Monday, July 14, 2008

Kontrak Sosial dan Keabsahan Politik Melayu

Berikut adalah kertas kerja yang dibentangkan di Wacana Bulanan Kumpulan Prihatin yang diadakan di Shah Village Hotel, Petaling Jaya pada 12 Julai 2008. Kumpulan Prihatin ialah sebuah kumpulan intelektual Melayu yang dianggotai oleh tokoh-tokoh budayawan Melayu, ahli akdemik, golongan pendidik dan aktivis masyarakat. Turut menganggotai Kumpulan Prihatin ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Kontrak Sosial dan Keabsahan Politik Melayu[1]

Marzuki Mohamad
[2]

Teori kontrak sosial dalam tradisi Barat (sepertimana yang dikemukakan oleh John Locke, Thomas Hobbes dan Jean Jaque Rousseau) adalah satu fiksyen sejarah. Perjanjian antara sesama individu dalam masyarakat (atau antara individu dan negara) untuk hidup bersama secara aman tanpa menyakiti satu sama lain serta menghormati hak masing-masing tidak pernah berlaku di alam nyata. Tidak pernah wujud perjanjian bertulis atau lisan antara sesama individu yang mengikat mereka kepada satu aturan hidup bermasyarakat. Ia hanyalah andaian sejarah semata-mata. Namun begitu, teori kontrak sosial telah memberikan asas kepada pembentukan masyarakat dan negara moden. ”Perjanjian” fiksyen ini menjadi asas yang rasional kepada keperluan hidup bermasyarakat dan segala aturannya. Kertas ini akan meninjau sisi-sisi debat kontrak sosial di Malaysia dan implikasinya kepada keabsahan politik Melayu di negara ini.

Kontrak Sosial Malaysia

Kontrak sosial Malaysia yang merujuk kepada terma-terma perjanjian antara pemimpin-pemimpin kaum utama ketika negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 pula bukanlah satu fiksyen. Ianya benar-benar berlaku dalam sejarah. Terma-terma ini menyangkut soal hak-hak istimewa Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan hak kerakyatan kepada kaum bukan Melayu, yang terkandung di dalamnya hak-hak ekonomi dan politik. Antara dokumen yang paling lengkap menghuraikan terma-terma ini ialah ”Political Testament of the Alliance” (yang juga disebut sebagai memorandum Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid) yang kemudiannya menjadi asas kepada pembikinan Perlembagaan Persekutuan.[3] Terma-terma ini, yang mungkin lebih layak dipanggil sebagai ”kontrak perlembagaan”, termaktub pula dalam Perlembagaan Persekutuan.

Proses sejarah yang membawa kepada kewujudan terma-terma perjanjian berasaskan kepentingan kaum - bukan kepentingan individu sepertimana yang difahami dalam teori kontrak sosial Barat - juga real, bukan fiksyen. Jika ditelusuri sejarah pembikinan perlembagaan negara, bermula dengan Perlembagaan Malayan Union pada tahun 1946 dan kemudiannya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1947, isu-isu kepentingan kaumlah yang melatari proses pembikinan perlembagaan.[4]

Umpamanya, memoranda dan surat yang dihantar kepada Cheeseman Consultative Committee yang dibentuk untuk menerima pandangan awam mengenai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menyatakan dengan jelas kepentingan kaum-kaum yang berbeza di Tanah Melayu pada ketika itu. Persatuan Melayu Ulu Terengganu menyebut Tanah Melayu “adalah negeri Melayu yang sejak sekian lama diterima sebagai milik orang Melayu”. Oleh yang demikian, mereka mendesak agar Bahasa Melayu diberikan keutamaan jika tidak “Bangsa Melayu mungkin akan dianggap sebagai tidak wujud dan bermakna negeri ini bukan milik orang Melayu”. Oleh kerana orang Melayu beragama Islam, mereka juga menuntut agar peruntukan mengenai agama Islam dimasukkan dalam cadangan perlembagaan tersebut”.[5]

