Wednesday, November 19, 2008

Nilai dan Kepimpinan Politik Melayu

Berikut ialah kertas kerja bertajuk "Nilai dan Kepimpinan Politik Melayu" yang dibentangkan di Seminar Kepimpinan Melayu anjuran Universiti Teknologi MARA pada 19 November 2008 bertempat di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur.
Nilai dan Kepimpinan Politik Melayu*

Marzuki Mohamad[1]
Ibrahim Suffian[2]

Kertas ini mengkaji nilai dan kepimpinan politik Melayu berdasarkan dapatan kajian kuntitatif dan kualitatif yang dilaksanakan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak antara bulan Julai - Ogos 2008. Dapatan-dapatan kajian ini menunjukkan bahawa, walaupun dikotomi kaum dalam menyatakan sokongan politik masih wujud, di mana lebih ramai responden Melayu menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) berbanding responden bukan Melayu, rata-rata responden menunjukkan sikap yang positif terhadap nilai-nilai politik yang lebih demokratik seperti mementingkan persaingan yang sihat antara parti-parti politik, pilihanraya yang bebas, keterbukaan media, penyertaan awam dalam proses pembuatan keputusan, hak-hak asasi manusia dan tadbir urus negara yang baik. Walaupun kajian ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu menghargai nilai-nilai politik demokrasi, mereka masih berpegang kuat kepada nilai-nilai agama dan tradisi termasuklah memperakui peranan penting agama dalam sistem politik dan undang-undang negara.
Kajian ini melibatkan kombinasi kajian kualitatif dan kuantitatif. Kajian kualititif melibatkan wawancara bersemuka dengan pemimpin-pemimpin politik Melayu dan bukan Melayu dan diskusi kumpulan terfokus dengan pemimpin-pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan. Kajian kuantitatif pula dilaksanakan melalui temubual telefon melibatkan 3,647 orang responden berumur 21 tahun ke atas di seluruh Malaysia. Daripada jumlah ini, responden Melayu berjumlah 1,779, Cina (1,141), India (305) dan Bumiputera Sabah dan Sarawak (422). Kajian ini dilaksanakan oleh Merdeka Center for Opinion Research dengan kerjasama para penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Politik Kaum dan Nilai Demokrasi

