Monday, December 6, 2010

Ketuanan Melayu

1. Apakah maksud Ketuanan Melayu? Perkataan tuan lazimnya diberikan kepada orang yang berada pada kedudukan yang tinggi. Justeru, ada yang mentakrif Ketuanan Melayu sebagai Ketuanan Raja-Raja Melayu. Takrifan ini mudah difahami kerana dalam sistem kerajaan Melayu tradisional, Raja berada pada kedudukan yang paling tinggi. Hari ini, Yang di-Pertuan Agong, yang dipilih setiap lima tahun sekali di kalangan sembilan Raja-Raja Melayu, adalah Ketua Negara, iaitu kedudukan tertinggi dalam negara.

2. Walaupun digelar Tuanku atau Yang di-Pertuan, agak kurang tepat untuk menggunakan istilah “ketuanan” kepada Raja. Istilah yang lebih tepat ialah “kedaulatan” atau dalam bahasa Inggeris “sovereignty”. Kamus istilah politik Oxford mentakrifkan “sovereignty” sebagai “the ultimate political authority, subject to no higher power, as regards the making and enforcing of political decisions”. Atau dalam Bahasa Melayu bermaksud “kuasa politik tertinggi, yang tidak tertakluk kepada kuasa yang lebih tinggi, dalam pembuatan dan pelaksanaan keputusan politik”.

3. Maka tepatlah istilah kedaulatan itu digunakan untuk Raja. Dalam sistem pemerintahan kerajaan Melayu tradisional, Raja adalah tonggak kekuasaan di mana kedaulatannya tidak diatasi oleh apa atau sesiapapun. Dalam sistem pemerintahan moden hari ini, Raja adalah Raja Berperlembagaan, di mana kuasa Raja adalah tertakluk kepada Perlembagaan. Konsep kedaulatan juga telah mengalami evolusi, di mana dalam sistem antarabangsa, ianya dirujuk kepada negara. Negara berdaulat (sovereign state) adalah negara yang merdeka, berpemerintahan sendiri (self-government) dan tidak tertakluk kepada kuasa asing.

4. Bolehkah Ketuanan Melayu disamakan dengan Kedaulatan Raja? Tentu sekali tidak. Dalam perbendaharaan sejarah, orang Melayu disebut sebagai “the subject of Malay Rulers”. Subject bermaksud “hamba” atau “rakyat”, bukan tuan.

5. Jadi, apakah maksud Ketuanan Melayu? Ada yang mentakrif Ketuanan Melayu satu i’tiqad atau kepercayaan tentang keunggulan atau keagungan bangsa Melayu yang bercanggah dengan Islam. Orang Melayu itu seperti bangsa Jerman di zaman Hitler yang menganggap bangsa Jermanlah bangsa paling agung dan bangsa-bangsa lain itu hina-dina semuanya.

6. Anggapan seperti ini hanyalah khayalan semata-mata. Orang Melayu rata-ratanya tinggi budi pekerti dan sentiasa merendah diri. Jika orang Melayu mempunyai sifat superiority atau supremacy seperti bangsa Jerman, barangkali sudah berlaku holocaust di Malaysia . Tetapi hal itu tidak terjadi.
7. Malah, penghormatan yang diberikan oleh orang Melayu kepada kaum-kaum lain amat tinggi. Orang Melayu amat senang memanggil Ah Chong dengan panggilan tauke, Samy dipanggil macha, malah pekerja Bangladesh pun dipanggil boss. Jika Ah Chong atau Samy adalah pegawai kerajaan, kedua-duanya dipanggil tuan.

8. Ketuanan Melayu tidak ada hubungan dengan semua ini. Ia bukan bermaksud Kedaulatan Melayu kerana yang berdaulat bukan Melayu, tetapi Raja Melayu. Ia juga bukan bermaksud hubungan tuan dan hamba, di mana orang Melayu adalah tuan dan orang bukan Melayu adalah hamba. Secara realitinya tidak pernah berlaku begitu. Ia juga bukan bermaksud ketaksuban kepada faham keagungan atau keunggulan bangsa. Fahaman ini langsung tidak disokong oleh fakta psikologikal atau empirikal.

