Berikut adalah pandangan saya mengenai had 10 matapelajaran SPM yang disiarkan di ruangan rencana Utusan Malaysia pada 10 Jun 2009.
BANYAK yang telah diperkatakan tentang keputusan Kementerian Pelajaran untuk mengehadkan jumlah 10 mata pelajaran yang boleh diambil oleh para pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dalam sistem terbuka yang diamalkan sebelum ini, tiada had tertentu ditetapkan.
Di samping pandangan-pandangan yang bersifat konstruktif, yang paling banyak diperkatakan ialah keputusan ini kononnya membatasi potensi pelajar untuk menunjukkan kecemerlangan mereka dalam sebanyak mungkin mata pelajaran yang diambil.
Jika sebelum ini kita boleh berbangga dengan pencapaian anak Malaysia memperolehi 19A atau 20A, selepas ini tidak lagi.
Penulis ingin melihat aspek potensi ini dari sudut yang berbeza. Benar bahawa sistem pendidikan di mana-mana negara pun perlu mengenal pasti dan mengasah potensi pelajar. Setelah potensi ini dikenal pasti, para pelajar akan dijuruskan ke dalam bidang yang paling serasi dengan potensi mereka.
Dengan yang demikian, kita boleh mengasah potensi modal insan dalam bidang-bidang khusus yang terbaik, baik bagi diri mereka, sekaligus memajukan negara.
Prinsip ini bukanlah sesuatu yang baru. Teringat penulis tentang falsafah pendidikan Plato ketika mengajar subjek pemikiran politik di universiti dahulu. Menurut Plato, sistem pendidikan perlu dirangka untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu layak dikelaskan sebagai golongan artisan (pekerja) atau golongan guardian (pemerintah).
Pendidikan rendah bagi Plato bermula dari umur tujuh hingga 20 tahun di mana para pelajar diajar ilmu gimnastik dan muzik. Kedua-dua ilmu ini penting untuk mengenal pasti potensi fizikal dan minda pelajar.
Bagi pelajar yang cemerlang, mereka akan meneruskan pengajian di peringkat menengah di mana ilmu logik dan astronomi diajar. Kedua-dua ilmu ini khusus untuk mengasah potensi intelek para pelajar bagi mempersiapkan mereka sebagai golongan pemerintah. Yang paling cemerlang antara mereka akan menjadi raja-filasuf (philospher-king).
Bagi pelajar yang menunjukkan pencapaian yang lebih cemerlang dalam kemahiran fizikal, mereka akan menjadi golongan pekerja yang menghasilkan barangan keperluan terbaik untuk kegunaan masyarakat.
Baik golongan pemerintah atau pekerja, kedua-dua golongan ini memberi sumbangan yang besar kepada negara dengan melakukan pekerjaan yang paling sesuai dengan potensi mereka.
Peranan sistem pendidikan ialah untuk mengenal pasti dan mengasah potensi insan agar setiap orang melakukan perkara yang terbaik bagi mereka. Matlamatnya ialah untuk mewujudkan kemajuan, keseimbangan dan ketertiban dalam negara.
Bukanlah maksud penulis untuk bernostalgia dengan falsafah klasik Plato. Namun, jika direnungkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita pun membicarakan tentang aspek potensi dan keseimbangan.
Menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang ingin dibangunkan oleh sistem pendidikan kita ialah insan yang seimbang dari segi potensi akal, jasmani, emosi dan rohani. Ini bererti, yang ingin dibangunkan ialah insan Kamil yang cerdas akalnya, cergas jasmaninya, cemerlang budi pekertinya dan jitu rohaninya.
Dengan menetapkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran yang boleh diambil oleh pelajar dalam peperiksaan SPM, sistem pendidikan kita sebenarnya berada pada landasan yang selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Para pelajar tidak akan dibebankan dengan sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga mengabaikan aspek perkembangan potensi jasmani, emosi dan rohani mereka.
Kita sering mendengar keluhan ibu bapa tentang anak-anak mereka yang tidak mempunyai masa yang cukup untuk beriadah dan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan kemahiran hidup dan sosial mereka kerana terpaksa menghadiri tuisyen demi tuisyen atau melakukan kerja rumah yang bertimbun.
Apabila tiba musim peperiksaan, ada ibu bapa yang terpaksa mengambil cuti untuk memastikan anak-anak mereka mengulang kaji pelajaran dan melakukan latih tubi sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan.
Ada juga anak-anak yang terganggu emosi mereka kerana bebanan akademik yang melampau dan harapan ibu bapa yang menggunung terhadap mereka.
Saya fikir, sekarang inilah masanya untuk kita memperbetulkan keadaan ini. Jangan menganggap bahawa potensi pelajar hanya boleh dibangunkan secara maksima dengan membenarkan mereka mengambil seberapa banyak jumlah mata pelajaran yang terlarat. Kita tidak akan ke mana dengan pemikiran megalomania ini.
Kita seharusnya memberi tumpuan juga kepada perkembangan potensi pelajar dalam aspek kemahiran hidup, sahsiah dan sosial mereka melalui kegiatan ko-kurikulum, kerohanian dan sukan. Transformasi pendidikan yang tidak terlalu berorientasikan peperiksaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melahirkan insan Kamil.
Bagi penulis, tujuh atau lapan mata pelajaran sudah mencukupi untuk mengasah potensi intelek pelajar dalam bidang bahasa dan kesusasteraan; kemanusiaan dan kemasyarakatan; dan sains dan teknologi.
Di negara-negara yang lebih maju, seperti di Singapura, para pelajar biasanya mengambil tujuh atau lapan mata pelajaran dalam peperiksaan GCE "O" Level, yang setara dengan peperiksaan SPM. 10 mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran adalah lebih daripada mencukupi.
Adalah lebih baik sekiranya sistem pendidikan kita mengasah potensi ilmiah pelajar secara mendalam dalam bidang-bidang yang tertentu daripada membiarkan mereka membuat pilihan secara rawak.
Yang penting ialah potensi pelajar perlu dibangunkan secara seimbang sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memandu sistem pendidikan kita.
Mengenai kerisauan sesetengah pihak bahawa beberapa subjek teras, termasuk sejarah dan pendidikan Islam/moral, terpaksa dikorbankan sekiranya had 10 mata pelajaran ini dilaksanakan, saya fikir baik juga kita menunggu keputusan Kementerian Pelajaran mengenai hal ini.
Saya percaya bahawa apa jua keputusan yang diambil, aspek keseimbangan dalam pembangunan insan, termasuklah apresiasi sejarah dan penghayatan rohani, tidak akan diabaikan.