Nilai-nilai yang dominan dalam masyarakat disalur dan dipupuk melalui proses sosialisasi politik yang melibatkan peranan institusi-institusi negara dan masyarakat sivil. Nilai-nilai ini kemudiannya membentuk satu budaya politik yang menentukan orientasi politik dalam sesebuah negara. Menurut Gabriel Almond dan Sidney Verba, terdapat dua jenis budaya politik utama iaitu budaya berpartisipasi (participant culture) yang dikaitkan dengan sistem demokrasi dan budaya kepatuhan (subject culture) yang dikaitkan dengan sistem autoritarian.[3]
Sistem politik di Malaysia seringkali dikatakan bersifat semi-demokratik atau semi-autoritarian, iaitu satu keadaan di mana prinsip-prinsip demokrasi diamalkan secara terhad dengan mengambilkira konteks realiti sosio-politik setempat, terutamanya yang berkait dengan hubungan kaum. Kewujudan kaum-kaum yang berbeza serta potensi wujudnya konflik antara kaum telah menjadi asas kepada amalan demokrasi terhad di negara ini.[4]
Dalam konteks ini, walaupun pilihanraya diadakan secara berkala, kebebasan sivil dan politik seringkali dilihat berada pada tahap yang sederhana, dengan negara tidak teragak-agak untuk menggunakan kuasa represif bagi mengawal keharmonian kaum dan kestabilan politik. Dalam konteks politik pilihanraya pula, gabungan parti pemerintah Barisan Nasional (BN), yang ditunjangi oleh UMNO, memiliki kelebihan berbanding parti-parti politik lain. Budaya politik pembangunan (developmentalism), yang mementingkan pembangunan ekonomi dan kestabilan politik, dilihat menjadi asas keabsahan politik BN.[5]
Sementelahan pula, sepanjang lebih lima dekad memerintah, BN telah menunjukkan rekod yang baik dalam membawa pembangunan ekonomi dan kestabilan politik kepada negara.
Namun begitu, model politik pembangunan ini semakin dicabar oleh kemunculan nilai-nilai politik yang lebih demokratik sejajar dengan peningkatan tahap pendidikan, perbandaran dan status ekonomi masyarakat. Sementara itu, pergeseran politik antara kelompok elit, terutamanya dalam UMNO, telah membuka ruang-ruang pertandingan politik pilihanraya yang lebih sengit antara BN dan parti-parti pembangkang.
Ini dibuktikan umpamanya dalam pilihanraya umum 1990 dan 1999 di mana krisis politik dalaman UMNO (krisis Mahathir-Razaleigh pada tahun 1987 dan krisis Mahathir-Anwar pada tahun 1998) telah meningkatkan tahap persaingan politik antara BN dan pembangkang.
Dalam kedua-dua pilihanraya ini, bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menubuhkan parti masing-masing dan bergabung tenaga dengan parti-parti pembangkang untuk mencabar penguasaan politik BN.
Lanskap Politik Melayu
Sejajar dengan peningkatan tahap persaingan politik dan sikap positif masyarakat terhadap nilai dan amalan demokrasi, lanskap politik Melayu juga semakin menunjukkan perubahan. Persaingan politik antara parti-parti Melayu/Islam turut dicorakkan oleh pertandingan menunjukkan parti mana yang lebih cocok dengan nilai dan amalan demokrasi, serta realiti masyarakat pelbagai kaum, bukan lagi semata-mata parti mana yang “lebih Melayu” atau “lebih Islam”.
Ini berbeza sekali dengan persaingan “ideologi” dan “simbol” antara parti-parti Melayu/Islam dalam dekad-dekad 70-an dan 80-an untuk lebih memaparkan identiti Melayu/Islam bagi meraih sokongan pengundi-pengundi majoriti Melayu.[6]
Sejak era Reformasi 1998, yang bermula selepas pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, parti-parti politik pembangkang yang dipisahkan samada secara ideologi ataupun identiti kaum dan agama telah mula mencari satu platform yang sama untuk mencabar Barisan Nasional.
Pelunturan politik identiti kaum dan agama, dan penegasan terhadap nilai-nilai demokrasi, menjadi prasyarat utama kepada usaha ini. Penubuhan Barisan Alternatif untuk menghadapi pilihanraya umum 1999 merupakan salah satu usaha penting ke arah pembinaan upaya politik pakatan (coalition building) yang bersifat rentas kaum dan ideologi di kalangan parti-parti pembangkang.[7]
Namun begitu, pada awal era Reformasi, parti-parti pembangkang masih gagal mendapat sokongan rentas kaum. Dalam pilihanraya umum 1999 umpamanya kemenangan PAS di 27 kawasan majoriti besar Melayu dan kekalahan PKR/DAP di kawasan majoriti kecil Melayu dan campuran menandakan tidak berlaku peralihan undi rentas kaum yang signifikan kepada parti pembangkang.
Penyemaian Nilai Demokrasi
Walau bagaimanapun, proses penyemaian nilai politik demokrasi dan rentas kaum terus berlaku melalui aktiviti institusi masyarakat sivil, parti-parti politik dan media baru. Di samping itu, sikap lebih terbuka kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap kebebasan akhbar dan kebebabsan bersuara telah membuka ruang yang lebih luas kepada penyemaian nilai-nilai politik demokrasi di negara ini.
