Istilah politik baru di Malaysia secara khususnya mula
mendapat perhatian selepas Pilihan Raya Umum 1999. Pilihan raya itu menyaksikan
parti-parti pembangkang buat pertama kali membentuk pakatan politik rentas kaum
yang dinamakan Barisan Alternatif.
Menerusi pentas Reformasi ketika itu, organisasi-organisasi masyarakat sivil
yang berlainan ideologi dan orientasi kaum juga galak membentuk pakatan mereka
sendiri atas nama membawa pembaharuan politik. Buat seketika, politik Malaysia
kelihatan tidak lagi dibatasi oleh perbezaan ideologi, kaum dan agama.
Beberapa ahli akademik mula menghasilkan karya ilmiah mengenainya. Antara
yang terawal ialah Profesor Francis Loh Kok Wah dari Universiti Sains Malaysia.
Beliau antara lain merujuk politik baru sebagai satu fenomena baharu dalam
politik Malaysia, di mana faktor etnik dan agama tidak lagi mendominasi politik,
tetapi sebaliknya telah digantikan oleh politik kepembangunan
(developmentalism) dan demokrasi penyertaan (participatory
democracy).
Selepas itu, ramai ahli akademik dan pemerhati politik mula mengupas fenomena
politik baru di Malaysia menerusi tulisan-tulisan popular mahupun karya ilmiah.
Sarjana Barat, Meredith Weiss menerusi bukunya Protest and Possibilities:
Civil Society and Coalitions for Political Change in Malaysia dan John
Hilley, Malaysia: Mahathirism, Hegemony and the New Opposition secara
tidak langsung menyentuh fenomena politik baru, yang dikaitkan dengan kemunculan
pengaruh politik pembangkang dan organisasi masyarakat sivil secara lebih
signifikan dalam pentas politik negara.
Selain itu, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan
Ahli Majlis Tertinggi UMNO juga menulis sebuah buku mengenai politik baru.
Secara umumnya, politik baru dilihat sebagai satu perkembangan terkini dalam
politik negara kita yang mana masyarakat tidak lagi menganggap etnik dan agama
sebagai faktor penting dalam percaturan politik; kemunculan sistem dua parti
menggantikan sistem pelbagai parti politik berasaskan kaum; politik pilihan raya
menjadi semakin kompetitif dan kerajaan semakin responsif terhadap tuntutan
rakyat; amalan demokrasi penyertaan diperkukuhkan dengan kebebasan individu dan
kesamarataan hak; dan kemunculan parti-parti politik pembangkang sebagai pembawa
obor politik baru.
Benarkah semua ini? Pada hemat saya, sebahagiannya benar.
Politik di negara kita menjadi semakin kompetitif dan terbuka yang mana
parti-parti politik, baik Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, bertanding di
atas padang yang lebih rata. Dalam Pilihan Raya Umum 2008, buat pertama kali
dalam sejarah, pembangkang menawan lima buah negeri dan menafikan majoriti dua
pertiga BN di Parlimen. Dalam 16 pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu,
separuh daripadanya dimenangi oleh BN dan separuh lagi oleh pembangkang.
Dalam mana-mana sistem politik demokrasi, pilihan raya yang kompetitif
biasanya menjadikan kerajaan lebih responsif terhadap tuntutan rakyat. Inilah
yang berlaku di Malaysia. Kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun
Razak telah memperkenalkan pelbagai pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan dan
pengurusan ekonomi negara.
Menerusi Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi,
kerajaan bersikap lebih terbuka dalam merangka pelbagai program yang
mengutamakan kebajikan rakyat, dan memacu pertumbuhan ekonomi yang rancak dan
mapan. Menerusi program transformasi politik pula, beberapa undang-undang yang
dilihat menyekat kebebasan rakyat telah dipinda atau dimansuhkan.
Masyarakat awam juga telah mula dilibatkan secara langsung dalam pembuatan
dasar penting negara. Misalnya, dalam penyediaan Laporan Awal Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025, seramai hampir 50,000 orang awam dilibatkan
menerusi tinjauan pendapat, temu bual bersemuka, perbincangan kumpulan fokus dan
dialog ala town-hall yang diadakan di seluruh negara.