Masyarakat Ceylon yang diwakili oleh Persekutuan Ceylon Malaysia pula menegaskan “(The Ceylonese) had made Malaya their permanent home … and … with traditional loyalty and conservatism have given their entire lives exclusively to the service of Their Highnesses and the British administrators, while other races ventured into vocations of great gains, namely, planting, mining, trading and industry”. Oleh yang demikian, masyarakat Ceylon meminta syarat-syarat kerakyatan yang lebih longgar di samping jaminan bahawa kedudukan mereka dalam perkhidmatan kerajaan tidak terjejas.[6]

Persatuan India Terengganu juga melahirkan perkara yang sama. Mereka menyebut, “Men’s memories are short and hence the tendency is to regard Indians as unwelcome intruders whose contribution to Malayan economy is nil and their only contribution is to the English language of the word “coolie” which has found a place in school text-books ... While the Malay community may be excused for short memories the Raj cannot dispute the contributions of India and Indians to the extension of its influence in this part of the world from the founding of Singapore in the early part of the nineteenth century to the liberation of Malaya a few months ago”. Oleh kerana itu, masyarakat India juga mendesak agar mereka diberikan syarat-syarat kerakyatan yang longgar.[7]

Dua orang pemimpin masyarakat Cina (Tun) HS Lee dan (Tun) Leong Yew Koh yang menganggotai jawatankuasa tersebut juga menekankan peranan kaum Cina dalam pembangunan ekonomi Tanah Melayu dan oleh kerana itu mereka perlu diberikan syarat kerakyatan yang longgar dan diperuntukkan jumlah keanggotaan yang lebih ramai dalam Majlis Perundangan Persekutuan. Mereka berhujjah bahawa oleh kerana masyarakat Cina membayar 70 peratus daripada jumlah cukai di Tanah Melayu, mereka layak untuk mendapat layanan yang lebih istimewa, termasuklah hak kerakyatan secara otomatik.[8]

Ini adalah antara beberapa contoh tentang betapa identiti dan kepentingan kaum menjadi asas kepada pembentukan negara majmuk Malaysia. Terma-terma yang terdapat dalam kontrak sosial Malaysia adalah hasil daripada persefahaman antara kaum tentang betapa perlunya mereka berkompromi dalam merealisasikan hasrat membentuk sebuah negara merdeka yang didiami oleh kaum-kaum yang berbeza. Formula persefahaman ini bukanlah satu fiksyen tetapi kenyataan. Tunku Abdul Rahman ketika berucap membentangkan cadangan perlembagaan di Majlis Perundangan Kebangsaan pada 10 Julai 1957 menyebut tentang formula kompromi antara kaum ini. Beliau berkata:

A formula was agreed upon by which it was decided that in considering the rights of the various peoples in this country no attempt must be made to reduce such rights which they have enjoyed in the past. As a result you find written into this Constitution rights of the various peoples they have enjoyed in the past and new rights, in fact, accorded to new people whom it was the intention to win over into the fold of the Malayan Nation. I refer to the Citizenship rights. It is a right which has given the Malays very grave concern and fear. Nevertheless because of their desire and anxiety to put Malaya on the pedestal as an Independent Nation, they are prepared to give that right to the new people.[9]

Ancaman kepada Kontrak Sosial: Islamisasi?

Ada juga pihak yang berhujjah bahawa proses Islamisasi dalam pentadbiran awam, sistem undang-undang, pendidikan dan sebagainya merupakan ancaman kepada kontrak sosial yang sekular dan demokratik.[10] Perlu diingat bahawa proses Islamisasi telah berlaku di Alam Melayu lama sebelum kedatangan penjajah British yang bertanggungjawab memperkenalkan sistem pentadbiran yang sekular. Tasawwur Islam sebagai agama pembebasan (liberating religion) telah terpahat dalam pandang alam umat Melayu terutamanya dalam memahami konsep Kerajaan. Raja-Raja Melayu bukan lagi merupakan jelmaan Dewa-Dewa sebagaimana yang dipaparkan dalam tradisi Hindu, tetapi merupakan hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab kekhalifahan dalam melaksanakan syariat Islam. Kedatangan penjajah British dengan idea dan praktis sekular mereka tidak pernah merubah, malah mengiktiraf, peranan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam yang bertanggungjawab mentadbir hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu. Islam telah sekian lama merupakan sebahagian yang “integral” dalam sistem Kerajaan di Tanah Melayu dan diterima sebagai antara salah satu terma penting kontrak sosial. Islam termaktub dalam Perlembagaan bukan sahaja sebagai agama rasmi tetapi juga sebahagian daripada sistem politik dan undang-undang negara.