Pilihanraya Umum 2004 menyaksikan bagaimana nilai-nilai politik demokrasi dan rentas kaum mula mempengaruhi wacana politik Malaysia secara lebih signifikan. Dalam kempennya, Abdullah menekankan elemen kepelbagaian kaum dan demokrasi. Beliau menonjolkan dirinya sebagai pemimpin semua kaum dan kerajaan BN sebagai kerajaan yang demokratik, telus, amanah dan komited untuk melaksanakan penambahbaikan dalam penyampaian awam, perang terhadap rasuah dan memperbaiki hubungan kaum dan agama.
Sementara itu, parti-parti politik pembangkang yang telah mengalami kemerosotan undi Melayu dalam PRU 2004 mencari kaedah baru untuk menarik sokongan rentas kaum. Ini termasuklah mewujudkan jaringan yang lebih erat dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan terutama sekali pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia. Pertubuhan-pertubuhan ini memainkan peranan ”membida” kerajaan dalam isu-isu berkaitan hak asasi manusia, ketelusan kerajaan dan kesaksamaan hak antara kaum.
Kerajaan pimpinan Abdullah ditonjolkan sebagai kerajaan yang lemah, tidak berupaya melakukan perubahan sebagaimana yang diharapkan dan masih memihak kepada kaum Melayu. Parti-parti pembangkang menyambut ”bidaan” ini dengan turut serta dalam protes-protes umum seperti ”Himpunan Bersih”[8] dan menyatakan sokongan terhadap kumpulan Hindraf.[9]
Pembidaan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang disambut oleh parti-parti pembangkang dan kegawatan ekonomi yang disebabkan oleh kenaikan mendadak harga minyak sejak 2007 telah menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat pelbagai kaum terutamanya kaum bukan Melayu.
Siri pungutan suara yang dijalankan oleh Merdeka Center for Opinion Research sepanjang tahun 2007 dan awal 2008 menunjukkan populariti kerajaan adalah rendah terutama sekali di kalangan masyarakat bukan Melayu. Dalam pungutan suara yang dilakukan pada bulan November 2007, tahap kepuasan hati pengundi India kepada kerajaan berada pada tahap 44%, pengundi Cina 54% dan pengundi Melayu 71%.
Populariti kerajaan jauh lebih rendah berbanding pada bulan November 2005 di mana tahap kepuasan hati pengundi India berada pada 85%, pengundi Cina 65% dan pengundi Melayu 75%. Kenaikan harga minyak dan persepsi mengenai layanan kaum dilihat mempengaruhi sikap ini.
Dalam situasi inilah parti-parti pembangkang dan institusi-institusi pro-pembangkang giat mengkritik kerajaan dan mempopularkan politik ”bukan perkauman” yang menjanjikan layanan sama rata kepada semua rakyat tanpa mengira perbezaan kaum.
Dasar Ekonomi Baru
Antara dasar kerajaan yang paling mendapat kritikan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan membasmi kemiskinan. Walaupun dasar yang diperkenalkan pada tahun 1971 ini telah berjaya membantu orang Melayu/Bumiputera meningkatkan taraf ekonomi mereka, masalah ketirisan dalam pelaksanaan DEB telah menimbulkan banyak tanda tanya tentang keberkesanannya.
Dalam konteks ini, kritikan pembangkang terhadap Dasar Ekonomi Baru merupakan serampang dua mata. Bagi orang Melayu, dasar ini digambarkan sebagai hanya memberi manfaat kepada golongan elit politik dan perniagaan, manakala bagi orang bukan Melayu, DEB sudah sekian lama dianggap sebagai satu dasar yang mendiskriminasi mereka.
Sementara itu, penggunaan kuasa represif negara seperti penahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, walaupun atas dasar menjaga keselamatan negara, dilihat sebagai amalan paling tidak demokratik yang menjejaskan keabsahan politik parti pemerintah, terutamanya UMNO.[10]
Faktor-faktor ini yang digabungkan dengan keresahan rakyat dalam menempuhi bahang kenaikan harga minyak dan persepsi mengenai amalan rasuah dalam kerajaan menghasilkan tsunami politik yang hampir-hampir menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum 2008.
Pilihanraya Umum 2008
Pilihanraya Umum 2008 memperlihatkan nilai dan amalan semi-demokratik sedang dicabar oleh kemunculan budaya politik berpartisipasi (participant culture) dalam masyarakat. BN buat kali pertama selepas pilihanraya umum 1969 kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan penguasaan di lima buah negeri di Semenanjung Malaysia.
Walaupun secara keseluruhannya UMNO masih menguasai majoriti kerusi parlimen di kawasan-kawasan majoriti Melayu, keupayaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menguasai 56 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu dan campuran menunjukkan perubahan persepsi masyarakat terhadap persaingan politik di kalangan parti-parti berasaskan Melayu.
Tidak dinafikan bahawa UMNO kekal sebagai parti yang menjadikan kepentingan bangsa Melayu dan Islam sebagai asas perjuangan, tetapi perkembangan ini juga menunjukkan bahawa persaingan politik antara parti-parti berasaskan Melayu semakin meningkat, dengan UMNO menghadapi persaingan yang lebih sengit untuk kekal sebagai satu-satunya parti yang mendapat dokongan padu masyarakat Melayu.
Nilai Politik Masyarakat Melayu

