Saturday, November 8, 2008

UMNO Mesti Berubah

Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan calon pilihan bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Selepas BN mengalami pencapaian paling teruk dalam pilihanraya umum yang lalu, Muhyiddin merupakan pemimpin UMNO yang paling tegas memperkatakan tentang perlunya perubahan dalam UMNO/BN sekiranya parti itu mahu terus mendapat mandat rakyat.

Kunci kepada perubahan ini ialah perubahan kepimpinan. Ketika pemimpin-pemimpin UMNO yang lain teragak-agak memperkatakan tentang hal ini, Muhyiddin mengambil risiko dengan menggesa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur secara terhormat untuk membolehkan proses perubahan dalam parti berlaku dengan segera. Muhyiddin merupakan the voice of reason dalam UMNO ketika itu.

Selepas Abdullah membuat pengumuman untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden, ramai yang melihat Muhyiddin sebagai calon yang paling layak untuk mengisi kerusi Timbalan Presiden yang akan dikosongkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Melihat peranan besar Muhyiddin dalam menjayakan proses transisi kepimpinan dalam UMNO dan mood akar umbi ke arah perubahan, tidak sukar untuk mengagak Muhyiddin akan menang mudah - malah menang tanpa bertanding - bagi jawatan Timbalan Presiden.

Anggapan ini ternyata meleset. Mesyuarat bahagian-bahagian UMNO yang berakhir pada hari ini menunjukkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhammad Taib mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Walaupun penawaran diri kedua-dua calon ini tidak dianggap serius pada mulanya, perkembangan mutakhir menunjukkan akan berlaku pertandingan tiga penjuru yang sengit bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti pada bulan Mac tahun depan.

Penyokong Ali Rustam telah mula menyebut Ketua Menteri Melaka itu akan membuat upset lagi dalam pemilihan kali ini sepertimana yang berlaku dalam pertandingan bagi jawatan Naib Presiden dalam pemilihan tahun 2004. Dalam pemilihan tersebut, Ali Rustam menang undi kedua tertinggi selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Samad walaupun Muhyiddin dikatakan calon pilihan. Muhyiddin mengisi tempat ketiga jawatan Naib Presiden dengan memperolehi undi ketiga terbanyak.

Walaupun Ali Rustam dan Muhammad Taib mempunyai pengaruh masing-masing dalam parti, sumber-sumber dalaman UMNO mengaitkan peranan penyokong-penyokong Abdullah yang giat berkempen bagi kedua-dua calon ini untuk memastikan Muhyiddin tewas. Penyokong-penyokong Abdullah ternyata kecewa dengan peranan Muhyiddin menggesa Abdullah berundur.

Dalam mesyuarat-mesyuarat bahagian yang baru berakhir, jentera Ali Rustam, Muhammad Taib dan Abdullah dikatakan telah mencapai kata sepakat untuk memastikan berlaku pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden. Walaupun terdapat Ketua-Ketua Bahagian yang telah menyatakan sokongan terbuka terhadap Muhyiddin, jentera anti-Muhyiddin telah melancarkan coup di peringkat bahagian untuk memastikan Muhyiddin tidak dicalonkan.

Walaupun pertandingan bagi mana-mana jawatan dalam parti politik adalah baik, UMNO tidak harus hilang fokus. Tumpuan utama UMNO mestilah untuk memulihkan imej parti dan Barisan Nasional dengan membawa mesej perubahan. Sekiranya imej negatif parti tidak dipulihkan, parti itu berkemungkinan menghadapi masalah yang besar untuk mengekalkan mandat rakyat dalam pilihanraya akan datang.

Untuk itu, UMNO mestilah mempunyai pemimpin yang berkaliber dan mampu memimpin perubahan. Faktor-faktor kelayakan, ketegasan, kebijaksanaan dan kemampuan mengurus perubahan mestilah menjadi asas untuk memilih pemimpin. Meletakkan hal-hal remeh-temeh dan dendam kesumat sebagai asas memilih pemimpin tidak akan membawa kebaikan kepada UMNO.

Apatah lagi sekiranya perebutan jawatan diiringi dengan amalan politik wang. Utusan Malaysia semalam melaporkan terdapat 900 kes politik wang yang telah dilaporkan kepada Jawatankuasa Disiplin. Angka ini tentu sekali akan meningkat memandangkan tempoh berkempen yang lama. Ini tentu sekali tidak membantu memulihkan imej negatif UMNO.

Para perwakilan UMNO perlu benar-benar insaf. Mereka benar-benar berada di persimpangan jalan. Berubah sekarang atau mereka akan dirubah oleh rakyat. Untuk sekali dalam hayat politik mereka, lakukanlah sesuatu demi kebaikan parti, rakyat dan negara.

1 comment:

  1. dr pemerhatian.. sebagai anak bangsa melayu.. umno banyak propaganda.. di peringkat bahagian.. seakan-akan berlaku perlawanan politik wang yang jelas memporak perandakan keutuhan n nilai yang ada dalam piagam umno itu sendiri.. sukar untuk saya melihat bahawa umno merupakan institusi melayu yang hanya menghimpunkan wacana anak melayu yang optimis dalam memperjuangkan institusi ini.. kadang-kadang keadaan ini buat saya terfikir yang umno is something useless.. umno merupakan pergerakan yang hanya menunjuk-nunjuk.. yang bodoh d pijak.. yang cerdik d angkat.. sedangkan.. yang bodoh itu lagi cerdik.. padahal yang cerdik sebenarnya seorang yg kurang bijak.. sebagai anak melayu dan sebagai orang muda.. saya akui yang saya tidak bijak untuk menghimpun gugusan kata-kata ilmiah yang boleh membuatkan orang terfikir bahawa golongan muda juga perlukan sokongan jika saya d aggp sebagai peneraju masa depan.. saya akui yang saya tidak mahukan sorotan propaganda dalam kepimpinan umno.. tapi saya perlukan kebijaksanaan politik dalam kepimpinan.. salah kah saya?

    ReplyDelete