Yang dikatakan sebagai proses Islamisasi, iaitu peningkatan pengaruh Islam dalam pembuatan dasar-dasar awam dan pembikinan undang-undang, bukanlah satu “invention” yang mengancam kontrak sosial atau Perlembagaan. Malah, proses pembikinan kontrak sosial dan Perlembagaan negara sudah mengambilkira pandang alam Islam mengenai konsep Kerajaan yang tidak mengasingkan agama daripada institusi negara, malah menyediakan asas kepada kewujudan peranan bermakna Islam dalam sistem negara. Oleh kerana itu, kita dapati Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan mengenai pembentukan mahkamah-mahkamah syariah (yang merupakan institusi negara yang bertanggungjawab melaksanakan undang-undang Islam), jaminan perlembagan bagi peruntukan dana awam kepada institusi-institusi Islam, malah menjadikan pungutan zakat, fitrah dan baitulmal sebagai sebahagian daripada hasil negara.[11] Dalam konteks ini, walaupun Perlembagaan tidak menjadikan negara ini sebagai sebuah teokrasi, kewujudan institusi-institusi Islam yang berperanan melaksanakan syariat Islam dan tanggungjawab da’wah menunjukkan bahawa tidak berlaku proses “desacralization of politics” secara total dalam sistem kenegaraan Malaysia untuk melayakkan negara ini digelar sebagai sebuah negara sekular. Oleh itu, tidak ada asas yang kukuh untuk mengatakan bahawa proses Islamisasi mengancam kontrak sosial dan Perlembagaan. Sebaliknya, kontrak sosial dan Perlembagaan menyediakan asas yang kukuh kepada proses tersebut untuk berlaku dalam masyarakat dan negara.

Sebaliknya, pemaksaan nilai-nilai sekular ke atas masyarakat Islam merupakan ancaman sebenar terhadap kontrak sosial yang menyediakan asas kepada hubungan harmoni antara kaum dan pada masa yang sama mengiktiraf keakraban masyarakat Islam dengan identiti agamanya. Apatah lagi jika ditinjau realiti semasa, keakraban masyarakat Islam dengan identiti agama bukan merupakan sesuatu yang unik bagi Malaysia, tetapi merupakan satu fenomena global. John Esposito dan Dalia Mogahed dalam buku terbaru mereka Who Speaks for Islam? mengesahkan perkara ini. Berdasarkan tinjauan pendapat yang dilakukan oleh Gallup di 132 buah negara termasuk Malaysia, Esposito dan Mogahed mendapati:

The majority in the Muslim world see Islam ... as a moderate, peaceful religion that is central to their self-understanding and their success ... Overwhelming numbers of Muslims continue to identify religion as a primary marker of their identity, a source of guidance and strength, and crucial to their progress.[12]
Farish Noor melihat kejituan identiti agama dan kebangkitan “political religion” sebagai sesuatu yang menggerunkan.[13] Barangkali beliau menanggapi agama sebagai satu sistem kepercayaan yang tidak rasional, “rigid” dan “uncompromising”, lantas mengatakan bahawa fenomena kebangkitan agama merupakan ancaman utama kepada kontrak sosial yang berasaskan kompromi antara kaum. Bagi beliau, tidak akan ada lagi ruang untuk berkompromi sekiranya masyarakat menjadikan kepentingan agama sebagai asas untuk mengemukakan tuntutan-tuntutan kepada kerajaan ataupun komuniti agama yang lain. Pandangan ini gagal mengambilkira faktor keanjalan Islam sebagai agama yang rasional dan akomodatif. Apatah lagi dalam konteks “political religion”, aplikasi siyasah syar’iyyah sudah tentu memberi ruang kepada masyarakat Islam untuk menjadi lebih realistik dan akomodatif dalam mendepani realiti kehidupan masyarakat majmuk. Pokok pangkal permasalahan ialah “ketakutan” yang keterlaluan kepada agama, bukan sifat agama yang “rigid” atau “uncompromising”.