Peningkatan pengaruh parti-parti pembangkang berasaskan Melayu menunjukkan masyarakat Melayu sendiri menghargai amalan pilihanraya yang kompetitif yang merupakan salah satu elemen penting demokrasi. Di samping itu, sepertimana yang ditunjukkan dalam hasil kajian yang dijalankan, sebahagian yang signifikan daripada masyarakat Melayu mempunyai sikap yang positif terhadap nilai-nilai demokrasi yang bersifat substantif seperti pilihanraya yang bebas dan adil, penghormatan terhadap hak asasi manusia, kebebasan media dan kesaksamaan hak. Berikut adalah ringkasan dapatan-dapatan kajian:
  • Majoriti responden Melayu (70%) mahukan pilihanraya yang bebas dan adil diadakan walaupun kerajaan yang memerintah mampu menyediakan pembangunan ekonomi dan menjamin kestabilan politik. Hanya 13% bersetuju dengan kenyataan bahawa mereka boleh mengabaikan pilihanraya jika kerajaan yang memerintah mampu membawa pembangunan ekonomi dan menjamin kestabilan politik.

  • Hanya 24% mengatakan bahawa mereka akan terus menyokong kerajaan walaupun mereka tidak bersetuju dengan dasar-dasar kerajaan. 73% mengatakan sebaliknya.

  • Hanya 26% mempercayai berita-berita yang disiarkan di media arus perdana, manakala 45% tidak mempercayainya.

  • 69% tidak bersetuju dengan penahanan tanpa bicara. Hanya 16% bersetuju dengan kenyataan bahawa penahanan tanpa bicara perlu untuk menjaga keselamatan negara.

  • 42% responden mengatakan bahawa masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu diberikan hak yang sama, manakala 56% berpandangan bahawa orang Melayu sebagai penduduk pribumi perlu diberikan layanan istimewa.[11]

  • 67% responden mengatakan untuk jangkamasa panjang orang Melayu masih memerlukan Dasar Ekonomi Baru (DEB), manakala 26% berpandangan bahawa DEB tidak membantu orang Melayu untuk maju.

  • 48% responden berpandangan DEB hanya menguntungkan golongan kaya, sementara 41% berpendapat DEB menguntungkan orang Melayu seluruhnya.

  • 61% responden mengatakan bahawa keputusan penting negara perlu dibuat secara kolektif mewakili pandangan semua kaum, manakala hanya 35% berpendapat bahawa pemimpin Melayu mesti mempunyai kata akhir dalam proses pembuatan keputusan.

  • 95% bersetuju memerangi rasuah merupakan langkah yang perlu diambil oleh UMNO/BN untuk mengembalikan kekuatan parti selepas mengalami pencapaian yang teruk dalam PRU 2008.

  • 70% responden bersetuju bahawa UMNO merupakan parti yang membela kepentingan Melayu dan 67% mengatakan UMNO telah memartabatkan Islam. Tetapi hanya 56% responden Melayu mengatakan bahawa mereka harus bersatu di bawah UMNO untuk memastikan kelangsungan bangsa Melayu.

  • Walaupun majoriti responden menunjukkan sikap yang lebih terbuka terhadap nilai dan amalan demokrasi, mereka terus berpegang teguh kepada nilai-nilai agama dan keperluan melaksanakan syariat Islam. 70% responden berpandangan bahawa nilai agama memainkan peranan penting dalam sebarang penyelesaian masalah negara. Mengenai pelaksanaan syariat Islam, 85% responden bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang Islam sedia ada dan 58% menyokong pelaksanaan undang-undang hudud.