Tidak pernah dalam sejarah negara kita, sebegitu ramai orang awam dilibatkan
secara langsung dalam proses pembuatan dasar negara. Ini menunjukkan bahawa
proses pembuatan dasar di negara kita telah lebih daripada mencukupi untuk
memenuhi ciri-ciri demokrasi penyertaan yang biasanya dikaitkan dengan proses
pembuatan dasar di negara-negara maju.
Kesemua ini adalah cerminan kemunculan satu bentuk pembaharuan yang amat
signifikan dalam politik negara kita. Inilah yang dikatakan politik baru.
Apa yang tidak benar tentang politik baru? Yang tidak benar ialah andaian
bahawa obor politik baru dibawa oleh pembangkang dan organisasi-organisasi bukan
kerajaan yang menentang BN. Andaian ini kadang kala menyebabkan segelintir ahli
politik, termasuk dari BN, meletakkan perspektif yang kurang tepat mengenai
politik baru.
Misalnya, pendedahan mengenai penyaluran dana asing daripada organisasi
antarabangsa yang dimiliki oleh penyangak mata wang George Soros kepada beberapa
organisasi tempatan untuk tujuan politik dilihat sebagai bertentangan dengan
semangat politik baru. Saya tidak nampak apa justifikasinya.
Bagi saya campur tangan asing dalam hal ehwal politik sebuah negara yang
merdeka dan berdaulat, dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih
secara sah oleh rakyat adalah politik lama.
Sejak berdekad yang lalu, dengan menggunakan kekuatan sumber kewangan dan
perisikan, beberapa organisasi dari Barat diketahui telah memainkan peranan
penting dalam menaikkan beberapa pemimpin boneka di negara-negara Afrika, Asia
dan Timur Tengah. Tujuannya adalah untuk menjaga kepentingan mereka, bukan
kepentingan rakyat di negara-negara berkenaan. Ini politik lama di kancah
antarabangsa.
Politik lama yang membawa kepada penjajahan bentuk baru. Jadi, apakah
mendedahkan kepincangan politik lama ini bertentangan dengan semangat politik
baru? Saya tidak fikir begitu.
Di negara kita, obor politik baru sebenarnya dibawa oleh BN, bukan
pembangkang. Masakan tidak, dalam kesibukan kepimpinan BN melakukan pelbagai
transformasi dalam kerajaan, ekonomi dan politik, pemimpin pembangkang masih
terperangkap dalam kotak pemikiran lama. Mereka tidak pernah membawa obor
pembaharuan, apatah lagi menjadi pelopor politik baru.
Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat, walaupun telah 22 tahun menjadi
Menteri Besar Kelantan, masih merasakan bahawa tiada orang lain yang layak
menggantikannya. Ini politik lama, bukan politik baru.
Anwar Ibrahim pula semakin seronok menjadi Ketua Umum PKR walaupun tidak
pernah dipilih secara demokratik oleh ahli-ahli parti untuk berada di kedudukan
paling tinggi dan paling berkuasa dalam parti itu. Ini adalah jelmaan politik
lama yang diamalkan di negara-negara berpemerintahan diktator, bukan politik
baru di sebuah negara demokrasi.
DAP pun tiada beza. Lim Kit Siang yang sudah terlibat dalam politik sejak
zaman Tunku Abdul Rahman lagi, masih berlegar dalam lingkungan kuasa DAP.
Walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan Setiausaha Agung, tetapi dinasti
kuasa beliau dalam DAP diteruskan oleh anaknya Lim Guan Eng. Ini juga politik
lama.
Sejak parti-parti pembangkang membentuk pakatan politik, daripada zaman
Barisan Alternatif hingga kini, tiada pembaharuan yang dibawa oleh pembangkang
yang boleh dibanggakan, baik dalam parti mahupun dalam kerajaan yang dipimpin
oleh mereka. Mereka masih berada dalam kotak pemikiran politik lama dan
mengamalkan politik lama. Andaian bahawa pakatan Pas, PKR dan DAP membawa obor
politik baru adalah satu mitos.
(Artikel ini disiarkan di Utusan Malaysia pada 22 Oktober 2012)
Monday, October 22, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Satu penulisan yang fokus, analisanya dalam kerangka yang mudah di fahamu, bravo Dr.Marzuki - Mujibu
ReplyDelete