Ancaman Kepada Kontrak Sosial: Dasar Ekonomi Baru dan Rakyat Kelas Kedua?

Seringkali kedegaran suara-suara yang mengatakan bahawa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah bertentangan dengan semangat kontrak sosial. Dasar yang memberi layanan istimewa kepada masyarakat Melayu/Bumiputera ini dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi kepada kaum-kaum lain yang menjadikan mereka sebagai rakyat kelas kedua (second class citizen). Sedangkan, kontrak sosial sepatutnya mewujudkan “common citizenship” yang menerima semua rakyat sebagai rakan setara. Apakah benar pandangan ini?
Persoalan mewujudkan “common citizenship” yang mengiktiraf hak samarata antara penduduk pribumi dan masyarakat pendatang merupakan satu isu yang amat diperbahaskan. Pegawai-pegawai Inggeris pun berselisih pendapat mengenai hal ini. Lord Mountbatten menyokong idea ini kerana melihat ianya sebagai satu cara untuk memupuk perasaan taat setia kepada Tanah Melayu terutamanya di kalangan orang-orang Cina yang mana ramai di antara mereka yang masih menumpahkan taat setia kepada negeri asal mereka. OFG Stanley, Setiausaha Negara bagi Wilayah Jajahan, sebaliknya berpendapat langkah tersebut sebagai “tidak sensitif kepada perasaan orang Melayu”. Dalam sepucuk surat kepada Lord Mountbatten bertarikh 13 Jun 1944, Stanley menulis:

“the presence of substantial numbers in Malaya of Chinese and Indians makes the future constitutional development a matter of some delicacy, particularly as these communities are likely to demand a more intimate place in the constitutional set up in the future than they have been given in the Malay states in the past”.[14]
Telahan Stanley ternyata benar. Dalam masa satu dekad, orang Cina dan India yang mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai tanah air mereka menuntut hak kerakyatan berdasarkan prinsip jus soli. Tuntutan ini ditentang oleh majoriti masyarakat Melayu yang melihat tuntutan itu akhirnya akan menenggelamkan status mereka sebagai penduduk pribumi. Orang Melayu sebaliknya menuntut agar mereka diberikan hak-hak keistimewaan sebagai penduduk pribumi seperti kuota dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa dan latihan sebagai balasan kepada pemberian hak kerakyatan kepada orang bukan Melayu. Oleh kerana kedudukan ekonomi orang Melayu adalah mundur berbanding kaum-kaum lain, hak-hak keistimewaan ini dilihat sebagai asas kepada dasar tindakan afirmatif untuk membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.
Walaupun hak-hak keistimewaan Melayu (kemudian termasuklah anak negeri Sabah dan Sarawak) termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, tidak ada satu usaha yang serius diambil oleh kerajaan untuk membina keupayaan ekonomi kaum Melayu. Hasilnya, setelah lebih sepuluh tahun merdeka, orang Melayu/Bumiputera masih lagi bergelumang dengan kemiskinan. Perkara 153 dan terma kontrak sosial yang melandasinya tidak mempunyai apa-apa makna. Oleh yang demikian, Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan selepas insiden rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 sebenarnya memberi makna kepada kontrak sosial, bukan sesuatu yang bertentangan dengannya.
Hari ini kita sering mendengar analogi rakyat kelas pertama dan kedua apabila orang berbicara mengenai hak keistimewaan Melayu dan DEB. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru. Lebih 50 tahun yang lalu, perkara yang sama dibangkitkan oleh ahli-ahli politik bukan Melayu seperti S.M Yong dan K.L Devaser. Tetapi, lebih 50 tahun yang lalu, antara orang yang mempertahankan hak keistimewaan Melayu ialah pemimpin politik bukan Melayu sendiri. (Tun) Tan Siew Sin ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di Majlis Perundangan Persekutuan dalam bulan Julai 1957 berkata:

The Malays cannot be expected to give up what they already have in the same way that they do not expect the other communities to give up their existing rights. Far more important, however, is the indisputable fact that as a race the Malays are economically backward and well behind the other races in the field … It has also been asked why it has not been explicitly stated that this provision is only temporary. I would remind our critics that the Malays are a proud and sensitive race. They are also an intelligent race, and I know that they appreciate the significance and implications of this provision far better than most people realize. I have no doubt in my mind whatsoever that when the time comes, the Malays themselves will ask for its abolition, but this is a matter which we must obviously leave to them to decide.