Dapatan-dapatan ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu mempunyai sikap yang positif terhadap nilai dan amalan demokrasi serta bersikap lebih terbuka terhadap kaum-kaum lain, tetapi pada masa yang sama masih berpegang teguh dengan nilai-nilai agama.

Tidak hairanlah, politik Malaysia pada hari ini juga semakin diwarnai oleh perlumbaan antara parti-parti politik untuk menunjukkan siapa yang lebih demokratik dan toleran terhadap semua kaum. Walaupun perkembangan ini merupakan satu petanda baik dalam sebuah negara pelbagai kaum, ianya menimbulkan persoalan yang besar kepada kepimpinan politik Melayu untuk meneruskan perjuangan politik berasaskan bangsa dan agama.

Lebih dari itu, kekalahan parti-parti bukan Melayu dalam BN seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP dalam pilihanraya umum yang lalu meletakkan tekanan yang lebih besar kepada kepimpinan Melayu dalam UMNO/BN untuk mengekalkan keyakinan rakyat pelbagai kaum terhadap BN.

Cabaran Kepimpinan Politik Melayu

Umum mengetahui bahawa pencapaian kaum Melayu dalam bidang ekonomi dan pendidikan masih ketinggalan berbanding kaum-kaum lain. Laporan Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-9 menunjukkan bahawa pendapatan purata kaum Melayu berada di belakang kaum Cina dan India (Malaysia 2008). Pendapatan purata kaum Melayu/Bumiputera pada tahun 2007 ialah sebanyak RM 3,156 berbanding kaum India sebanyak RM 3,799 dan kaum Cina sebanyak RM 4,853. Hanya 15% premis komersial dimiliki oleh kaum Melayu manakala selebihnya oleh bukan Melayu. Jumlah pelajar Melayu yang melanjutkan pelajaran di luar negara juga jauh lebih kecil berbanding pelajar bukan Melayu. Di Australia misalnya, hanya 10% daripada lebih 20,000 pelajar Malaysia di negara itu adalah pelajar Melayu.

Walaupun pencapaian kaum Melayu secara umumnya masih jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain, kepimpinan politik Melayu semakin dipersoalkan. Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikritik hebat oleh pemimpin politik Melayu sendiri sebagai dasar yang bersifat diskriminatif dan menghalang persaingan bebas. Malah, kaum Melayu digambarkan sebagai kaum yang dominan dan kaum-kaum lain terpinggir (marginalized). Konsep ”Ketuanan Melayu”, yang mempunyai kerelevenan sejarah kepribumian bangsa Melayu, ditafsirkan sebagai satu konsep diskriminatif yang menindas.

Sementara itu, kepimpinan politik Melayu dilihat mati hujjah untuk berhadapan dengan perang idea dalam masyarakat yang semakin mementingkan nilai dan amalan demokrasi yang lebih substantif. Pada masa yang sama, sebagai kaum majoriti di negara ini, kepimpinan politik kaum Melayu dilihat berperanan besar dalam memupuk keharmonian kaum dan menjamin kestabilan politik.

Dalam konteks inilah kepimpinan politik Melayu, terutamanya dalam UMNO, menghadapi beberapa cabaran besar untuk meneruskan perjuangan politik berasaskan kaum dan agama.

1. Pertarungan idea politik bukan berasaskan kaum: Dengan Pakatan Rakyat yang mendakwa mengamalkan politik bukan perkauman pada masa ini menguasai lebih satu pertiga kerusi di Parlimen, pertarungan idea-idea politik bukan berasaskan kaum akan menjadi semakin sengit. Contohnya, penafian konsep ”Ketuanan Melayu” dan promosi Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) oleh Anwar tentu sekali membawa kesan yang mendalam terhadap minda orang Melayu dan bukan Melayu.

Soalnya, bagaimanakah UMNO dan parti-parti komponen dalam BN respon kepada pendefinisian semula idea-idea politik berasaskan kaum di negara ini? Pertarungan idea-idea politik ini tentu sekali akan membentuk pemikiran, nilai dan budaya politik masyarakat mengenai politik hubungan kaum yang sekian lama melatari politik Malaysia. Keabsahan perjuangan politik Melayu akan tergantung kepada sejauhmana kepimpinan politik Melayu mampu mengekalkan kerelevenan mereka dalam menghadapi pertarungan idea politik ini.

