Ungkapan
“cash is king” atau wang adalah raja mula disebut selepas kerajaan
memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM). Andaiannya ialah rakyat akan
sokong parti Barisan Nasional dalam pilihanraya apabila keperluan asas mereka
dipenuhi oleh kerajaan melalui bantuan kewangan yang diberi secara pukal. Jadi,
dalam pilihanraya, wang adalah raja.
Kini,
ungkapan “cash is king” telah diguna pakai secara lebih meluas dengan maksud
yang negatif. Ia tidak lagi merujuk kepada BRIM, tetapi amalan politik wang dan
naungan yang berakar umbi (deep rooted patronage) dalam parti politik,
terutamanya UMNO.
Tidak
dinafikan, politik naungan adalah antara sumber kekuatan UMNO berbanding
parti-parti pembangkang. UMNO berjaya memenangi hati rakyat dalam 13
pilihanraya selama ini antaranya ialah kerana keupayaan UMNO untuk mengagih
naungan (dispensing patronage) kepada penyokong parti dan pengundi. Naungan ini
boleh jadi dalam bentuk bantuan pendidikan, bantuan pertanian, kontrak, konsesi,
jawatan dalam kerajaan, GLC dan sebagainya. Dengan menguasai kerajaan di
peringkat persekutuan dan negeri, pemimpin UMNO mempunyai akses kepada sumber
yang cukup besar untuk diagih kepada penyokong parti dan pengundi.
Namun,
politik naungan yang menjadi sumber kekuatan UMNO selama ini telah mula menjadi
liabiliti kepada parti. Dengan wujudnya akses kepada sumber naungan di dalam
kerajaan, sebahagian pemimpin parti mula menggunakan kedudukan mereka di dalam
kerajaan untuk memperkukuhkan kedudukan di dalam parti. Caranya ialah dengan
melebarkan rangkaian naungan (patronage network) di dalam parti.
Adalah
menjadi amalan biasa pemimpin-pemimpin bahagian dilantik menduduki
jawatan-jawatan penting dalam agensi kerajaan. Malah, dalam Perhimpunan Agung
UMNO, sentiasa kedengaran desakan supaya pemimpin parti di peringkat bahagian
dilantik menjawat jawatan penting dalam agensi di bawah kementerian dan syarikat-syarikat
berkaitan kerajaan (GLC). Prinsipnya ialah parti mestilah menguasai kerajaan.
Amalan
ini bukanlah satu perkara baru yang khusus kepada UMNO. Parti-parti pembangkang
juga mengamalkan perkara yang sama.
Namun,
masalahnya apabila ia dilakukan secara berlebihan dan keterlaluan. Kerana terlalu
ghairah untuk memperkukuhkan kedudukan di dalam parti, ada pemimpin tertentu
yang berlumba-lumba untuk memberi ganjaran kepada pemimpin bahagian. Mereka
berharap, ganjaran ini akan dibalas dalam bentuk sokongan dalam pemilihan
parti.
Ganjaran
pula diberikan bukan lagi berdasarkan kepada sumbangan pemimpin bahagian dalam
meraih sokongan kepada parti, tetapi sekuat mana mereka menyokong atau selantang
mana mereka mempertahankan pemimpin tertentu.
Ada
pemimpin bahagian yang sentiasa kalah dalam pilihanraya tetapi diganjari dengan
jawatan, kewangan dan kontrak kerajaan yang bernilai besar. Malah, mereka ini sudah
pandai mengambil kesempatan dengan mengugut pemimpin atasan. Jika tidak
diberikan ganjaran, mereka akan memberontak.
Sudahnya,
pemimpin bahagian-bahagian UMNO yang mana kawasan parlimen mereka tidak pernah ditandingi
oleh UMNO, atau jika UMNO bertanding pun tidak pernah menang, tetapi menjadi
panglima perang (warlord) besar di dalam UMNO. Suara mereka sahaja sudah
membangkitkan kegentaran di dalan jiwa musuh. Masalahnya musuh yang diperangi
bukanlah pembangkang, tetapi sesama pemimpin parti.
Masalah
lebih besar berlaku apabila kos survival dalam politik menjadi semakin tidak
tertanggung sehingga memaksa segelintir pemimpin parti melakukan pecah amanah.
Dalam suasana masyarakat yang semakin terbuka dengan pelbagai hidangan
maklumat, pendedahan demi pendedahan mengenai penyelewengan pemimpin tertentu menjadi
beban moral yang besar kepada parti.
Dalam
keaadan ini, pemimpin parti mempunyai banyak wang, tetapi rakyat sudah hilang
percaya kepada parti. Sebanyak mana wang ditabur dalam pilihanraya pun belum
pasti dapat meraih undi kepada parti. Pengundi mungkin mengambil wang, tetapi
mereka tidak memberi undi. Ini kerana mereka sudah meluat dengan masalah moral pemimpin
yang terpaksa ditanggung oleh parti.