malays Want NEP to End?

Shannon Teoh, in an article posted in The Malaysian Insider on October 9, quoted a poll by Merdeka Center for Opinion Research which suggests that a majority of Malaysians wants NEP to end. The poll found that seventy-one percent of Malaysians surveyed agree with the statement that Barisan Nasional's "race-based affirmative action policy is obsolete and must be replaced with a merit-based policy". The poll conducted between June 18 and July 29, involving about 3,600 respondents nationwide, shows that 65 per cent of Malays agreed with the statement, compared with 83 per cent of Chinese and 89 per cent of Indian respondents. Based on the finding, Shanon concluded that “a majority of Malaysians are now ready to do away with NEP-type policies”.

Shannon might be correct in making such a conclusion. But as one of the researchers who involved in the survey, I would like to point out some “nuances” captured by the survey as far as the Malay attitude toward the New Economic Policy (NEP) is concerned.

The finding quoted by Shanon is based on the respondents’ answer to a “generic” question. To be sure, out of 65 percent of Malays who “agreed” to do away with race-based affirmative action policy, 40 percent said they “strongly agree” while 25 percent said they “somewhat agree”. 19 percent said they "strongly disagree". To further probe the Malays’ real attitude toward race-based policy such as the NEP, we did ask specific questions about the NEP itself. Not surprisingly, the survey found that 58 percent of Malay respondents believe that NEP is a symbol of Malay privilege and 67 percent said that “the Malays need all the help that they can get to move ahead so programs like the NEP should be welcomed”. It seems the same Malays who agreed with the doing away of the race-based affirmative action policy wanted the NEP to continue. Why the Malay respondents reacted differently to the “generic” and the “specific” questions is difficult to explain.

But like their non-Malay counterparts, significant numbers of Malay respondents too are not satisfied with the NEP. The reasons for their dissatisfaction might be poles apart. 42 percent of the Malay respondents said that “programs like the NEP typically benefit ordinary Malays” while 47 percent said “they generally benefit the rich and politically connected individuals”. This might provide us with some clues to the Malays’ ambivalent attitude toward a race-based affirmative action policy like the NEP. Should a majority of Malays perceives the NEP as typically benefiting ordinary Malays, they might have come up with more coherent answers to both the generic and the specific questions.