2. Media baru sebagai alat penyebaran nilai politik demokrasi bukan berasaskan kaum: Kemunculan media baru seperti laman web, blog dan portal berita internet mempercepatkan penyaluran maklumat dan penyebaran nilai-nilai politik terutamanya di kalangan generasi muda dan golongan professional yang banyak terdedah kepada penggunaan teknologi maklumat. Media baru, lebih-lebih lagi yang bersifat interaktif, merupakan alat ideologi (ideological apparatus) yang amat berkesan dalam menyebarkan idea-idea yang dominan dalam masyarakat.

Dalam konteks ini idea-idea politik baru dengan begitu mudah disambut oleh pengamal media baru dan disebarkan untuk bacaan umum. Sebagai contoh, Project Malaysia,[12] sebuah laman web yang menyiarkan tulisan-tulisan mengenai ”Bangsa Malaysia” cuba untuk merungkaikan (debunk) konsep ”Ketuanan Melayu” yang dianggap sebagai satu konsep yang kolot dan ketinggalan zaman. Pengasas Project Malaysia, Malik Imtiaz Sarwar[13] dan Michelle Gunaselam dalam artikel mereka bertajuk ”The Politics of Race” menulis:

It is no coincidence that the battle lines between the Pakatan Rakyat and the Barisan Nasional have been drawn along the issue of pluralism. The former's increasingly popular reformist advocating of a fairer and more accountable system for all Malaysians, or ketuanan rakyat, echoes calls by civil society for a Bangsa Malaysia driven rejection of race politics in aid of greater democratization. This stands in stark contrast to the conservative re-articulating of a questionable race dynamic, ketuanan Melayu, that the latter has clung to since independence. More than anything, this face-off, coming as it does on a rising tide of civic empowerment, points to Malaysians being ready and eager for a constructive reappraisal of the matter.”[14]

Dalam satu tulisan yang lain, seorang anak muda Cina, John Lee, mengkritik sistem pendidikan sekolah kebangsaan yang disifatkan sebagai terlalu “Melayu” dan tiada kualiti. Beliau menulis:

“Sebagai seorang yang telah menghadiri sekolah kebangsaan, saya boleh beritahu anda: kualiti akademik di sekolah kebangsaan amat rendah. Tiada bandingan dengan sekolah jenis kebangsaan Cina; di sana, guru-guru berdedikasi dan mendorong pelajar-pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran mereka. Di sekolah kebangsaan, guru-guru lebih kerap tiada motivasi untuk mengajar. Tambahan pula, sekolah jenis kebangsaan mengajar bahasa ibunda pelajar Cina dan Tamil; tentulah ibu-bapa Cina dan Tamil lebih suka menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan … Kalau kerajaan kita mahu memupuk semangat perpaduan di sekolah kita, guru-guru mestilah jadi suatu contoh untuk para pelajar. Dengan ini, barulah sistem sekolah kebangsaan kita menjadi sistem sekolah kebangsaan, bukan sistem sekolah Melayu.”[15]

Seorang lagi penulis, Mavis Puthucheary, bekas Professor Madya di Universiti Malaya menyifatkan “Kontrak Sosial” sebagai satu mitos yang dipopularkan untuk mewajarkan dominasi Melayu. Beliau menulis:

Those who promote the idea of a social contract in Malaysia, however, want to see a political system in which secret deals are struck by the ruling elite in an environment where the scope and level of political participation is severely limited. In such a situation it is unwise to recognize the legitimacy of the social contract as it is applied in the Malaysian context … By using the idiom of the inter-ethnic bargain, which was in effect a partisan agreement, and giving it the status of a national consensus, UMNO's agenda of Malay dominance is secured within the formal structure of multiracialism. The UMNO version of the social contract would allow for Malay interests as defined by UMNO ("Ketuanan Melayu") to be given greater emphasis.[16]

