Thursday, June 5, 2008

Minyak Oh Minyak!

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak bimbang populariti kerajaan pimpinannya terjejas ekoran kenaikan harga minyak sebanyak 40 peratus kepada RM 2.70 seliter.

Pungutan suara oleh Merdeka Center for Opinion Research pada bulan Ogos 2005 mendapati populariti kerajaan menjunam daripada 85 peratus kepada 74 peratus ketika harga minyak dinaikkan sebanyak 30 sen pada ketika itu. Populariti kerajaan terus merosot kepada 68 peratus ketika harga minyak dinaikkan sebanyak 30 sen lagi pada bulan Mac 2006. Ekoran isu Hindraf pada akhir tahun 2007, populariti kerajaan menjunam lagi kepada 61 peratus. [Lihat di sini].

Dalam satu lagi pungutan suara yang dilakukan oleh Merdeka Center sejurus selepas pilihanraya umum ke 12 pada bulan Mac 2008, populariti kerajaan pimpinan Abdullah berada pada tahap yang paling rendah iaitu 53 peratus. Berdasarkan pecahan kaum, 58 peratus responden Melayu berpuas hati dengan kepimpinan Abdullah. Hanya 53 peratus responden India dan 47 peratus responden Cina berpandangan sedemikian. [Lihat di sini].

Ketika Abdullah mula memimpin negara pada akhir tahun 2003, 91 peratus responden berpuashati dengan kerajaan.

Ekoran kenaikan harga minyak yang berkuat kuasa hari ini, tidak sukar untuk menjangka bahawa populariti kerajaan pimpinan Abdullah akan menjunam lagi.

1 comment:

  1. Selain masalah kenaikan harga minyak, kelemahan kepimpinan DSAAB juga menyumbang kepada kemerosotan sokongan kepada kerajaan. Tak mustahil kerajaan akan bertukar bulan September nanti. Selepas itu harga minyak akan turun sebagaimana dijanjikan DSAI. Baguslah. ….tetapi sayang harus dibayarganti dengan harga yang mahal; Malaysian Malaysia!

    ReplyDelete