Menjawab kritikan S.M Yong dan K.L Devaser mengenai kewujudan “dua kelas kerakyatan”, Tun Sambathan berhujjah:

We hear it spoken, Sir, of first class and second class citizenship. Is the first class citizen one who is badly provided with roads, has leaky roof over his head, cannot even get a doctor on a rainy-day even if his child is badly ill? Is that person, be he in the kampong or estate or new village, the first-class citizen or is it he who has a bungalow in the Federal Capital, one possibly in the Cameron Highlands and a couple more at a seaside resort who is the first class citizen, I ask … An unbalance exists and it exists for various reasons. It may be that colonial rule, with all its defects, its sins of omission, has rendered these things so. Freedom with its new outlook and an economy based for the purpose of helping the people will certainly solve most of these problems.

Pada hari ini, agak jarang kedengaran (atau tidak kedengaran lagi) suara-suara pemimpin bukan Melayu mempertahankan hak-hak keistimewaan Melayu sebagai asas kontrak sosial dan pembentukan negara Malaysia yang majmuk. Malah ada pula pemimpin-pemimpin Melayu, atas perkiraan untung rugi politik pilihanraya barangkali, yang turut sama menyanggah (debunking) konsep hak keistimewaan Melayu dan ketuanan Melayu. Mereka menjadi apologetik apabila berbicara mengenai kedua-dua hal ini. Sebaliknya, konsep “ketuanan rakyat” (kedaulatan rakyat?) yang lebih popular digunakan untuk menggantikan ketuanan Melayu. Padahal tidak ada apa yang salahnya mempertahankan ketuanan Melayu sekiranya konsep ketuanan itu ditafsirkan sebagai “kepribumian Melayu”, iaitu satu fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan. Manakala konsep “kedaulatan rakyat” boleh digunakan untuk merujuk kepada amalan politik demokrasi di mana rakyat, tanpa mengira kaum dan agama, mempunyai hak untuk berpartisipasi dalam politik. Malah, secara praktisnya pun, inilah yang berlaku di Malaysia. Bilamana orang Melayu berbicara mengenai ketuanan Melayu, mereka tidak pernah menafikan hak-hak orang bukan Melayu untuk berpartisipasi dalam proses politik di negara ini. Sebagai sebuah masyarakat yang demokratik, kita boleh menerima konsep “kedaulatan rakyat” tanpa perlu menolak “ketuanan Melayu”. Dalam konteks ini, orang Melayu menjadi “tuan” di Tanah Melayu atas sifat mereka sebagai masyarakat pribumi. Apabila mereka menjadi tuan, mereka tidak pernah bersikap zalim, malah sentiasa melayani orang lain dengan penuh adab dan susila. Lihat saja konsep “tuan rumah” dalam adat Melayu umpamanya. Tetamu sentiasa diberi layanan yang terbaik dan dengan cara yang penuh hormat. Usman Awang dalam sajaknya “Melayu” menyifatkan sifat baik hati Melayu dengan bait-bait berikut:

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Begitulah orang Melayu. Sifat baik hatinya berlebih-lebihan. Dalam konteks politik pula, toleransi dan komprominya cukup tinggi. Menerima hak kerakyatan kaum bukan pribumi yang berjumlah jutaan orang ketika negara mencapai kemerdekaan adalah bukti toleransi dan kompromi orang Melayu yang cukup tinggi. Sedangkan di negara-negara maju, hak kerakyatan kaum imigran, termasuklah hak untuk mengamalkan budaya asal masing-masing, masih menjadi polemik yang berpanjangan sehingga ke hari ini. Justeru, konsep ketuanan Melayu itu perlu ditafsirkan menurut adat susila dan perbendaharaan Melayu. Kesilapan ramai orang ialah mentafsirkan konsep tuan itu menurut perbendaharaan Inggeris iaitu “the master race” atau “the dominant race”. Tafsiran Barat ini seringkali menghasilkan pandangan yang serong mengenai bangsa Melayu sehinggakan ada yang menyamakan amalan politik Melayu di negara ini dengan sistem apartheid di Afrika Selatan. Sedangkan perkataan tuan dalam perbendaharaan Melayu boleh mengandung maksud lain yang lebih cocok dengan nilai dan budaya orang Melayu yang penuh adat susila, toleransi dan kompromi. Nilai dan budaya Melayu inilah yang menjadi tunjang kepada kestabilan politik dan keharmonian kaum di negara majmuk Malaysia.

Keabsahan Politik Melayu/Islam

Dengan mempersoalkan kontrak sosial, terutamanya yang berkait dengan terma-terma yang menjamin hak-hak keistimewaan Melayu, menunjukkan bahawa asas keabsahan politik Melayu itu sendiri sudah semakin terhakis. Tidak dinafikan bahawa arus perubahan sosial yang ditandai oleh peningkatan status sosio-ekonomi orang Melayu, proses perbandaran dan pemeluasan kelas menengah Melayu menyebabkan perjuangan politik Melayu yang berorientasikan pembangunan material hampir mencapai tahap tepu. Semakin ramai golongan muda Melayu, terutamanya generasi kedua DEB, yang sudah berjaya dan merasakan bahawa dasar itu sudah tiada manfaatnya lagi kepada mereka. Malah, mereka lebih senang berbicara tentang dimensi politik “expressive” seperti demokrasi, kesamarataan hak dan kebebasan individu berbanding isu-isu politik “survival” seperti keperluan untuk hidup dan pembangunan. Dalam kerangka pemikiran inilah mereka mula mempersoalkan kewajaran hak-hak keistimewaan Melayu yang dilihat tidak cocok lagi dengan kepercayaan “baru” mereka tentang prinsip-prinsip demokrasi dan kesamarataan hak.
Dari sini bermulalah kehakisan keabsahan politik Melayu. Untuk mendapatkan sokongan rentas kaum (termasuk di kalangan Melayu “expressive”), adalah sesuatu yang strategik bagi seorang pemimpin politik Melayu atau bukan Melayu untuk mencabar dasar pro-Melayu dan mengemukakan dasar alternatif yang bersifat bukan perkauman. Bukanlah sesuatu yang asing pada hari ini untuk kita mendengar kritikan demi kritikan terhadap dasar-dasar pro-Melayu. Ini termasuklah kritikan bahawa tindakan afirmatif untuk membantu orang Melayu melalui DEB sebagai satu dasar yang sudah lapuk. Anwar Ibrahim ketika berucap di Singapura pada 20 Mei 2008 mengatakan:

Young Malaysians are now open to more multi-racial socio-economic policies as opposed to race-based ones. The general consensus is that affirmative action should be given to the poor and the marginalised regardless of race or religion. Notions of social dominance and racial superiority find no resonance among the people except for those diehards still bigoted over ancient and archaic forms of political ideology.[15]
Dalam kerangka politik rentas kaum inilah pada hari ini kontrak sosial berasaskan kaum semakin dipersoalkan. Politik perlembagaan yang berasaskan “ethnic bargaining” dilihat tidak lagi sesuai dengan cita-cita membentuk sebuah negara yang bersatu-padu. Sebaliknya, nilai-nilai persamaan hak - yang bermaksud tiada lagi kumpulan kaum atau agama yang menikmati hak-hak istimewa - ingin dijadikan asas pembentukan masyarakat Malaysia. Mavis Putucheary umpamanya berhujjah:

A constitution built on the idea of competitive bargain among ethnic blocs, our Malaysian experience indicates, is fraught with difficulties. It has produced ambiguities and contradictions in the Constitution and the judicial construal of its meaning. This lack of clarity has allowed those in power to interpret it in accordance with their known immediate needs at any time. In contrast, a Constitution aimed at fostering genuine inter-ethnic cooperation through a national consensus inclusively based on acceptance of basic human values - such as equality under the law, respect for individual freedoms and human dignity and equal rights and obligations for all citizens irrespective of race - is likely to provide a basis for the development of a more united nation in the future. No nation can be securely grounded if the founding charter of its existence is confused or contested. A frail or fractured foundation is no basis for “sharing the nation”.[16]