3. Kedudukan Islam: Perlu diingat bahawa pertarungan idea politik yang berlaku pada hari ini adalah dalam konteks sebuah masyarakat yang semakin menghargai nilai-nilai demokrasi liberal dalam acuannya yang sekular. Nilai-nilai hak asasi manusia yang diwarwarkan oleh kelompok liberal sekular juga merangkumi hak-hak kebebasan beragama berasaskan faham sekular. Nilai-nilai ini, sepertimana yang dihujjahkan oleh kalangan sekularis, hanya boleh dimanifestasikan secara optimum bilamana negara mengamalkan prinsip pemerintahan yang benar-benar sekular. Debat mengenai kedudukan Islam, yang sinonim dengan peranan kepimpinan Melayu, berkemungkinan akan terus berlegar dalam wacana politik Malaysia dan memerlukan respon yang substantif daripada barisan kepimpinan Melayu-Islam.

Kesimpulan

Sikap positif masyarakat Melayu terhadap nilai dan amalan demokrasi mendatangkan cabaran-cabaran baru kepada kepimpinan politik Melayu. Politik sentimen tidak lagi menjadi asas yang ampuh untuk memperjuangkan idea dan gagasan politik Melayu. Kelangsungan politik Melayu akan ditentukan oleh keupayaan kepimpinan Melayu untuk mempertahankan idea dan gagasan politik Melayu secara rasional dan bersedia untuk bersikap responsif kepada saranan-saranan umum. Pada masa yang sama, sejajar dengan sikap positif masyarakat Melayu terhadap kepentingan nilai agama, kepimpinan politik Melayu juga harus berjiwa agama. Untuk itu, masyarakat Melayu tentu sekali memerlukan kepimpinan politik yang berwibawa, berilmu, berjiwa agama dan artikulatif. Dalam keadaan di mana masyarakat Melayu sendiri semakin menghargai nilai dan amalan demokrasi, keupayaan kepimpinan politik Melayu untuk bersikap terbuka tetapi tegas, responsif dan artikulatif dalam menangani kritikan dan mengemukakan idea-idea baru, terutama sekali dalam mengurus hubungan kaum, memacu kejayaan ekonomi dan menjamin kestabilan politik, adalah penting. Kepimpinan Melayu tidak mempunyai masa untuk mengambil sikap sambil lewa atau “business as usual”.

Bibliografi


Almond, Gabriel A., Verba, Sidney. 1965. The Civic Culture. Boston, MA: Little, Brown and Company.

Crouch, Harold. 1996. 1996. Government and Society in Malaysia. Ithaca and London: Cornell University Press.

Funston, John. 1980. Malay Politics in Malaysia: A Study of the United Malays National Organisation and Party Islam. Kuala Lumpur: Heinemann

Loh Kok Wah, Francis. 2003. “Towards a New Politics of Fragmentation and Contestation”. Dalam Francis Loh Kok Wah and Johan Saravanamuttu (eds). New Politics in Malaysia. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.

Malaysia. 2008. Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional.

Marzuki Mohamad. 2007. “Legal Coercion, Legal Meanings and UMNO’s Legitimacy”. Dalam Edmund Terence Gomez (ed). Politics in Malaysia: The Malay Dimension. London: Routledge.

Nagata, Judith. 1984. The Reflowering of Malaysian Islam: Modern Religious Radicals and Their Roots. Vancouver: University of British Columbia Press

Weiss, Meredith. 2006. Protest and Possibilities: Civil Society and Coalitions for Political Change in Malaysia. Stanford: Stanford University Press.

Zakaria Haji Ahmad. 1989. “Malaysia: Quasi Democracy in Divided Society”. Dalam Larry Diamond, Juan J. Linz, Seymour Martin Lipset (ed). Democracy in Developing Countries (Volume 3). Boulder, Colorado: Lynne Reinner Publishers.