9. Jadi apa maknanya Ketuanan Melayu? Baru-baru ini saya ada berbual dengan seorang ahli sejarah. Bagi beliau, ketuanan Melayu itu bermaksud keterasan bangsa Melayu. Budaya Melayu, sistem kerajaan Melayu, agama orang Melayu iaitu Islam, bahasa Melayu, adat Melayu adalah sifat-sifat penentu (definitive characters) Tanah Melayu yang berterusan sehingga ke hari ini.
10. Sistem Kerajaan Melayu sudah wujud di Tanah Melayu lama sebelum kedatangan penjajah Inggeris. Di bawah sistem ini, agama Islam, bahasa Melayu, budaya Melayu dan adat istiadat Melayu mempunyai tempat yang amat tinggi.

11. Penjajahan Inggeris merubah sedikit sebanyak sifat-sifat definitif ini. Sistem birokrasi moden yang dibawa oleh penjajah Inggeris mula menghakis kuasa Raja. Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Raja tidak lagi mempunyai kuasa pemutus kecuali dalam hal-hal berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Malah, dalam hal ehwal agama Islam pun seringkali berlaku kekaburan antara kuasa Raja dan kuasa Residen Inggeris. Misalnya, kutipan zakat. Adakah zakat tergolong dalam hal ehwal Islam yang berada di bawah bidangkuasa Raja, atau hasil negeri yang berada dalam kawalan Residen Inggeris.

12. Pun begitu, apabila Tanah Melayu merdeka, sifat-sifat definitif ini dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan hak-hak keistimewaan Melayu adalah teras Perlembagaan kita.
13. Di samping itu, oleh kerana kaum-kaum lain juga sudah menjadi rakyat negara ini, mereka juga mendapat naungan Raja-Raja Melayu. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mempertanggungjawabkan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan hak-hak yang sah bagi semua kaum, di samping memelihara hak-hak keistimewaan Melayu. Sebagai timbal-balas, orang bukan Melayu juga mesti taat kepada Raja Melayu, seperti yang termaktub dalam Rukunegara.

14. Hari ini, subject of Malay Rulers bukan sahaja orang Melayu, tetapi orang bukan Melayu juga. Malah, darjah-darjah kebesaran yang dahulunya dikhususkan untuk golongan bangsawan Melayu, hari ini turut dianugerahkan kepada orang bukan Melayu. Satu ketika dahulu, seorang kenalan bukan Melayu yang mendapat gelaran Datuk menceritakan kepada saya, betapa bangga beliau berada pada kedudukan yang tinggi dalam sistem kerajaan Melayu. Sedangkan teman-teman Melayu beliau pun tidak berada pada kedudukan itu.

15. Pada saya, Ketuanan Melayu, jika difahami dari sudut Keterasan Melayu yang sebati dengan Islam dan diwarnai dengan budi pekerti yang mulia, akan mewujudkan keadaan yang adil dan harmonis di negara kita.

16. Malangnya, istilah Ketuanan Melayu itu sudah dihantukan (demonize) oleh ramai orang. Wan Azizah bertegas mahu membakul sampahkan Ketuanan Melayu. Apa yang beliau maksudkan dengan Ketuanan Melayu, saya tak tahu. Chua Soi Lek pun lantang berkata Ketuanan Melayu adalah perkataan terlarang (taboo). Apa yang dia tahu tentang Ketuanan Melayu, saya pun tak tahu. Katanya, orang sudah tidak suka dengar perkataan Ketuanan Melayu, distasteful begitu. Oleh itu, tak semena-mena Ketuanan Melayu menjadi perkataan terlarang.

17. Perkara yang ramai orang tak suka dengar tak bermaksud terlarang. Malah, perkara yang ramai orang suka itulah kadang-kadang dilarang.