Kesimpulan

Idea “perkongsian negara” berasaskan persamaan hak bukanlah satu perkara yang baru. Hal tersebut merupakan salah satu tema berpanjangan dalam politik kontrak sosial di negara ini. Soalnya, sejauhmanakah tema ini akan menjadi dominan dalam perang idea politik semasa? Sudah tentu persoalan ini hanya boleh dijawab dengan meneropong ke dalam budaya dan nilai politik orang Melayu sendiri. Apakah mereka sudah bersedia untuk melakukan kompromi sekali lagi untuk berpartisipasi dalam politik multikulralisme sekular yang berasaskan kepentingan individu bukan kepentingan kaum atau agama? Yang pasti, jalannya bukan mudah. Kerana kali ini, apabila berbicara mengenai persamaan hak daripada perspektif yang sekular, ia juga menyangkut soal nilai-nilai agama yang dipegang kuat oleh orang Melayu. Apakah orang Melayu demi “perkongsian negara” akan berkompromi dalam hal-hal yang berkait dengan nilai-nilai asas agamanya. Atau, apakah orang Melayu akan bangkit mempertahankan keabsahan politik Melayu/Islam dan mengekalkan asas-asas negara yang dibina di atas terma-terma kontrak sosial berlandaskan kepentingan kaum dan agama.

Sisipan:

Sajak “Melayu” oleh Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!


[1] Kertas ini dibentangkan di Forum Kontrak Sosial anjuran Kumpulan Prihatin dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Shah Village, Petaling Jaya, Selangor pada 12 Julai 2008.
[2] Marzuki Mohamad ialah Pensyarah Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
[3] Lihat Memorandum to the Reid Constitutional Commission: Political Testament of the Alliance, 1956, dalam Surat Persendirian Tun Leong Yew Koh (SP.3/A/114), Arkib Negara, Kuala Lumpur.
[4] Walaupun Perlembagaan Rakyat yang dikemukakan oleh PUTERA-AMCJA lebih bersifat bukan perkauman, terma-terma berunsur kaum seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu, dan perhatian khusus kepada kemajuan orang-orang Melayu, turut tercatat dalam dokumen tersebut. Lihat The People’s Constitutional Proposals for Malaya, 1947, Kuala Lumpur: Ta Chong Press.
[5] Lihat Marzuki Mohamad, Communalism, Law and State Power: The Limits of Political Change in Malaysia, Tesis Phd, Australian National University, Canberra, Australia, 2008, ms. 48.
[6] Ibid.
[7] Ibid.
[8] Ibid.
[9] Perbahasan Majlis Perundangan Persekutuan, 10 Julai 1957, kolum 2841.
[10] Ucapan Tommy Thomas, Peguambela dan Peguamcara, di Forum Kontrak Sosial anjuran Majlis Peguam Malaysia, Kuala Lumpur, 26 Jun 2008.
[11] Lihat Perkara 97(3) dan Bahagian II, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
[12] Esposito dan Mogahed, Who Speaks for Islam, New York: Gallup Press, 2007, ms. 46.
[13] Ucapan di Forum Kontrak Sosial anjuran Majlis Peguam Malaysia, Kuala Lumpur,
[14] Lihat Stockwell (ed), British Documents on the End of Empire: Malaya Part I. London: HMSO, 1995, m.s. 81.
[15] Ucaputama Anwar Ibrahim di “CLSA Corporate Access Forum”, Singapura, 20 Mei 2008, http://wrlr.blogspot.com/2008/05/anwar-ibrahim-s-speech-at-clsa-forum-in.html (12 Julai 2008)
[16] Putucheary, “Malaysia’s Social Contract”, dalam Sharing the Nation, Norani Othman, Clive Kessler dan Mavis Putucheary (eds), Petaling Jaya: SIRD, 2008.

No comments:

Post a Comment