Nota Hujung


* Kertas ini dibentangkan di Seminar Kepimpinan Melayu anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 19 November 2008 di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur.
[1] Marzuki Mohamad (Phd, Australian National University) ialah pensyarah di Jabatan Sains Politik, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
[2] Ibrahim Suffian (MA, Michigan) ialah Pengarah, Merdeka Center for Opinion Research, sebuah institusi penyelidikan bebas.
[3] Satu lagi budaya politik yang turut dinyatakan oleh Gabriel Almond and Sydney Verba ialah budaya parokial (Almond & Verba 1965).
[4] Zakaria (1989); Crouch (1996).
[5] Loh (2003).
[6] Lihat Funston (1980); Nagata (1984)
[7] Weiss (2006)
[8] Bersih ialah sebuah pertubuhan tidak berdaftar yang memperjuangkan pilihanraya yang bebas, adil dan bersih di Malaysia. Pada bulan November 2007, Bersih menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur untuk memprotes amalan pilihanraya di Malaysia. Perhimpunan ini dihadiri oleh lebih 30,000 orang awam yang kebanyakannya adalah penyokong pembangkang.
[9] Hindu Rights Action Force (Hindraf) ialah sebuah pertubuhan tidak berdaftar yang memperjuangkan hak-hak penganut agama Hindu di Malaysia. Kumpulan ini menganjurkan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur pada bulan November 2007 ekoran tindakan pihak berkuasa tempatan merobohkan sebuah kuil yang didirikan tanpa kebenaran di Shah Alam, Selangor. Kerajaan pada bulan Oktober 2008 mengharamkan pertubuhan ini ekoran tindakan pemimpin-pemimpinnya menganjurkan siri protes terbuka terhadap kerajaan yang didakwa mengabaikan hak-hak penganut agama Hindu.
[10] Marzuki (2007).
[11] Walau bagaimanapun, dalam satu kajian berasingan yang dijalankan oleh Merdeka Center, 93% responden Melayu tidak bersetuju hak-hak keistimewaan Melayu dihapuskan.
[12] Laman Project Malaysia mempunyai pautan dalam The Star Online milik MCA. Lihat http://projectmalaysia.com/home.html (Diakses pada 1 September 2008).
[13] Dalam biodatanya Malik Imtiaz, yang juga merupakan Presiden Persatuan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) menyifatkan dirinya sebagai seorang yang “actively involved in efforts to promote the rule of law and constitutionalism, particularly in the face of worrying trends of Islamization and race politics in government and wider society”.
[14] Lihat http://projectmalaysia.com/home.html (Diakses pada 1 September 2008)
[15] http://projectmalaysia.com/collections/2008/08/observations/Sistem_Pendidikan_di_Malaysia_full.html (Diakses pada 1 September 2008)
[16] http://projectmalaysia.com/collections/2008/08/perspectives/Malaysia_Social_Contract_full.html (Diakses pada 1 September 2008)

3 comments:

  1. melayu semakin critical.umno is struggling, as well as pas also strugling.the parties who had become senior and because of their huge membership, now in critical.had not been respected by others.

    ReplyDelete
  2. Saya tertarik membaca hasil kajian saudara. Tapi, ada beberapa persoalan yang bermain di fikiran saya apabila menjurus kepada kepimpinan politik terutamanya di bawah institusi politik seperti UMNO. Saya terbaca artikel berkaitan 'sistem perkaderan' yang tersulam rapi dalam tradisi kepimpinan UMNO. Tapi keadaan ini seoalah2 menafikan mobiliti pemimpin muda untuk menyerlahkan ketokohan mereka sebagai tokoh/pemimpin yang berwibawa atas asas 'seniority' yg harus diutamakan. Justeru, adakah sistem perkaderan ini masih praktikal dlm melahirkan tokoh2 yg berwibawa dlm kepimpinan politik itu sendiri.

    Azila Azidin
    MA (Universiti Malaya)
    walia_aqua@yahoo.com

    ReplyDelete
  3. salam...

    emmm boleh tahan artikel ini. kitis dan analitik dalam penghujahan. sekarang rakyat sudah terdidik dan mempunyai kesedaran terhadap penglibatan politik. Politik di Malaysia ini seronok nak dengar dan seronok tengok pemimpin atasan berbalah menegangkan benang yang memang sudah basah. emmm... kesian. tapi kesian lagi rakyat. apalah pemimpin kita ni bila lagi nak sedar x tau la. ada pemimpin yang ok tapi ada juga yang x ok. cam mana la boleh terpilih x tau la.

    ReplyDelete