JIKA diteliti kandungan Perlembagaan Persekutuan, kita akan
dapati bahawa undang-undang tertinggi negara kita tidak berhasrat untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara sekular.
Islam diiktiraf sebagai Agama Persekutuan, Raja-raja Melayu
dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, Yang
di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah
Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, wang negara boleh
dibelanjakan untuk tujuan pendidikan Islam dan penyelenggaraan
institusi-institusi Islam, malah wang pungutan zakat dikira sebagai hasil
negara.
Selain itu, pendidikan Islam diajar sebagai mata pelajaran wajib untuk
pelajar-pelajar beragama Islam di sekolah-sekolah kerajaan, latihan untuk
guru-guru pendidikan Islam disediakan oleh kerajaan, undang-undang syariah
dilaksanakan oleh mahkamah syariah yang merupakan sebahagian daripada institusi
kehakiman negara, hakim-hakim mahkamah syariah adalah penjawat awam yang dibayar
gaji oleh kerajaan, dan banyak lagi perkara lain yang mengaitkan agama Islam
dengan dasar kerajaan dan institusi negara. Kesemua ini dilaksanakan di bawah
lembayung Perlembagaan.
Dalam sebuah negara sekular, tidak mungkin dana negara digunakan secara
langsung untuk kebajikan umat Islam. Tidak mungkin juga sistem kehakiman Islam
dan pendidikan Islam menjadi sebahagian daripada sistem negara, dan
undang-undang syariah dilaksanakan oleh penjawat-penjawat awam.
Di bawah Perlembagaan negara kita, kesemua ini dibenarkan. Pelaksanaannya
tidak bercanggah dengan Perlembagaan, malah selari dengan hasrat Perlembagaan.
Di Malaysia, tidak berlaku pemisahan antara agama dan negara secara total.
Ciri penting negara sekular ini tidak wujud di Malaysia. Maka sah Malaysia bukan
negara sekular seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Parlimen baru-baru ini.
Tetapi mengapa masih ada pihak yang beria-ia ingin mengatakan bahawa Malaysia
adalah negara sekular?
Bagi saya ini bukan cerita baru, tetapi cerita lama. Jika kita singkap
sejarah pembikinan perlembagaan negara di ambang kemerdekaan dahulu pun, cerita
ini telah hangat diperdebatkan.
Suruhanjaya Reid yang dilantik untuk menyediakan deraf perlembagaan Malaysia
misalnya tidak memperakukan Islam sebagai Agama Persekutuan. Maka dengan itu,
menurut perakuan Suruhanjaya Reid, Malaysia tidak akan mempunyai Agama Negara
seperti juga negara-negara sekular yang lain.
Perakuan ini ditentang oleh satu-satunya ahli Suruhanjaya Reid yang beragama
Islam iaitu Hakim Abdul Hamid dari Pakistan. Beliau berhujah, pada masa itu
terdapat sekurang-kurangnya 15 negara yang mempunyai agama negara. Jadi mengapa
pula Malaysia harus terkecuali.
Tambahan pula, hujah Hakim Abdul Hamid, saranan Islam sebagai Agama
Persekutuan merupakan hasil pemuafakatan politik yang dicapai oleh Parti
Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC, yang mewakili kaum-kaum utama
di Tanah Melayu pada ketika itu.
Saranan ini terkandung dalam dokumen yang dinamakan 'Political Testament of
the Alliance', iaitu memorandum mengenai Perlembagaan yang dikemukakan oleh
Perikatan kepada Suruhanjaya Reid. Hakim Abdul Hamid berpandangan adalah tidak
wajar bagi Suruhanjaya Reid menolak persetujuan yang telah dicapai oleh
pemimpin-pemimpin politik pelbagai kaum setelah mereka melalui proses rundingan
yang panjang.
Hampir semua saranan yang terkandung dalam 'Political Testament of the
Alliance', yang pada peringkat awalnya ditolak oleh Suruhanjaya Reid, dimasukkan
dalam Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen British pada Jun 1957, yang
kemudiannya diterima sebagai Perlembagaan negara.
Ini termasuk saranan supaya Islam dijadikan Agama Persekutuan. Dalam konteks
ini, dokumen perjanjian politik Parti Perikatan, yang juga disebut sebagai
Kontrak Perlembagaan, adalah jauh lebih penting dan signifikan daripada Laporan
Suruhanjaya Reid.
Maka dengan itu, termaktublah dalam Perlembagaan negara kita Islam sebagai
Agama Persekutuan, dan agama-agama lain boleh diamalkan dalam suasana yang aman
dan harmoni di mana-mana bahagian dalam Persekutuan. Secara tidak langsung,
cubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular telah berjaya
ditangkis.
Namun hari ini, cerita lama kedengaran lagi. DAP sebagai sebuah parti
sosialis totok sekular, menyambung cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara sekular. Cuma caranya agak berbeza.
Jika dahulu cubaan untuk menjadikan Malaysia negara sekular dibuat dengan
menolak Islam sebagai Agama Persekutuan, hari ini ia dilakukan secara lebih
halus.
DAP tahu bahawa sikap parti itu yang menolak hukum hudud tidak boleh
diburukkan lagi dengan menolak Islam sebagai Agama Persekutuan yang telah
termaktub dalam Perlembagaan. Ini akan menimbulkan kemarahan pengundi majoriti
beragama Islam, dan memburukkan lagi hubungannya dengan Pas.
Maka, DAP tidak secara langsung menolak Islam sebagai Agama Persekutuan,
malah bersetuju ia diterima sebagai sebahagian daripada Dasar Bersama pakatan
pembangkang.
Tetapi di sebalik paparan wajah manis DAP, parti itu sama ada secara langsung
atau menerusi proksi menolak pelaksanaan undang-undang Islam yang didakwa
kononnya mencabuli kebebasan asasi manusia.
Ini termasuk undang-undang yang menghalang perlakuan murtad, mendedahkan
aurat, meminum arak, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan muhrim,
amalan ajaran sesat dan juga orientasi seks songsang seperti lesbian, gay,
biseksual dan transeksual. Kesemua perlakuan dan amalan ini adalah bertentangan
dengan ajaran Islam.
DAP tidak menolak simbol Islam sebagai Agama Persekutuan, tetapi membantah
setiap intipati ajaran Islam dalam sistem kerajaan dan undang-undang negara.
Tindakan DAP ini umpama pepatah Melayu - pepat di luar, rencong di dalam. Ini
adalah dimensi baru cubaan menegakkan negara sekular di Malaysia. Tidak mengapa
Islam dikekalkan sebagai Agama Persekutuan, yang ditafsirkan sebagai agama rasmi
semata-mata, tetapi tidak boleh dibiarkan menjadi tonggak dalam sistem kerajaan
dan undang-undang negara. Inilah perjuangan DAP.